
Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Mungkin itu pepatah paling tepat untuk menggambarkan situasi yang membabitkan Juara Dewi Remaja 2018/2019, Sharifah Haneesya Sayed Sahlan berkenaan video tular berparti dan meneguk minuman alkohol di sebuah kelab malam pada Isnin lalu.
Selepas beberapa hari mendiamkan diri, Haneesya akhirnya tampil memberi penjelasan pada sidang media khas yang diadakan oleh Kumpulan Media Karangkraf pada petang semalam.
Hanya mampu menitiskan air mata sepanjang sesi sidang media tersebut, Haneesya yang baru berusia 19 tahun itu mengakui bahawa gadis yang seronok berparti itu adalah dirinya dan memohon maaf secara terbuka atas kesilapannya.
Biarpun sudah mengaku salah dan memohon maaf, Haneesya yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Cik Reen dan Encik Ngok Ngek itu perlu akur apabila pihak Majalah Remaja memutuskan untuk menarik semula mahkota kejuaraannya yang dipegangnya sebagai pengajaran atas apa yang berlaku.
Dia juga dilarang menggunakan gelaran finalis Dewi Remaja dalam sebarang portfolio kariernya.
Pasrah dengan keputusan tersebut, Haneesya yang diumumkan juara pada Ahad lalu telah menyerahkan semula mahkota kemenangan dan mahu fokus untuk berusaha keras menjadi anak seni lebih baik pada masa hadapan.
Apakah perasaan Haneesya selepas video tersebut tersebar sebaik sahaja anda dimahkotakan sebagai Juara Dewi Remaja 2018/2019?
HANEESYA: Saya terkejut kerana video itu sebenarnya untuk simpanan peribadi. Saya mengakui, perbuatan tersebut bukanlah perkara yang boleh dibanggakan.
Namun, saya juga manusia biasa yang melakukan kesilapan cuma bezanya video itu bocor saat nama saya sudah dikenali masyarakat. Bagaimanapun, saya tahu itu tidak mengubah apa-apa kenyataan bahawa saya telah membuat kesilapan dan saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua yang tersinggung dengan video berkenaan.
Adakah kelakuan tersebut dipengaruhi oleh mana-mana pihak?
Tidak, ia berpunca daripada saya sendiri dan tiada kaitan dengan sesiapa termasuk ibu saya, Nur Sakuraneeda. Saya mohon janganlah ibu diheret sama dalam hal ini. Dia tidak bersalah dan terlalu sedih dengan apa yang berlaku. Tiada sebarang kekurangan didikan ibu sepanjang membesarkan saya. Biarlah saya seorang yang dikecam dan dikritik.
Bagaimanakah perasaan anda dengan keputusan pengurusan menarik balik mahkota kejuaraan?
Saya terima kerana itulah yang terbaik bagi menyelesaikan isu ini. Saya sedar perbuatan ini telah mencemarkan nama baik pertandingan. Jadi, saya akur dengan apa sahaja hukuman yang diberikan. Malah kalau tidak ditarik balik sekali pun, saya sudah bersedia untuk mengembalikan gelaran juara ini secara sukarela.
Apakah yang anda belajar daripada semua ini?
Saya belajar bahawa setiap apa yang kita mahu lakukan perlu ditimbang baik dan buruknya terutama bagi golongan remaja yang terlalu seronok mahu mencuba perkara baharu. Semua orang melakukan kesilapan dan saya terima kesannya dengan hati terbuka. Apa yang penting saya tidak menyerah dan akan bangkit semula dalam mengejar impian dalam dunia seni.
Adakah anda yakin akan diterima semula oleh peminat selepas ini?
Saya berharap peminat memberikan saya peluang kedua dan saya berjanji, perkara seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan. Selepas ini, saya akan berehat mungkin dua hingga empat hari bagi menenangkan diri dan mahu memberikan masa untuk isu ini reda. Saya tidak mahu berehat terlalu lama kerana masih banyak perkara yang mahu dilakukan dalam industri.
Apa yang boleh anda katakan kepada remaja lain tentang insiden memalukan tersebut?
Kena sentiasa beringat sebelum melakukan apa-apa agar tidak menjatuhkan maruah keluarga dan nama baik diri sendiri. Memang kita dikenali sebagai golongan darah muda dan suka mencuba namun biarlah mempunyai batasan.