Eyra Hazali hormat permintaan keluarga




Pelakon Eyra Hazali mendedahkan dia sama sekali tidak berniat untuk menyembunyikan pertunangannya dengan penjaga gol pasukan bola sepak bawah 22 tahun (B22), Haziq Nadzli yang berlangsung pada 1 Disember lalu.

Namun, atas permintaan keluarga, Eyra tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai majlis pertunangannya.

Biarpun begitu, gambar pertunangan mereka terlebih dahulu tersebar dalam laman sosial sebelum pelakon berusia 19 tahun itu sendiri memuat naik beberapa keping gambar dalam Instagramnya.

Jelas Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali, selain keluarga dia juga memikirkan privasi tunangnya yang bukan selebriti.

Ikuti penjelasan daripada pelakon drama Mr. Grey itu ketika ditemui pada majlis pelancaran filem M4M4 di Hotel Summit, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Apakah tarikan dan cabaran filem M4M4 sehingga anda bersetuju untuk menerima tawaran tersebut?

EYRA HAZALI: Ini merupakan filem kedua lakonan saya. Dalam filem ini saya memegang watak sebagai rakan baik Alya bernama Elly. Biarpun memegang watak sebagai remaja, tetapi Elly sebenarnya memainkan peranan penting kerana dia juga menjadi rakan baik kepada ibu Alya, Aini (Nabila Huda). Jadi, perbezaan umur antara kami adalah cabaran utama. Bukan senang untuk menjadi rakan baik kepada seorang wanita bergelar ibu, justeru saya melakukan kajian supaya benar-benar memahami kehendak pengarah.

Selepas Mr. Grey, rezeki anda dalam bidang lakonan semakin mencurah dalam drama. Apakah yang menyebabkan anda berani berlakon dalam filem?

Alhamdulillah, tawaran semakin banyak selepas membintangi drama Mr. Grey. Walaupun sudah 13 tahun dalam industri, tetapi saya akui karier bergerak perlahan-lahan tanpa memerlukan bantuan kontroversi untuk dikenali. Saya menerima tawaran filem ini disebabkan mahu meneroka cabaran baharu. Selepas muncul dalam Mr. Grey, saya banyak mendapat tawaran watak yang lebih kurang sama iaitu ibu dan isteri. Walhal saya masih muda, jadi saya mahu mencuba perkara baharu.

Mengapa pada saat karier berada di puncak, anda memilih untuk mengikat tali pertunangan?

Sebenarnya persediaan untuk bergelar isteri memang telah lama dibuat sebelum saya muncul dengan drama Mr. Grey lagi. Cuma pada waktu itu hubungan kami belum serius. Jadi, pertunangan saya baru-baru ini tidak ada kena mengena dengan konsep bertunang atau kahwin selepas terkenal.

Mengapakah anda memilih untuk tidak mendedahkan majlis pertunangan kepada umum?

Saya melakukannya untuk kebaikan keluarga kedua-dua belah pihak. Bapa kami berdua meminta majlis pertunangan dirahsiakan dan tidak dihebohkan. Sebagai anak kami mengikut sahaja. Sejujurnya saya tidak berniat untuk menyembunyikan perkara tersebut kerana cepat atau lambat, ia tetap akan tersebar juga. Cuma seperti yang dijelaskan tadi, saya hormati kehendak keluarga.

Bagaimanapun gambar pertunangan telah tersebar selepas majlis berlangsung. Apa komen anda?

Saya sendiri tiada niat untuk bercerita secara terperinci sebab ia sekadar ikatan pertunangan. Semua sedia maklum bahawa pertunangan tidak memberi jaminan untuk sebuah hubungan berakhir dengan perkahwinan. Jika terlalu kecoh dan kemudian putus, nanti saya yang malu sendiri. Oleh itu, saya memilih untuk bertenang dan buat seperti biasa sahaja.

Berapa lamakah tempoh pertunangan dan adakah anda akan berahsia juga untuk perkahwinan nanti?

Tempoh kami mengikat tali pertunangan adalah rahsia dan untuk perkahwinan pula saya tidak akan sorok. Cuma majlis perkahwinan tidak akan dilakukan dalam masa terdekat.

Insya-Allah saya akan beritahu kepada semua. Saya perlu mengambil kira status tunang. Dia bukan selebriti, jadi saya perlu hormati privasinya.

Bagaimanakah hubungan kalian terjalin dan bagaimana dengan perancangan karier selepas berkahwin kelak?

Kami cuma berkenalan selama setahun sahaja ketika Sukan Sea pada tahun lepas. Saya mengikutinya di Instagram dan di situlah bermula perkenalan.

Perancangan selepas berkahwin, saya tetap dengan kerjaya seni kerana tunang tidak pernah menghalang untuk saya bekerja. Cuma disebabkan dia tinggal di Johor dan kebanyakan kerja saya di Kuala Lumpur, jadi perkara tersebut masih dalam proses perbincangan.

Post a Comment

Previous Post Next Post