
Azlan kini menceburi bidang perniagaan apabila melancarkan produk minuman tenaga berjenama Turbo 3 keluaran sendiri.
Sekitar tiga tahun lalu, penyanyi Azlan & The Typewriter membuat laporan polis berhubung kegagalan penganjur Konsert High Note, Dhia Malaika Enterprise (DME) dan Cili Merah Plantations Agro (CMP Agro) untuk menjelaskan baki bayaran persembahan tersebut.
Tidak hanya Azlan, kru produksi serta dua penyanyi lain yang terlibat dalam konsert berkenaan, Ziana Zain dan Jaclyn Victor juga masing-masing belum menerima baki bayaran ketika itu.
Selepas laporan dibuat, desakan demi desakan terus dilakukan terhadap pihak penganjur. Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, tiada khabar berita daripada mereka.
Azlan atau nama sebenarnya, Nor Azlan Rosle, 37, ketika ditemui pada majlis pelancaran jenama minum tenaga, Turbo 3 di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia sudah tidak berdaya untuk meminta dan menunggu baki bayaran daripada pihak penganjur.
Azlan yang pada asalnya mahu membawa perkara tersebut ke mahkamah bagaimanapun berubah niat setelah memikirkan tentang nasib anak-anak kepada penganjur konsert berkenaan. Jika mereka didapati bersalah, Azlan tidak sampai hati untuk meneruskan proses berkenaan dan melihat ada pihak lain menanggung sengsara.
Selain menjelaskan pegangan diri, Azlan turut berbicara mengenai jenama minuman tenaganya serta single solo terbaharu berjudul Kukuh yang turut dilancarkan pada majlis sama.
Azlan, sudah tiga tahun anda menunggu baki bayaran daripada pihak penganjur Konsert High Note. Benarkah anda masih tidak menerima bayaran daripada mereka?
AZLAN: Benar, sejak konsert tamat, kami tidak pernah mendengar sebarang berita daripada penganjur. Pihak pengurusan saya juga tidak menerima apa-apa panggilan daripada mereka.
Jadi, bagaimanakah dengan baki wang konsert berkenaan? Adakah anda mahu mengambil tindakan undang-undang dan menyaman pihak penganjur?
Pada awalnya, saya terfikir untuk berbuat demikian. Mereka masih berhutang sebanyak RM90,000 dengan saya. Tetapi, setelah berfikir panjang, saya tidak mahu meneruskan hasrat tersebut. Hal ini kerana, saya terfikirkan apakah yang akan berlaku kepada anak-anak penganjur kelak jika saya mengambil tindakan mahkamah. Jadi, saya halalkan duit wang bayaran saya itu kerana anak-anak mereka. Namun, apa yang mereka lakukan kepada saya, biarlah Tuhan yang uruskan.
Adakah anda berasa serik untuk terlibat dengan konsert?
Sejujurnya saya tidak serik. Industri muzik negara akan jadi hambar jika tiada hiburan berbentuk konsert. Mungkin jika jenama minuman tenaga saya sudah mula dikenali, keuntungan daripada jualan tersebut boleh dijadikan modal untuk bikin konsert.
Mengapa anda mahu memasarkan jenama minuman tenaga berjenama sendiri?
Menerusi pemerhatian, minuman tenaga jenama tempatan tidak banyak. Jadi, saya terus merancang untuk mengeluarkan jenama air sendiri.
Tidakkah anda risau dengan persaingan sedia ada?
Semua produk yang diniagakan ada pesaing. Saya perlu positif dan yakin dengan jenama minuman ini.
Berhubung single terbaharu, anda dilihat tampil tanpa ahli kumpulan lain. Adakah ini projek solo khas atau bagaimana?
Single terbaharu berjudul Kukuh merupakan projek solo kerana saya masih bersama Azlan & The Typewriter. Lagu ini berbeza berbanding dengan lagu-lagu bersama band, kerana Kukuh berentak balada. Mulanya agak sukar untuk merakamkan lagu ini kerana proses penerbitannya yang rumit, tetapi saya percaya peminat dapat menerima Kukuh seperti mereka menyukai lagu-lagu saya sebelum ini.