
Mahkota Dewi Remaja 2018/2019 kini mutlak milik peserta serba boleh Haneesya Hanee. Kemenangan gadis berusia 18 tahun itu sekali gus mengetepikan empat pencabar lain iaitu Sherin Amiri, Anna Jobling, Rania dan Tia Sarah. Mereka sama-sama mara ke pentas akhir Dewi Remaja 2018/2109 yang bersiaran secara langsung dari Visual Three Studio, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Keputusan tersebut menyaksikan Haneesya atau nama lengkapnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi.
Tempat naib juara disandang oleh Tia Sarah yang berasal dari Selangor, manakala tempat ketiga pula dimiliki oleh Sherin Amiri. Sementara itu, Rania dan Anna Jobling masing-masing hanya berpuas hati pada tangga keempat dan kelima.
Pentas final pada malam tersebut menyaksikan kesemua lima finalis perlu menyudahkan dua tugasan akhir mereka iaitu membuat video promosi pesanan khidmat masyarakat dan sesi soal jawab bersama juri.
Final Dewi Remaja 2018/2019 yang bertemakan Pesonakan Bintangmu diadili juri tetap, Datuk Hans Isaac termasuk dua juri jemputan iaitu Datuk Aznil Nawawi dan pelakon serta pengacara terkenal, Neelofa.
Suara
Sejak muncul dalam drama Cik Reen Encik Ngok Ngek sekitar Oktober tahun lalu dan Dewi Remaja, kelibat Haneesya pantas mencuri tumpuan dek faktor fizikal uniknya iaitu berkulit gelap.
Bermacam tanggapan telah hinggap ke muka gadis tinggi lampai itu. Ada yang teruja, malah segelintir yang lain berasa kagum dengan tahap keyakinan gadis itu mengejar cita-cita meskipun fizikalnya sering dipandang sebelah mata. Di sebalik pujian, Haneesya juga harus berdepan kutukan hanya kerana dilahirkan berkulit gelap.
Isu warna kulit juga menambah garam dalam meledakkan nama Haneesya sebelum ini. Ekoran lantang mempertahankan diri setelah dipersendakan oleh pengguna media, Haneesya mengundang banyak respons positif khalayak, sekali gus menjadi bonus menaikkan pengaruhnya.
Hakikatnya, bergelar selebriti dan penggunaan platform media sosial untuk menyuarakan pendapat tentang kepincangan segelintir masyarakat tidak semuanya indahnya. Kecaman lebih besar menanti di hadapan.
Haneesya pernah dituduh sengaja berkali-kali membangkitkan isu warna kulit menerusi laman sosial kerana dahagakan perhatian. Ditanya perihal tersebut, juara baharu Dewi Remaja itu tenang melontar jawapan bersulam hujah konkrit untuk dihadam.
“Niat saya berbuat demikian bukan untuk meminta simpati. Apa yang saya kongsikan dalam laman sosial semuanya berdasarkan pengalaman sendiri.
“Saya pernah merasai kepayahan untuk masuk dalam industri kerana diskriminasi kulit. Apatah lagi untuk berdepan dengan masyarakat, itu jauh lebih sukar. Sebabnya, mentaliti segelintir pihak masih tidak berubah. Ada yang sukar menghargai manusia lain yang lahir dengan kepelbagaian warna kulit.
“Tujuan saya lantang bersuara hanya untuk menyebarkan kesedaran kepada orang awam agar sentiasa peka dengan isu sebegini. Nampak remeh tetapi tidak. Sebab tindakan mengutuk seseorang berdasarkan bentuk dan rupa fizikal adalah salah. Lebih-lebih lagi terhadap anak-anak kecil dan remaja. Kalau tidak dididik dari awal, perkara sebegini akan berlarutan,” jelasnya panjang lebar.
Pembakar semangat
Meskipun kemenangan dambaan hampir seluruh gadis seusia telah menjadi miliknya, awal-awal lagi Haneesya sudah memasang perancangan iaitu untuk meneruskan perjalanan karier seperti biasa dalam bidang peragaan.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga berhasrat untuk mengembangkan bakat lakonan, sementelah sebelum ini pernah muncul membawa watak pembantu dalam drama bersiri Cik Reen Encik Ngok Ngek.
“Memandangkan sebelum ini saya pernah berlakon drama televisyen, jadi saya akan meneruskan langkah dalam ruang yang sudah tersedia depan mata. Lagi pun, saya memang meminati dunia lakonan sejak kecil.
“Namun, dunia peragaan tetap menjadi fokus saya. Mana tahu mungkin selepas ini saya berpeluang mengembangkan bakat di luar negara dan mengharumkan nama Malaysia,” ujarnya teruja.
Mengenang kembali detik-detik sukar dalam hidup apabila berdepan bermacam dugaan sejak kecil, antaranya seperti dikutuk kerana berkulit hitam, Haneesya akui, perkara sebegitu tidak lagi memberi kesan kepadanya.
Hari ini, Haneesya berjaya bangkit dari fasa kemurungan dan kesedihan sehingga berjaya menonjolkan diri, seterusnya membuka mata umum dengan pencapaian terkini.
Kata Haneesya yang sudah bergelar model sejak berusia 15 tahun, kemenangannya meraih kejuaraan Dewi Remaja 2018/2019 menjadi bukti bahawa golongan yang memiliki kekurangan sepertinya juga mampu terbang tinggi.
“Memang sukar untuk berdepan dengan perkara ini tetapi saya sangat berterima kasih kepada ibu kerana dialah orang yang sentiasa memberi sokongan.
“Sejak kecil ibulah yang sering memberi kata-kata semangat dengan cara tersendiri. Ibu selalu menunjukkan gambar-gambar artis yang berkulit hitam tetapi mereka juga mampu berjaya. Sekarang saya sudah buktikan perkara serupa. Saya mahu menjadi suara kepada orang lain yang senasib agar tidak mengalah dengan hidup,” katanya optimis.
Program Dewi Remaja 2018/2019 yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123) tersebut dikendalikan oleh pelakon Scha Alyahya yang merupakan juara Dewi Remaja 2005/2006 selaku pengacara.
Program yang sudah diwujudkan sejak 1985 itu kembali dengan edisi terbaharu untuk sesi 2018/2019 dengan menampilkan 12 orang peserta wanita dari seluruh negara dalam sejak November tahun lalu.
Sepanjang lapan minggu bersiaran, peserta perlu melalui pelbagai cabaran termasuklah dari segi fizikal, keyakinan diri, daya keusahawanan, pengacaraan, lakonan dan kesedaran sosial.
Pernah tular gara-gara dihina berkulit hitam, Haneesya Hanee menepati ramalan untuk dijulang selaku juara Dewi Remaja 2018/2019.