Aishah tidak sasar AJL




Aishah tidak mengharapkan single Malar akan segera mendaki tangga populariti atau memburu tempat ke pentas AJL mahupun AIM.

Mengambil masa setahun untuk melancarkan single baharu selepas memenangi program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4), penyanyi bersuara emas, Aishah mengakui dirinya sangat cerewet dan mementingkan kesempurnaan.

Biarpun lagu yang bertajuk Malar ciptaan sepenuhnya oleh Hazami tersebut sudah siap dirakam sejak Ramadan lalu, pemilik nama Wan Aishah Wan Ariffin itu menunggu sehingga benar-benar puas hati barulah ia dilancarkan secara rasmi.

Menurut Aishah, ketelitian tersebut bukanlah demi memastikan single berkenaan tercalon dalam mana-mana pertandingan nyanyian seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) atau Anugerah Industri Muzik (AIM), sebaliknya Aishah hanya mahu memberikan yang terbaik buat peminat.

Ditemui pada majlis pelancaran muzik video Malar di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini, wanita berusia 53 tahun itu sudah tidak meletakkan pertandingan sebagai fokus utama dalam berkarya kerana sudah pernah melalui fasa sebegitu selama 31 tahun bertapak dalam industri.

KOSMO!: Adakah Aishah menyedari bahawa pendekatan yang diamalkan menyebabkan lagu Malar lambat dilancarkan?

AISHAH: Ya, pastinya saya sedar kerana tahu-tahu sahaja kita sudah berada pada penghujung tahun sedangkan lagu sudah siap dirakam pada bulan Jun. Cuma saya jenis yang tidak suka melancarkan lagu jika tidak berpuas hati mendengarnya. Oleh sebab itu, saya asyik membuat perubahan pada lagu ini sehingga saya beritahu pada Hazami, kita kena lancarkannya sebelum saya berubah fikiran (tertawa).

Apakah yang membuatkan anda jatuh cinta dengan lagu tersebut?

Saya bersetuju untuk membawakan lagu Malar kerana ia sangat jauh berbeza berbanding single-single saya yang terdahulu. Ia ibarat satu cabaran baharu buat saya selepas 31 tahun bergelar seorang penyanyi. Jujurnya, anak-anak juga terkejut dengan keputusan saya untuk menyanyikan lagu ini kerana mereka tahu melodi lagu ini bukanlah genre yang selalu saya bawakan. Namun saya berpuas hati dengan hasilnya dan berjaya memasukkan identiti Aishah pada lagu yang awalnya kedengaran milik Hazami.

Adakah anda menyasarkan penyertaan dalam pertandingan seperti AJL berdasarkan penelitian yang tinggi semasa proses rakaman lagu berkenaan?

Kalau lagu ini terpilih, ia satu bonus untuk saya namun untuk menghasilkan sebuah lagu khas untuk bertanding, zaman itu sudah berlalu buat saya. Lagipun saya tidak faham dengan sistem pemilihan lagu ke AJL sekarang kerana sangat berbeza berbanding zaman saya dahulu.

Apakah yang anda maksudkan dengan perbezaan tersebut?

Saya difahamkan kemantapan vokal bukan lagi kriteria utama bertanding dan populariti sesebuah lagu memainkan peranan penting sedangkan pada zaman saya, vokal menjadi perkara pertama yang diadili. Kreativiti dalam penulisan lirik dan kemerduan gubahan lagu sangat penting biarpun lagu belum popular di radio. Jadi, saya tidak kisah dan enggan mengejar pentas AJL, namun jika ia datang kepada saya maka saya terima sahaja dengan tangan terbuka.

Bercakap soal popular, adakah anda risau dengan prestasi lagu Malar untuk bersaing dengan lagu-lagu generasi muda sekarang?

Saya akui, lagu Malar ini bukanlah sebuah single yang akan terus melekat pada telinga peminat kerana ia agak kompleks. Namun jika didengar berulang kali, barulah orang akan mula menghargainya. Tidak mengapa jika ia tidak terus popular kerana saya yakin, lagu yang lambat panas akan kekal lama berbanding yang cepat naik, pasti cepat turun.

Menyentuh sedikit soal bentuk badan anda yang semakin mengecil, bagaimana dengan penurunan berat sejak menjalani pembedahan bariatik (lintasan salur makanan) pada Februari lalu?

Alhamdulillah, selera makan saya lebih terkawal dan saya masih perlu menurunkan sekitar 16 kilogram (kg) untuk mencapai berat badan ideal sekitar 70-80kg. Sebenarnya, apabila badan semakin kurus, ia memberikan banyak impak positif terhadap karier nyanyian kerana pernafasan saya menjadi lebih terkawal. Saya kurang berasa semput dan mampu menyanyi dengan lebih baik untuk tempoh waktu yang panjang.

Post a Comment

Previous Post Next Post