Ledakan muzik Blackpink




Kemunculan penyanyi baharu dalam industri muzik K-Pop di Korea Selatan boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Seperti tanah gambut yang disemai benih subut, dunia hiburan K-Pop meriah dengan kedatangan ramai pelapis baharu saban tahun.

Namun, keberhasilan atau impaknya tergantung terhadap tuah dan nasib seseorang, sama ada mereka diterima seterusnya berjaya menempa populariti dalam masa singkat mahupun harus menunggu lama.

Blackpink yang sedang meledak ketika ini turut mempunyai kisah tersendiri. Hanya lima bulan selepas kemunculan pertama menerusi single debut berjudul Whistle pada Ogos 2016, Blackpink terus memanjat tangga populariti.

Dalam usia penglibatan yang baru setahun jagung, kumpulan yang dianggotai empat ahli iaitu Jisoo, Jennie, Lisa dan Rose juga telah menerima sebanyak 23 anugerah antaranya New Artist of The Year pada Golden Disc Awards Ke-31 dan Seoul Music Awards Ke-26.

Mereka menjengah ke dalam pasaran muzik K-Pop pada tahun 2016 dengan memperkenalkan konsep muzik dan tarian berunsur Latin bercampur hip-hop yang disebut sebagai K-trap.

Biarpun telah menempa populariti awal menerusi lagu-lagu hits seperti As If It’s Your Last dan Boombayah dengan mencatat lebih 400 juta tontonan menerusi YouTube, kemunculan Blackpink dengan lagu Ddu-du Ddu-du pada Jun tahun lalu menghadirkan impak terbesar dalam karier mereka. Nama Blackpink pantas meledak bukan sahaja di rantau Asia, bahkan pengaruh di Barat.

Hanya dalam tempoh 24 jam selepas diluncurkan secara rasmi menerusi YouTube, lagu tersebut diiktiraf selaku klip video lagu Korea paling banyak ditonton menerusi plarform berkenaan.

Pencapaian tersebut sekali gus membawa Ddu-du Ddu-du menduduki tangga teratas dalam carta Billboard dalam kategori World Digital Artist selain tersenarai dalam 10 Best Music Videos of 2018 oleh Rolling Stone.

Pada 13 Januari lalu, klip video arahan Seo Hyun-seung itu menjadi antara yang terpantas mengatasi rekod tontonan sebanyak 600 juta dalam YouTube.

Dengan kata lain, Ddu-du Ddu-du muncul sebagai klip video lagu K-Pop kedua yang berjaya mencecah jumlah tontonan lebih 600 juta tontonan selepas klip video DNA oleh kumpulan BTS.

Ironi, lagu yang terkandung dalam album Square Up tersebut merupakan kemunculan semula Blackpink selepas berehat selama setahun sepanjang 2017.

Judul lagu yang pantas menambat hati dan telinga pendengar tersebut bagaikan satu fenomena, biarpun tidak mempunyai maksud spesifik.

Menjelaskan maksud perkataan ‘ddu-du ddu-du’, Lisa memberitahu, kosa kata tersebut sebenarnya merupakan bunyi tembakan daripada senjata api.

“Kami juga membuat gerakan tangan seperti sedang menggunakan senjata api ketika menyanyikan bahagian ‘ddu-du ddu-du’ dalam lagu ini. Perkataan itu boleh juga dianggap sebagai satu mantera yang kami nyanyikan,” tambah Jennie.



Rasis

Tidak sekadar cantik dan pandai menari, namun antara kelebihan lain milik anggota Blackpink adalah keupayaan mereka bertutur dalam bahasa Inggeris tatkala kebanyakan artis dari Korea Selatan tidak mampu menguasai bahasa tersebut.

Jennie dan Rose fasih berbahasa Inggeris memandangkan mereka membesar dan mendapat pendidikan di New Zealand, sementara Lisa pula merupakan rakyat Thailand.

