Ariff Bahran dilamun cinta




Ketika ini, angin cinta antara dua penyanyi muda iaitu Ariff Bahran dan Sarah Suhairi bertiup galak. Hakikatnya benar atau tidak, hanya empunya diri yang mampu memberikan jawapan.

Justeru, persoalan yang bermain dalam kebanyakan benak perasaan peminat dua selebriti disuakan ke muka Ariff atau nama sebenarnya, Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari sewaktu hadir ke Studio Utusan untuk satu sesi fotografi.

Pelantun lagu Kata Akhirmu itu pantas mengakui, sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan juara Big Stage berkenaan. Dia juga tidak menafikan, hubungan mereka sedang dalam fasa yang amat istimewa.

“Saya akui memang kami rapat. Sarah ialah kawan perempuan paling istimewa dalam hidup saya sekarang.

“Bercinta atau tidak, biarlah persoalan itu wujud antara kami berdua sahaja buat masa sekarang. Saya tidak mahu kalau terlebih dicanang dan andai kata hubungan tidak berjalan seperti dikehendaki, hal kami akan menjadi buah mulut orang pula pada kemudian hari,” terang anak muda yang mesra disapa Bahran itu jujur.

Bercinta

Bercerita lebih lanjut bagaimana hubungannya dengan Sarah mula rapat, Bahran, 20, menjelaskan, semuanya bermula ketika mereka sama-sama berjuang dalam program Big Stage tahun lalu. Mereka juga sering menghabiskan masa bersama memandangkan kedua-duanya bernaung bawah label yang sama, Rusa Music.

“Masa bertanding dalam Big Stage, kami semakin rapat sehinggakan keluarga masing-masing sudah kenal antara satu sama lain.

“Sebenarnya, kami sudah lama kenal. Saya mengenali Sarah sebelum menyertai Big Stage lagi berikutan berada di bawah label sama.

“Hubungan kami mula serius sejak November tahun lalu. Saya pinta agar peminat mendoakan semuanya berjalan dengan baik,” dedah Bahran.

Bagaimanapun, anak jati Selangor itu tidak mahu terburu-buru untuk mengkategorikan hubungan mereka sebagai pasangan yang sedang hangat bercinta.

“Saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi. Maklumlah, kami masih muda dan perjalanan hidup pun masih panjang.

“Bagi saya, biarlah waktu yang menentukan segalanya. Lagi pun, saya tidak mahu beria-ria namun mengharapkan pengakhiran yang terbaik dalam hubungan kami. Insya-Allah,” kongsi Bahran.

Diusik pertanyaan, tidakkah keterbukaan berkongsi kisah percintaan kelihatan terlalu terburu-buru memandangkan usia masih hijau, Bahran tidak menafikan perkara tersebut.

“Sepertimana saya ingin fokus terhadap dunia nyanyian, saya yakin Sarah juga begitu. Fokus utama sekarang adalah urusan berkaitan kerjaya. Andai semua sudah stabil (dari segi ekonomi), saya mengharapkan sesuatu yang baik daripada hubungan ini.

“Bekerja dalam bidang yang sama, semestinya saya akan memberikan sokongan dan semangat kepadanya untuk terus cemerlang sebagai penyanyi. Saya juga mengharapkan perkara sama daripadanya,” ujar Bahran optimis.

Muzik

Beralih membicarakan perihal kerjaya, Bahran mendedahkan bakal meluncurkan single ketiga tidak lama lagi. Single tersebut mungkin akan menemui peminat sekitar Februari atau Mac depan.

“Alhamdulillah, selepas Kata Akhirmu dilancarkan pada 2017 dan Juara Dusta (2018), saya bakal melancarkan sebuah lagi single..

“Ia sebuah lagu balada. Saya berharap lagu tersebut akan mendapat sambutan yang sebaiknya daripada pendengar,” kata Bahran.

Ditanya harapannya untuk terus mencipta nama ke peringkat tertinggi, Bahran juga memasang hasrat untuk bertanding di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

Melihat kejayaan artis Budak Baru Nak Up (BBNU) seperjuangan seperti Wany Hasrita, Haqiem Rusli dan Aiman Tino yang pernah menggegarkan pentas AJL, Bahran juga menyimpan harapan sama.

“Sudah tentu sebagai penyanyi, saya menyimpan impian untuk bertanding dalam AJL. Saya berharap dengan perkongsian single ketiga tidak lama lagi akan membuka peluang ke arah itu.

“Menjadi penyanyi, AJL adalah batu loncatan untuk artis baharu seperti saya dikenali dan terus membuktikan sesuatu kepada orang dalam industri.

“Saya tidak mahu orang melabel penyanyi muda seperti saya hanya tahu menyanyi dalam Instagram dan bukan pentas mega seperti AJL. Insya-Allah, suatu hari impian ini akan terlaksana,” ungkap Bahran penuh keyakinan.

Sebelum menutup perbualan, sengaja Bahran dicuit tentang persediaan untuk merakamkan lagu dengan Sarah memandangkan kisah mereka sedang menjadi perbualan peminat.

Getus Bahran bersahaja: “Kalau boleh, saya tidak mahu merakamkan lagu dengan Sarah. Saya tidak mahu dilabel menumpang tuah atau popularitinya.

“Biarlah saya mendaki tangga kejayaan sebagai penyanyi dengan usaha dan kerja keras sendiri. Orang lain yang bercinta dan selesa merakamkan lagu bersama, itu keputusan dan pilihan mereka. Untuk saya, hal sebegitu akan dielakkan.”

Penyanyi muda, Ariff Bahran mengakui status percintaan dengan rakan seperjuangan, Sarah Suhairi selain berbicara tentang misi kelana muziknya.

Post a Comment

Previous Post Next Post