
Petikan video klip lagu Siti Sarah yang menampilkan pelakon Syafiq Kyle.
Teka-teki mengenai pelakon lelaki yang akan membintangi klip video muzik rasmi lagu Semakin nyanyian Siti Sarah akhirnya terlerai apabila penyanyi itu memilih pelakon Syafiq Kyle.
Pengumuman mengenai perkara itu dibuat pada majlis pelancaran video muzik rasmi Semakin yang diadakan di Redbox, The Gardens di sini sebentar tadi.
Ujar Sarah, pemilihan Syafiq dibuat sendiri oleh Shuib dan dia mengakui sangat teruja kerana dapat bekerjasama dengan pelakon yang diminatinya itu.
“Semuanya Shuib yang tentukan sebab dia bertindak selaku pengarah dalam video muzik ini. Jadi Shuib tahu ciri-ciri pasangan yang sesuai untuk saya dari sudut pandangan dia.
“Malah saya sangat kagumi bakat lakonan yang ada pada diri Syafiq. Sepanjang menjalani penggambaran, dia banyak membantu saya yang kayu ini untuk menjiwai karakter,” ujarnya.
Sebelum ini, Sarah dan Shuib telah meninjau pendapat peminat menerusi laman sosial berkenaan siapakah pelakon yang dirasakan sesuai membintangi klip video itu.
Mengungguli carta pilihan peminat adalah tiga nama pelakon lelaki popular iaitu Remy Ishak, Zul Ariffin dan Fikry Ibrahim.
Nama Shuib sendiri menjadi saingan hebat kepada tiga pelakon berkenaan, namun kata Sarah, dia telah menyingkirkan nama suaminya daripada senarai akhir.
Klip video rasmi lagu Semakin sudah dimuat naik di laman YouTube bermula pukul 5 petang tadi di saluran Indigital Sdn. Bhd.