Johan Asaari akui silap sendiri




Pemergian ibu tercinta, Datin Firdaus Abd. Kader akibat kanser pangkal rahim pada tahun 2015 ternyata memberi impak mendalam buat pelakon berbakat besar Johan Asaari terutama dari segi kerjaya seninya.

Keakraban hubungan antara Johan dengan arwah ibu membuatkan dirinya hilang separuh jiwa saat wanita itu pergi mengadap Ilahi meninggalkan anak kedua daripada lima beradik itu terkapai-kapai dalam lautan emosi yang tidak terluah.

Sewaktu hadir untuk sesi fotografi bersama Kosmo! di Studio Utusan baru-baru ini, pemilik nama Johan Ariff Datuk As’ari mengakui, selama dua tahun selepas kematian ibu Johan pada mata umum seperti bukan dirinya yang sebenar.

Bukan sahaja prestasi kerjaya semakin menjunam, dia juga hilang semangat bekerja demi kelangsungan kehidupan seperti biasa.

Bahkan, Johan turut mengambil keputusan berkelana ke negara orang selama berbulan-bulan dalam tahun sama untuk mencari semula erti hidup yang telah pergi.

“Saya sedar. Saya mengambil masa terlalu lama untuk pulih daripada kepedihan kehilangan ibu, namun saya tidak menyesal kerana berasa berhak bersedih sebegitu kerana dia ibu saya.

“Namun saya juga tahu, jika arwah masih hidup, pasti dia tidak suka melihat saya jadi begitu. Maka tahun lepas, saya perlahan-lahan membina semula karier meskipun agak sukar kerana sikap sendiri sepanjang dua tahun sebelum itu.” jelasnya sambil tersenyum nipis.



Salah sendiri

Pada masa sama, Johan yang popular dengan watak Botak menerusi drama bersiri Juvana suatu ketika dahulu tidak pernah menyalahkan orang lain, melainkan keperibadian sendiri atas apa yang berlaku dalam hidupnya.

Akibat terlalu mengikut rasa hati, dia membazirkan banyak peluang dalam kerjayanya apabila tidak mengambil serius tanggungjawab serta komitmen menjalankan tugas sebagai anak seni.

Pernah digugurkan nama daripada drama, diherdik kerana gagal menepati masa dan dimarahi akibat tidak berjaya menjiwai watak dengan baik, Johan menganggap pengalaman hitam tersebut sebagai suatu pengajaran bermakna sepanjang bergelar pelakon.

“Mungkin sebab itu, tahun 2018 menyaksikan muka saya langsung tidak muncul dalam mana-mana drama bersiri kerana saya pernah buat perangai sekitar 2015 hingga 2017. Orang takut untuk ambil saya bekerja.

“Namun saya bersyukur kerana rezeki saya lebih cenderung ke lapangan filem pada tahun lepas. Kadang-kadang saya berasa malu kepada Tuhan kerana biarpun masalah timbul berpunca daripada diri sendiri tetapi rezeki saya tidak pernah putus,” ujarnya yang berharap 2019 akan membuka lembaran baharu dalam kariernya.

Bakal menamatkan penggambaran filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof pada 28 Januari ini, Johan sudah menerima tawaran untuk berlakon sebuah drama bertajuk Iktibar arahan Bade Azmi.

“Tahun ini saya akan berusaha keras seperti merajinkan diri hadir ke majlis-majlis hiburan supaya nama kembali dipercayai oleh penerbit terutama drama bersiri. Saya rindu berlakon drama memandangkan bermula daripada lapangan itu,” ceritanya lagi berkenaan perancangan tahun ini.

Fokus kerjaya

Di sebalik senyuman yang berpaut pada bibirnya, lelaki berusia 32 tahun itu tidak boleh menolak saat diungkitkan soal percintaan. Dia mengambil sedikit masa sebelum membentang identiti wanita yang kini berbunga di taman hatinya.

Pernah mengakui bahawa sedang berkawan baik dengan seorang wanita pemilik berstatus doktor falsafah dan memiliki perniagaan ternakan lembu di Perlis, Johan sebenarnya agak berhati-hati. Pada hematnya, hubungan mereka belum memahat janji untuk sampai ke fasa serius.

Kata Johan, mereka berdua lebih selesa berkawan terlebih dahulu sehingga tiba waktu tepat, andai gerbang jodoh terbuka buat mereka. Pada ketika tersebut, barulah dia benar selesa berbicara soal hati dan perasaan memandangkan kini perhubungan mereka baru mencecah usia 10 bulan.

Mula berkenalan menerusi laman Instagram apabila wanita itu memuji kemesraan Johan melayan kanak-kanak sewaktu menghadiri sebuah majlis di Pahang, ternyata ia berlanjutan sehingga bertukar-tukar nombor telefon.

“Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan yang akan membuatkan si dia berasa tidak selesa kerana kami hanya berkawan buat masa sekarang. Malah jika tiada aral melintang, dia bakal terbang ke Washington, Amerika Syarikat bulan hadapan atas urusan bekerja.

“Jadi kami saling tidak berharap. Andai ada jodoh, Alhamdulillah. Jika tiada, kami tidak kecewa. Biarlah masa dan Allah sahaja yang menentukan pengakhiran hubungan kami,” ulasnya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post