
Terbelenggu oleh sikap pemalu ditambah lagi dengan masalah gagap yang dialami membuatkan zaman kanak-kanaknya agak suram dan terkebelakang berbanding teman-teman seusia. Ironinya, kini gadis mungkin dianggap pelik itu telah melalui satu transisi besar.
Dia menjelma sebagai Emily Blunt dan tarian hidupnya bersimbah kemilau glamor dunia Hollywood dengan banyak siri kejayaan.
Terbaharu, pemilik nama lengkap Emily Olivia Leah Blunt itu mencapai satu lagi paras kejayaan apabila diberi peluang menjayakan karakter ikonik Mary Poppins dalam sekuel filem klasik terbitan Disney berjudul Mary Poppins Returns.
Selepas 54 tahun, nostalgia Mary Poppins dicetuskan semula menerusi pembikinan sekuelnya yang kini diarahkan oleh sutradara profilik, Rob Marshall. Blunt menerusi wawancara bersama majalah Harper’s Bazaar UK bagaimanapun mendedahkan, dia tidak menjadikan versi filem asal sebagai rujukan utama sebelum menjayakan filem berkenaan.
“Rujukan saya sepenuhnya daripada versi buku. Biarpun saya sudah menonton filem asal ketika kecil, saya memutuskan untuk tidak menontonnya sebelum masuk penggambaran.
“Hal ini adalah kerana saya tidak mahu ‘ditakutkan’ dengan kehebatan pelakon asal, Julie Andrew yang sudah menjayakan watak ikonik tersebut.
“Ketika kecil, saya tidak boleh bercakap seperti kanak-kanak lain (gagap). Jadi, saya hanya menonton filem dan tertanya-tanya tentang tindak-tanduk manusia,” ujar Blunt yang mula menarik perhatian peminat khalayak global menerusi watak Emily Charlton dalam filem The Devil Wears Prada tahun 2006.
Fantasi Mary Poppins
Sumber inspirasi lain buat Blunt menjayakan watak Mary Poppins ialah Rosalind Russell dalam karya komedi 1940-an, His Girl Friday.
Katanya: “Rosalind Russell seperti puting beliung. Menonton lakonannya dalam filem His Girl Friday membuatkan saya teruja mahu melontarkan dialog dan aksen selancar dirinya yang melakonkan watak seorang wartawan itu.”
Meneruskan perbualan, pelakon filem A Quite Place itu meluahkan rasa terujanya dapat bekerjasama dengan aktor asal filem Mary Poppins, Dick Van Dyke yang kini sudah berusia 92 tahun.
“Dia (Van Dyke) mungkin sudah berusia 92 tahun, namun kerlipan mata dan senyumannya ketika berada di set penggambaran penuh dengan memori yang cukup utuh. Melakonkan watak pemilik bank, Mr Dawes Jr., dia sangat hebat.
“Amat menyentuh perasaan dapat berlakon dengannya. Jelas sekali dia berasa penat setiap kali selesai menjayakan babak lakonan, namun dia akan selalu meletakkan tangannya pada bahu saya sambil menyanyikan bait lirik berbunyi, it’s a jolly holiday with Mary..., iaitu lirik dalam salah sebuah lagu original dalam filem ini,” kata Blunt, 35.
Blunt dibesarkan dalam keluarga ‘senang-lenang’ iaitu dari kalangan kelas menengah atas. Disebabkan itu, kehadiran pengasuh bukan sesuatu yang ganjil dalam hidupnya sepertimana watak Mary Poppins dikembangkan.
Mendiang datuknya merupakan mejar jeneral bersara, bapanya pula bekerja sebagai peguam keluarga diraja British, manakala bapa saudaranya merupakan seorang ahli politik bernama Crispin Blunt. Melihat latar belakang keluarga Blunt, dia tidak mempunyai banyak masalah berkaitan wang ketika membesar. “Mendiang nenek mempunyai sedikit sejarah seni seperti saya. Dia sangat luar biasa. Kalau ceritanya dibukukan, dia akan menjadi buah mulut orang ramai.
“Dia seorang artis yang sangat jelita. Kami sekeluarga mempunyai potretnya yang dilukis cermat di setiap dinding di rumah termasuk di apartmen milik saya. Kehadirannya paling dihargai dalam hidup kami semua dan boleh dikatakan, dia ialah Mary Poppins dalam hidup saya,” dedahnya.
