Usop mencari identiti




Setahun berlalu, impian anak seni kelahiran Kulim, Kedah dengan nama komersial Usop untuk terus mencipta nama selepas tamat program realiti Mentor Milenia ternyata masih samar-samar walaupun bergelar pemenang tempat kedua rancangan berkenaan.

Ironi, ketika bertanding bawah didikan dan tunjuk ajar mentornya Hazama, Usop atau nama sebenarnya, Muhammad Saiful Naim Muhd. Noor, mendapat sokongan dan sorakan padu peminat saban minggu.

Bagaimanapun, semuanya seperti vakum perlahan-lahan apabila lelaki berkulit sawo matang berusia 21 tahun itu beransur masuk ke dalam industri. Tiada lagi sorakan riuh dan cubaan menularkan dirinya dalam kalangan peminat di laman sosial. Sedangkan, bakat nyanyiannya bukan biasa-biasa. Usop mempunyai listrik vokal unik yang mampu diketengahkan andai diberi ruang sewajarnya.

“Saya masih ada dalam industri, tetapi kurang dipaparkan dalam televisyen. Selepas tamat Mentor Milenia, tidak semua perkara indah. Banyak dugaan yang perlu saya hadapi.

“Memang kalut. Saya ingatkan jadi artis senang. Kita menyanyi sedap-sedap sahaja, orang akan suka dan populariti itu datang. Namun, ia bukan seperti itu,” anak muda yang menjadikan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah sebagai idola itu membuka perbualan.

Memang susah

Sedikit imbasan ketika di pentas Mentor Milenia, Usop sering menjadi buah mulut penonton termasuk warganet apabila menghadirkan nyanyian merdu. Antaranya, persembahan lagu Menahan Rindu nyanyian asal Wany Hasrita dan Titian Hasrat (Samudera). Dia sering dinobatkan sebagai juara mingguan.

Sebut sahaja nama Usop, penonton bersorak kuat. Bagaimanapun, minggu demi minggu, auranya semakin mengecil sehinggalah tamat program dan dia mula bertatih masuk ke dalam industri muzik tanah air. Tiada kelopak yang mekar dan popularitinya gugur begitu sahaja.

Akuinya, dia mengalami sedikit kejutan budaya terutama apabila, Hazama ‘melepaskannya’ untuk berjalan sendirian dengan alasan supaya mencari identiti sendiri dan tidak terus disamakan dengan mentornya itu.

“Ramai yang kata, suara saya sama seperti Hazama dan tiada identiti sendiri.

“Saya bagaimanapun amat berterima kasih dengan segala tunjuk ajar dan bimbingan Hazama ketika dalam Mentor Milenia. Apabila saya tidak lagi bersamanya, agak terumbang-ambing, namun saya fikir ia merupakan satu proses pembelajaran.

“Saya bergerak sendiri mencari dan memenuhi undangan nyanyian dengan ditemani oleh bapa. Susah memang susah, sehingga rasa ingin berhenti menyanyi, namun saya selalu ingat alasan utama mengapa saya ingin menyanyi. Saya ingin mewarna industri dengan bakat yang ada,” kata Usop jujur melontarkan bicara.

Muncul dengan single perdana pada awal pembabitan berjudul Matahari dan kedua, Nama Terindah, sambutan yang diterima daripada pendengar hanya pada paras sederhana. Namanya terus lenyap sehinggakan tiada langsung undangan nyanyian yang menampakkan dirinya dalam arus perdana.

“Sejujurnya, saya tidak biasa dengan kehidupan sebagai seorang artis. Mungkin kegagalan dua single awal disebabkan tiada pengalaman yang utuh. Bayangkan 95 peratus diri saya berubah, Usop yang lama hanya lima peratus.

“Apapun, saya belajar banyak perkara daripada kegagalan lampau. Orang tidak panggil menyanyi, itu bermakna banyak lagi ruang yang perlu diisi untuk terus meletakkan nama sebaris dengan penyanyi terbaik dan popular sekarang,” dedahnya merendah diri.

Impian AJL

Kini muncul dengan single terbaharu berjudul Aku Yang Bersalah ciptaan Haqiem Rusli dan Fareez Fauzi, Usop bersyukur kerana lagu tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

“Alhamdulillah, selepas lebih sebulan dilancarkan di YouTube, klip muzik Aku Yang Bersalah sudah mencecah lebih dua juta tontonan.

“Sebenarnya lagu ini sudah lama diberikan Haqiem kepada saya iaitu sejak dalam Mentor Milenia lagi. Tidak sangka, apabila dijadikan single terbaharu, ia mendapat sambutan hebat daripada orang ramai,” kata Usop yang kini bernaung bawah label, Rocketfuel.

Ditanya tentang harapan serta visi untuk lagu berkenaan, Usop tanpa berselindung mendedahkan dia teringin melihat Aku Yang Bersalah dipertandingkan dalam Muzik Muzik dan seterusnya layak ke pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Menjadi impian paling besar saya untuk bertanding di pentas AJL. Saya ingin membuktikan kepada orang ramai walaupun saya tidak mempunyai wajah yang kacak, saya juga boleh menyanyi di pentas besar seperti AJL.

“Bukan ingin bersaing dengan artis-artis sedia ada, tujuan saya cuma ingin memeriahkan industri dengan bakat nyanyian yang boleh ditonjolkan.

“Saya sedar, sekarang ada ramai penyanyi yang kacak-kacak yang tidak mungkin dapat saya tandingi kalau rupa paras dijadikan ukuran. Namun kalau dengan bakat, insya-Allah, saya boleh bersaing,” tutur Usop.

Sebelum menutup perbualan, terlanjur Usop membicarakan isu rupa paras serta penampilan, sengaja diajukan soalan tentang perkara tersebut yang sedikit tidak berpihak buat dirinya.

Jawabnya: “Orang boleh mengata saya tidak kacak atau penampilan tidak ubah seperti penyanyi kampung, namun itu semua tidak memudarkan minat nyanyian yang saya ada.

“Saya bermula dengan kosong dalam industri ini. Menyanyi pun ikut sedap telinga sahaja, tiada pendidikan formal dan sebagainya. Orang mengata, saya yakin akan muncul rezeki untuk saya pada kemudian hari.”

Post a Comment

Previous Post Next Post