Berbanding anggota lain, hanya Jisoo yang tidak pandai bertutur dalam bahasa Inggeris kerana merupakan satu-satunya ahli yang tidak pernah keluar dari Korea Selatan.

Meskipun kehadiran Lisa dalam kumpulan itu disambut baik oleh peminat, namun pernah timbul beberapa isu yang berbangkit apabila dia kerap menjadi mangsa serangan komen berbaur rasis dalam laman sosial.

Hal ini kerana, ada sesetengah peminat yang bersikap rasis terhadap orang luar yang menjadi pujaan dalam industri K-Pop.

Bukan lagi satu rahsia, ironinya penyanyi yang bukan berasal dari Korea akan menerima layanan buruk selain dibayar tidak setimpal dengan hasil kerja berbanding rakan lain.

Prihatin dengan nasib yang menimpa artis kegemaran masing-masing, sekumpulan peminat tegar Blackpink yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Blink tampil menyelar tindakan tidak bermoral dan rasis sesetengah pihak.

Mereka melancarkan kempen sokongan menerusi laman sosial dengan mewujudkan tanda pagar #RespectLisa.

Hakikatnya, Lisa bukan satu-satunya orang luar yang berjaya menempa nama dalam industri K-Pop. Ramai lagi artis dari Thailand yang sama-sama membina profil kerjaya di negara Korea Selatan. Antaranya BamBam daripada kumpulan GOT7, Nickhun (2PM), Ten (NCT), Mintty (Tiny G) dan Sorn (CLC).

Kerjasama antarabangsa

Kejayaan Blackpink turut menarik minat penyanyi Dua Lipa untuk bekerjasama dengan empat wanita muda itu sehingga terhasilnya lagu duet Kiss and Make Up yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

Selain itu, kumpulan Little Mix juga ada menyuarakan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan kumpulan Blackpink selepas ditanya peminat tentang perancangan meluncurkan single duet.

“Kerjasama dengan Blackpink pastinya sesuatu yang menakjubkan,” tulis seorang ahli Little Mix, Jade Thirlwall dalam Twitternya baru-baru ini.

Semakin besar pengaruh yang dibawa Blackpink dalam menyebarkan kuasa muzik K-Pop di serantau dunia, kejayaan yang dituai dalam masa singkat membuka peluang kepada mereka untuk menjadi kumpulan K-Pop wanita pertama yang akan mengadakan persembahan di Festival Coachella pada April depan.

Festival yang akan berlangsung di Amerika Syarikat itu turut membariskan nama-nama besar Hollywood seperti Childish Gambino, Tame Impala dan Ariana Grande.

Di sebalik keterujaan peminat terhadap kedatangan Blackpink ke negara Uncle Sam itu, ada beberapa persoalan berbangkit dan kebimbangan yang muncul dalam perbincangan peminat.

Mereka tertanya-tanya, bagaimana Blackpink akan memenuhi format festival besar sedangkan mereka kini baru memiliki sembilan buah lagu?

Oleh sebab itu, ramai peminat menyuarakan pendapat dengan mendesak agensi YG Entertainment mengeluarkan album penuh Blackpink sebelum persembahan di Coachella dijayakan

Sebelum beraksi di Coachella, Blackpink terlebih dahulu akan menyudahkan siri konsert jelajah di Asia termasuk Malaysia.

Terdahulu, mereka baru sahaja selesai mengadakan persembahan di Bangkok, Thailand pada 12 Januari lalu diikuti Jakarta, Indonesia (19 dan 20 Januari), Hong Kong (26 Januari), Filipina (2 Februari), Singapura (15 Februari), Malaysia (23 dan 24 Februari) dan Taiwan pada 3 Mac depan.

Sejak muncul pada tahun 2016, nama kumpulan Blackpink terus gah bukan sahaja di rantau Asia bahkan turut menular ke negara Barat dengan membawa ideologi muzik K-Pop.

Post a Comment

Previous Post Next Post