Blunt merupakan anak kedua daripada empat orang adik-beradik; dia amat rapat dengan kakak sulungnya, Felicity, seorang pengamal kesusasteraan yang berkahwin dengan Stanley Tucci (aktor yang pernah berlakon bersama dengannya dalam The Devil Wears Prada).
“Jurang usia saya dengan kakak hanya 17 bulan. Jadi, kami memang amat rapat ketika membesar sehinggakan mempunyai bahasa rahsia yang kami sahaja tahu,” kata Blunt.
Gagap ketika kecil
Mempunyai masalah gagap ketika kanak-kanak, Blunt mendedahkan dia seorang yang pendiam dan selalu dilihat hanya bersama buku-bukunya.
“Disebabkan saya gagap, saya banyak belajar dengan hanya melihat dan mendengar.
“Saya pun tidak tahu bagaimana masalah gagap saya boleh hilang. Apa yang saya tahu ketika kecil, saya suka berlakon kononnya berada di tempat orang lain secara rahsia.
“Saya merupakan seorang budak yang gemar bermain sendirian di dalam kamar. Kebanyakan masa saya habiskan di depan cermin. Saya tidak suka bercerita dengan orang lain,” kongsinya.
Katanya lagi, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk memiliki karier sebagai seorang pelakon profesional. Sebaliknya, dia bercadang ingin mempunyai kerjaya dalam bidang linguistik.
“Saya mempunyai impian ingin menjadi seorang penterjemah. Bagaimanapun, apabila melanjutkan pengajian A Level di Hurtwood House, saya dipilih oleh produksi sekolah yang akhirnya membawa ke satu pertandingan yang diberi nama Edinburgh Festival.
“Saya terlibat dalam pementasan opera berjudul Bliss dan ia amat menakutkan. Masakan tidak, ada satu babak saya melakonkan watak menggugurkan janin menggunakan penyangkut pakaian sambil menyanyikan sebuah lagu balada. Cuma ada sekitar 30 orang menonton persembahan tersebut,” terang Blunt yang bekerjasama dengan aktor, Adrian Rawlins dalam persembahan tersebut.
Disebabkan pementasan tersebut, bakatnya dihidu oleh seorang ejen yang turut mengambil Rawlins untuk dibawa ke peringkat yang lebih serius di Hollywood.
“Kalau saya tidak melakonkan watak mengerikan dan memalukan itu, mungkin saya tidak akan berada di sini (Hollywood),” tambahnya lagi.
Perkahwinan
Hidup dalam atmosfera penuh kemasyhuran sebagai seorang selebriti, Blunt bagaimanapun berjaya mengasingkan rasa bahagianya dengan suami, John Krasinski dengan apa yang dikecapinya sebagai aktres. Bertemu pada tahun 2008, mereka berkahwin dua tahun kemudian di sebuah rumah agam milik aktor, George Clooney di Lake Como, Itali.
“Krasinski sudah lama mengenali Clooney dan mereka amat rapat. Pada mulanya, saya tidak percaya Clooney menawarkan rumahnya di Lake Como sebagai tempat kami berkahwin. Sampai sekarang saya masih terkejut kerana ingatkan dia bergurau,” jelasnya.
Hasil perkahwinan, Blunt dan Krasinski dikurniakan dua orang puteri, Hazel, 4, dan Violet, 2. Mereka sekeluarga kini tinggal di Brooklyn selepas beberapa tahun menetap di Los Angeles.
“Brooklyn kaya dengan budaya dan adat resam. Jujurnya, kami tidak mempunyai kereta, kami berjalan sahaja ke mana-mana dan masyarakat di sana okey dengan hal itu dan tidak mengganggu privasi kami.
“Saya sangat bahagia hidup bersama suami dan anak-anak. Saya mengajar anak supaya tidak dimanjakan dengan kemewahan. Sukar macam mana pun sesuatu keadaan, saya lebih rela mereka mencuba untuk menyelesaikannya secara tradisional.
“Seperkara lagi, memandangkan saya dan suami bekerja dalam bidang yang sama iaitu seni, kami tidak akan sesekali meninggalkan anak melebihi jangka masa dua minggu. Kalau perlu bawa anak ke set penggambaran dan bersama kami, itu lebih baik,” tutur Blunt menutup bicara.
Teraju utama filem fantasi epik, Mary Poppins Returns iaitu Emily Blunt membuat pendedahan tentang zaman kanak-kanaknya. Dia mempunyai masalah gagap, namun kekurangan tersebut tidak menjadi penghalang buat dirinya bergelar aktres hebat dunia.