Iqram Dinzly ingin jual kondominium elak muflis




“Sebab jadi selebriti saya sekarang bankrap. Saya tak tahu ingin cakap apa. Mahkamah sudah putuskan, jadi saya kena terima.”

Itu respon pelakon Iqram Dinzly yang diisytihar muflis oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) apabila gagal membayar cukai pendapatan sebanyak RM77,000.

Dedah Iqram atau nama sebenarnya, Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, berita mengejutkan itu disampaikan peguam LHDN kepada Iqram di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.

“Sejujurnya, saya memang tidak mampu ingin bayar. Cuma sekarang, saya kena cari jalan macam mana nak selamatkan aset yang ada seperti rumah dan kereta. Ini saja yang tinggal.

“Saya akui apa yang berlaku atas silap sendiri, tetapi jujur saya katakan selama ini memang tidak tahu prosedur pembayaran. Saya hanya tahu kumpul resit saja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Katanya lagi, notis pemberitahuan mengenai bayaran cukai pendapatan itu diterima sejak tiga tahun lalu yang pada asalnya berjumlah kira-kira RM200,000. Jumlah itu dikira sepanjang 10 tahun pembabitannya dalam bidang lakonan.

“Selepas dapat notis saya terus disenarai hitam. Ketika itu, saya melantik ejen untuk berurusan dengan pihak LHDN. Dapatlah kurangkan sehingga RM67,000.

“Namun, saya diperintahkan ke Mahkamah Majistret Ipoh tahun lalu dan diarahkan membayar jumlah itu dalam tempoh tiga bulan,” ujarnya.



Katanya, dua minggu lalu, dia berkungjung ke pejabat LHDN di Jalan Duta bagi berbincang sekali lagi. Hasil perbincangan tidak memberangsangkan sehingga mereka cakap saya tiada inisiatif untuk membayar.

“Disebabkan itu, jumlah meningkat semula kepada RM77,000 dan saya diberi tempoh 10 hari untuk menjelaskannya. Jika gagal, saya diisytihar muflis,” katanya.

Ditanya apa tindakan lanjutnya selepas ini, Iqram berkata, dia sedang dalam proses untuk menjual satu unit kondominium miliknya yang terletak di Damansara.

“Ingin jual aset (kondominium) bukan macam jual pisang goreng. Ia mengambil masa. Saya tidak akan lari atau menyembunyikan diri dari LDHN. Saya akan cuba selesaikan dengan cara yang terbaik.

“Apa yang penting sekarang perasaan ibu saya (Lalitol Akmar Mohamed Shaffie) apa kini saya diuji dengan perkara seperti ini. Apapun, saya yakin dia sentiasa mendoakan kesejahteraan agar saya diberi kekuatan,” terang Iqram.

Post a Comment

Previous Post Next Post