
Aksi Michelle Yeoh (kanan) dalam filem Master Z : The Ip Man Legacy.
Pengarah legenda Hong Kong, Yuen Woo Ping menyifatkan pelakon kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh sebagai pelakon aksi wanita yang tiada galang gantinya.
Ujar Woo Ping, 73, sehingga kini, belum ada mana-mana pelakon aksi wanita berdarah Cina yang mampu menandingi atau menggantikan tempat aktres tersebut.
"Tiada pelakon aksi wanita generasi sekarang yang sehebat Michelle. Saya masih belum jumpa penggantinya.
"Michelle cantik dan pandai bertarung. Saya tidak tahu mana silapnya namun kalau tidak dilatih pelakon-pelakon muda wanita sekarang, memang tidak akan ada Michelle Yeoh seterusnya," kata Wong Ping ketika ditemui Kosmo! Online yang diterbangkan khas ke Hong Kong untuk tayangan perdana filem Master Z: The Ip Man Legacy oleh Lotus Five Star sebentar tadi.
Kata Wong Ping lagi, dia amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan aktres hebat itu dalam filem terbaharu arahannya, Master Z: The Ip Man Legacy.
"Saya memang hanya mahu Michelle untuk berlakon dalam filem ini. Saya mahukan seorang pelakon wanita yang boleh bertarung sehebat pelakon aksi lelaki dan orang itu adalah Michelle.
"Seronok kerana dapat membawanya kembali berlakon untuk filem Hong Kong. Sudah agak lama rasanya beliau tidak berlakon filem di sini dan dengan penglibatannya dalam filem arahan saya kali ini merupakan satu kejayaan," ujar Wong Ping yang turut menekankan perlunya kerja keras dalam memupuk minat pelakon muda aksi zaman sekarang.
Wong Ping merupakan pengarah aksi prolifik Hong Kong yang telah mengarahkan puluhan filem hebat seperti Tai Chi Master (1993), Wing Chun (1994) dan Crouching Tiger, Hidden Dragon: Sword of Destiny (2016).
Master Z: The Ip Man Legacy merupakan spin-off filem francais Ip yang begitu popular. Filem tersebut dibintangi Max Zhang, Dave Bautista, Kevin Cheng, Chrissie Chau dan Patrick Tam selain menampilkan pelakon aksi hebat seperti Michelle Yeoh dan Tony Jaa sebagai penampilan istimewa.
Master Z : The Ip Man Legacy bakal ditayangkan secara rasmi di pawagam Malaysia bermula 25 Disember ini.