Masih bahagia, Rozita Che Wan nafi tuntut cerai




Lima tahun bergelar suami isteri, ini adalah kali pertama gosip berkenaan perceraian dikaitkan dengan pasangan yang mempunyai seorang anak perempuan hasil hidup bersama, Aaisyah Dhia Rana, 4

Sepanjang lima tahun mendirikan rumah tangga bersama Zain, ini kali pertama Che Ta dilanda gosip perceraian.
Ketika dihubungi Kosmo!, Che Ta, 45, pantas menafikan gosip berkenaan permohonan cerai, namun mengakui ada hadir ke mahkamah tinggi berhubung isu perniagaan dan bukannya isu peribadi.

Pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu turut memberitahu, rumah tangganya masih bahagia tanpa sebarang masalah besar dan menyifatkan khabar angin tersebut hanyalah spekulasi liar yang sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu.

Bagaimanakah anda mengetahui tentang khabar angin yang mendakwa anda pergi ke mahkamah syariah untuk memfailkan permohonan cerai?

CHE TA: Ada rakan media yang memberitahu saya bahawa terdapat gosip yang memberikan bayangan bahawa artis yang hadir ke mahkamah syariah baru-baru ini ialah saya. Pada mulanya memang terkejut kerana saya pergi ke mahkamah tinggi untuk menyelesaikan beberapa isu berkenaan perniagaan, bukannya perceraian.

Jadi, anda dan Zain memang tiada sebarang masalah dalam perkahwinan?

Tipulah jika langsung tiada masalah dan aman damai sahaja. Setiap rumah tangga pasti ada pasang surutnya, ada masa gembira, ada masa berselisih faham, tetapi itu adalah lumrah kehidupan suami isteri. Setakat ini, kami masih bahagia dan sentiasa berusaha yang terbaik. Jika berdepan sebarang ujian sekali pun, tidak pernah terfikir untuk sampai ke tahap bercerai-berai.

Perkahwinan anda bakal berusia lima tahun pada 11 Disember ini, boleh kongsikan apakah perkara terbaik tentang suami?

Saya sentiasa berasa bertuah kerana memiliki suami seperti Zain yang sangat memahami, tidak mengongkong dan menerima diri saya seadanya. Biarpun dia tidak memiliki kekayaan daripada segi harta, tetapi dia seorang yang setia serta bukan kaki perempuan. Sebab itu apabila terdapat dakwaan saya hendak bercerai, soalan pertama yang terkeluar dari mulut saya adalah, lelaki yang bagaimana lagi saya mahukan sedangkan Zain sudah cukup baik. Jadi, daripada harapkan kami berpisah, lebih baik doakan jodoh kami kekal sampai ke penghujung usia.

Adakah anda berasa terkilan apabila sering menjadi bahan tular pelbagai isu terutamanya perkara negatif?

Sejujurnya, saya sudah terbiasa sejak menceburkan diri dalam dunia hiburan. Orang memang akan cuba menjatuhkan dan mencari kesalahan artis yang dianggap perlu sentiasa tampil sempurna. Saya cuma menjadi diri sendiri dan memekakkan telinga sahaja bila ada pihak yang menyindir atau memerli gaya hidup yang saya pilih.

Apakah pendapat anda tentang penggunaan platform media sosial sebagai tempat meluahkan perasaan atau berkongsi masalah peribadi terutama bagi selebriti?

Bagi saya, meskipun bergelar seorang selebriti, tidak semua benda saya kongsikan dalam media sosial. Setiap perkongsian ada batasnya, jika berkaitan keluarga atau rumah tangga, lebih baik kita selesaikan sesama kita sahaja. Jangan jadikan ia motif untuk meraih simpati atau sokongan peminat kerana tidak semua orang berniat baik. Memang orang lihat saya seolah-olah menayangkan segalanya dalam Instagram, tetapi masih ada beberapa sisi kehidupan yang saya simpan hanya untuk diri sendiri. Lagipun selain artis, saya juga seorang usahawan jadi imej di mata umum perlu dijaga.

Post a Comment

Previous Post Next Post