
Tempoh 14 hari mengerjakan ibadah umrah telah membuka satu lembaran baharu dalam hidup pelakon Nelydia Senrose.
Nelydia yang berangkat ke Tanah Suci, Mekah bersama keluarga dan adik-beradiknya, Uqasha Senrose dan Raysha Rizrose pada 26 Disember lalu berkata, banyak perkara baik yang dilalui sepanjang mengerjakan ibadah tersebut.
Selain berasa tenang tanpa memikirkan soal kerja, pemilik nama sebenar Nik Zaris Nelydia Nik Sen itu turut diberikan kemudahan oleh Allah sewaktu mengerjakan ibadah.
Kemanisan berada di Mekah telah membuatkan wanita berusia 24 tahun itu mahu pergi ke sana lagi dan menanam hasrat untuk mengerjakan haji.
Dalam pada itu, Nelydia turut berkongsi sebab mengapakah dia menolak untuk menjayakan watak Juita bagi drama Nur 2 pada saat-saat akhir.

Apa khabar Nelydia? Boleh kongsikan sedikit mengenai pengalaman anda mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini?
NELYDIA: Alhamdulillah sihat. Mengenai pengalaman mengerjakan umrah, saya berasa sangat seronok sepanjang berada di sana. Walaupun saya telah melancong ke banyak negara sebelum ini, namun, Mekah tetap memberi aura positif yang sukar untuk digambarkan. Ketika berada di sana, saya berasa sangat tenang. Saya tidak fikirkan langsung soal kerja di Malaysia dan hanya sentiasa fokus terhadap ibadah.
Bagaimanakah perjalanan menunaikan ibadah di Mekah?
Syukur alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan saya sekeluarga. Pertama kali melihat Kaabah di depan mata, saya menangis. Sebak rasanya melihat Kaabah dalam saiz sebenar memandangkan selama ini saya hanya dapat melihatnya di televisyen dan gambar. Secara automatik, semangat untuk menunaikan ibadah semakin berkobar-kobar.
Adakah anda pernah melalui peristiwa yang tidak boleh dilupakan di sana?
Ada beberapa insiden yang saya tidak boleh dilupakan. Sebagai contoh, ketika saya berasa sangat haus sementara menunggu waktu solat seterusnya dan teringin untuk mengambil air zam zam, tetapi dalam masa sama tidak mahu berganjak kerana sayangkan tempat saya menunaikan solat. Tanpa disangka secara tiba-tiba, ada orang menghulurkan sebotol air kepada saya. Begitu juga sewaktu saya teringin tempe yang dimakan oleh seorang jemaah Indonesia. Tidak sampai dua saat, dia meminta saya untuk merasa makanannya. Walaupun pengalaman saya semuanya melibatkan makanan, namun, apa yang terdetik dimakbulkan Allah serta merta. Saya sangat kagum dengan pengalaman di sana. Jika boleh, saya mahu mengerjakan umrah setiap tahun dan andai diberikan rezeki, saya juga mahu menunaikan ibadah haji.
Benarkah anda akan menamatkan zaman bujang dengan kekasih pada tahun ini?
Insya-Allah. Tetapi, saya tidak mahu terlalu terbuka mengenai hal ini. Di Mekah juga saya berdoa agar dipermudahkan dan berharap agar peminat juga mendoakan yang terbaik untuk kami.
Anda merupakan pemegang watak Juita bagi drama Nur 2. Mengapakah anda menarik diri pada saat-saat akhir?
Drama Nur sebelum ini merupakan satu naskhah yang memberi impak luar biasa terhadap penonton. Setelah membaca skrip, saya memang teringin untuk membawakan watak pelacur yang bernama Juita itu. Bagaimanapun setelah berada di Mekah dan berbincang dengan keluarga, saya memutuskan untuk menolak watak tersebut. Mungkin watak Juita terlalu berani dari segi dialog dan pakaian, secara kebetulan pula saya baru pulang dari umrah. Meskipun begitu, pengarah Shahrul Ezad telah dimaklumkan dan dia memahami situasi saya.