Rita Rudaini sedia digelar gila talak demi anak




Gara-gara memuat naik sekeping foto anak-anaknya bersama bekas suami, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak, kisah rumah tangga pelakon Rita Rudaini kembali menjadi buah mulut peminat sejak kebelakangan ini.

Dahulu isunya adalah berkenaan tuntutan nafkah dua anak mereka iaitu Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, yang dibuat oleh Rita kepada bekas suami. Kini timbul pula khabar angin bahawa Rita sengaja melakukan tindakan tersebut (memuat naik gambar) untuk memancing Aidil yang merupakan pemain bola sepak negara kembali kepadanya.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar ketika ditemui pada pusingan akhir Pencarian Gadis Panca MyBeauty 2018 di Dewan Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui sudah lelah untuk memberi penjelasan.

Katanya, apa sahaja yang dilakukan sejak dahulu sering dipandang negatif dan membuatkan dia menerima pelbagai tohmahan sedangkan hanya dia dan Aidil yang tahu perkara sebenarnya.

“Saya pelik juga mengapa ramai sungguh orang yang cuba masuk campur dalam urusan anak-anak kami sedangkan apa sahaja yang saya lakukan adalah berdasarkan persetujuan bersama di mahkamah.

“Mungkin mereka berasa tidak senang duduk apabila saya semakin terbuka membenarkan Rayyan dan Qaqa mengenali bapa mereka. Itu (Aidil Zafuan) bapa kandung mereka, jadi saya tidak nampak apa yang salah dengan keputusan tersebut,” jelasnya panjang lebar.

Kalis cemuhan

Saat ditebak mengapa baru sekarang hatinya berubah menjadi lembut untuk mendekatkan anak-anak dengan Aidil, pelakon yang popular dengan filem Mami Jarum itu menjawab kerana masanya yang tepat.

Selain anak-anak semakin membesar dan memahami situasi yang berlaku antaranya dan Aidil, Rita enggan kedua-dua cahaya matanya beranggapan bapa mereka sudah tiada.

“Sewaktu kami bercerai, Rayyan dan Qaqa masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Pada pemahaman mereka pada waktu itu, sayalah ibu dan sayalah bapa, jadi tiada guna menerangkan sesuatu yang sangat rumit kerana saya tidak mahu anak-anak trauma atau sedih.

“Sekarang apabila kedua-duanya telah bersekolah, mereka mula bertanya siapakah bapa mereka. Berdasarkan pertanyaan tersebut saya dapat lihat anak-anak telah bersedia untuk mengenali siapa sebenarnya Aidil,” terangnya.

Tambah wanita berusia 42 tahun itu lagi, dia mengambil sikap tidak peduli apabila dituduh gila talak atau menggunakan anak-anak untuk melepas rindu pada Aidil apabila memuat naik gambar kenangan bekas suaminya bersama anak-anak dalam akaun Instagramnya.

Meskipun kalis cemuhan dan tidak kisah pandangan orang ramai terhadapnya kerana sedar bukan semua pihak menyenangi tindakannya, Rita bagaimanapun lebih mementingkan perasaan anak-anaknya dalam isu terbaharu ini.

“Biarlah orang mahu bercakap apa sahaja, saya lakukan semua ini demi Rayyan dan Qaqa. Mereka wajib tahu siapa bapa mereka walaupun sudah lebih empat tahun tidak berjumpa. Saya pesan kepada mereka, jika tidak boleh berjumpa di dunia, berdoalah agar dapat bertemu Aidil di syurga,” katanya.

Sokong minat

Selain mula bercerita berkenaan bekas suami kepada anak-anak, Rita juga memberi kebebasan kepada mereka untuk mengikut jejak langkah Aidil menjadi pemain bola sepak profesional suatu hari nanti.

Selepas melihat potensi dan bakat yang ada pada dua orang anak lelakinya, Rita mengambil inisiatif menghantar mereka menjalani latihan bola sepak dan turut menubuhkan kelab bola sepak kanak-kanak, RR Cougras sebagai tanda sokongan.

Tidak pernah timbul istilah mengharamkan bola sepak terhadap anak-anak seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sebelum ini. Menurutnya, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi dan sebagai ibu, dia akan menyokong apa sahaja minat Rayyan dan Qaqa.

“Mereka mula meminati bola sepak kerana pengaruh rakan sebaya di sekolah, jadi baru sekarang saya turutkan permintaan untuk menghadiri kelas latihan, malah menubuhkan kelab bola sepak demi mereka.

“Saya dapat lihat kesungguhan mereka dalam menjalani latihan bola sepak sehingga sanggup tidak bercuti ke luar negara kerana enggan terlepas latihan. Namun, saya sering berpesan, meskipun meminati bola sepak pelajaran tetap nombor satu,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri bicara, Rita sempat mengulas berkenaan kontroversi tidak membawa anak-anaknya ke stadium menonton perlawanan akhir Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tegasnya, jika Aidil yang memberikan tiket tersebut barulah dia akan membawa Rayyan dan Qaqa menontonnya.

“Mereka mempunyai bapa yang boleh mendapatkan tiket tersebut, jadi apabila orang lain yang bersusah payah, saya berasa ralat. Saya tidak mahu anak-anak berkecil hati kerana bukan Aidil yang memberikan tiket tersebut,” tuturnya.

Selepas lima tahun bercerai, aktres Rita Rudaini berasakan sekarang adalah waktu yang terbaik untuk dua anak lelakinya mengenali bapa kandung mereka, Aidil Zafuan. Biar dituduh gila talak, Rita akan terus berkongsi kisah bekas suami kepada anak-anaknya.

Post a Comment

Previous Post Next Post