Tauke sedang berusaha pujuk isteri




Laut mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Perumpamaan tersebut barangkali cocok untuk menggambarkan kemelut rumah tangga yang melanda pelawak Tauke dan isterinya, Nadia Mohd. Efendi.

Masakan tidak, tiada angin tiada ribut, pada 5 Januari lalu, tiba-tiba sahaja isterinya itu menerusi laman sosial, mendakwa telah bercerai dengan Tauke atau nama penuhnya, Zamratul Amri Zakaria, 42.

Ditemui pada minggu semi final Maharaja Lawak 2018 (MLM 2018) Jumaat lalu, Tauke sekadar mampu menggulungkan kata, rumah tangganya kini sedang teruji. Katanya, dia perlu menanganinya masalah tersebut dengan tanggungjawab yang tinggi.

Mengakui masih bergelar suami kepada isterinya itu, Tauke mendedahkan, dia kini dalam proses untuk menyelamatkan perkahwinannya dan mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua orang.

Seperkara lagi, semalam menerusi Istagram, Nadia turut meluahkan kekesalan dan mengakui telah bertindak mengikut perasaan. Nadia turut meminta agar peminat berhenti mengecam atau menuding jari terhadap Tauke atas apa yang terjadi dalam rumah tangga mereka.

KOSMO!: Sejak seminggu lalu, status Tauke sebagai suami kepada Nadia menjadi perbualan hangat. Apa yang anda boleh jelaskan?

TAUKE: Sebenarnya, memang ada sedikit salah faham antara saya dan isteri. Saya akui perkara tersebut. Buat masa sekarang, saya tidak dapat selesaikan perkara ini secara menyeluruh kerana kami tinggal berjauhan. Boleh dikatakan, ada pihak ketiga yang tidak senang melihat kami bersama. Isteri pula baru lepas habis pantang dan emosinya tidak stabil. Itu pun saya faham. Apa yang berlaku sekarang amat menyedihkan. Kami tidak duduk serumah dan saya berharap semua ini dapat diselesaikan dengan cara baik dan aman.

Adakah anda sudah berbincang secara baik dengan isteri untuk meredakan masalah yang berlaku?

Biarpun dilanda ujian, kami masih lagi berhubung. Itu tanggungjawab saya sebagai seorang suami. Saya harus meredakan kemelut yang berlaku tanpa diduga ini. Saya faham, isteri sedang dalam keadaan yang memerlukan. Telinganya nipis dan mudah termakan hasutan orang luar.

Orang perempuan mudah marah dan apabila dia marah, dia akan melakukan apa sahaja. Sebagai seorang lelaki dan suami, saya bertanggungjawab untuk membetulkan apa yang berlaku.

Ada sebarang usaha daripada anda untuk memujuknya agar keadaan kembali seperti sediakala?

Ada. Rasanya biarlah saya dan isteri sahaja mengetahuinya. Keadaan kami sekarang sudah semakin okey dan saya tidak mahu terlalu mendedahkan perkara yang tidak sepatutnya dijadikan bahan perbualan orang luar.

Ada juga segelintir pihak seperti meletakkan setiap permasalahan sekarang berpunca daripada anda. Apa respons anda?

Ini yang saya suka sifat netizen. Mereka penyayang dan tidak boleh melihat orang lain dianiaya. Ada yang menyokong, menghina mencari dan sebagainya. Saya pun perlu membela diri. Nasihat saya, jika ingin beri pandangan, tiada masalah tetapi jangan main sedap tangan dan komen sesuka hati.

Saya pun tidak tahu kalau pihak yang sedap tulis komen itu pergi dulu dan saya tidak sempat maafkan, bagaimana? Kita hidup bukannya lama dalam dunia ini. Jadi kalau ingin menuduh sebarangan, sila berhati-hati.

Bagaimana pula dengar perkhabaran kononnya anda ingin menyaman pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Sultan Melaka. Boleh jelaskan?

Saya okey apabila ada wartawan atau penulis blog yang mensensasikan berita kemelut rumah tangga saya.

Bagaimanapun, Sultan Melaka ini menggunakan ayat yang kurang menyenangkan hati. Maksud saya, kalau mahu tulis, silakan tetapi jangan menghina atau mencaci saya.

Itu salah dan sekali gus menjadi pencetus kebencian dan fitnah dalam kalangan netizen. Sebagai manusia, menjadi tanggungjawab kita untuk menegakkan sesuatu perkara yang difikirkan benar. Dia telah menghina dan mencaci, sedangkan saya juga manusia biasa yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan.

Baiklah, harapan anda untuk minggu final MLM 2018 Jumaat ini?

Saya rasa semua orang ingin menang dalam pertandingan, begitu juga dengan saya. Apa yang paling utama bagi saya pada waktu ini adalah diberikan ketenangan jiwa untuk melakukan yang terbaik. Sejujurnya, apa yang berlaku terhadap rumah tangga telah memberikan tekanan yang bertubi-tubi namun saya harus kuat. Justeru, saya berharap semuanya berjalan lancar dan hubungan saya dan isteri bertambah baik dan kembali jernih. Insya-Allah.

Post a Comment

Previous Post Next Post