
Tiada apa yang dapat diluahkan oleh figura jelita bernama Tya Arifin ini apabila ditebak persoalan mengenai cahaya mata, selain daripada menzahirkan reaksi wajah positif dan senyuman terukir di bibir nan merah.
Tidak memberi jawapan sama ada ya atau pun tidak, Tya sebaliknya melepaskan gelak tawa besar tentang dakwaan pengikut Instagram baru-baru ini yang mengatakan dia sedang hamil gara-gara memuat naik sekeping foto berserta kapsyen yang ditulisnya tentang dirinya yang hilang selera makan.
“Sebenarnya, saya hilang selera makan kerana kurang sihat dan agak penat. Lagipun, pada ketika itu, saya sibuk menguruskan beberapa perkara termasuk urusan bisnes jamu Mutyara.
“Apa pun, saya aminkan setiap doa yang dititipkan kepada saya mengenai zuriat dan doakan yang terbaik kepada saya dan suami,” ujarnya yang merupakan isteri kepada anak tiri penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin iaitu Asyraf Datuk Seri Khalid.
Ditanya mengenai adakah si cantik itu merancang mengenai soal zuriat, Tya atau nama sebenarnya, Nurtria Wulandari Arifin menjelaskan, dirinya tidak merancang sebaliknya menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa.
Melanjutkan bicara, kata Tya yang merupakan aktres terkenal dari Indonesia itu, dia juga tidak kisah sekiranya diberikan zuriat lelaki mahupun perempuan selepas ini.
“Setiap pasangan pasti mengimpikan untuk memiliki sepasang cahaya mata iaitu lelaki dan perempuan.
“Saya juga menginginkan cahaya mata perempuan namun sekiranya selepas ini andai ditakdirkan memiliki sekali lagi anak lelaki, tidak mengapa, saya terima rezeki yang dikurniakan,” ujar ibu kepada kanak-kanak popular, Arif Jiwa Asyraf itu.
Lakonan
Memiliki bakat seni yang mengalir deras dalam pembuluh darahnya, mana mungkin wanita yang berasal dari Palembang, Indonesia ini, memadamkan kecintaannya terhadap dunia lakonan begitu sahaja.
Namun, demi komitmen terhadap beberapa perkara, kecintaannya terhadap karier yang telah bermula sejak 2011 harus ‘dikorbankan’ buat seketika biarpun ada tawaran berlakon yang ditawarkan kepadanya.
“Tawaran berlakon memang ada. Di Indonesia sendiri, sudah ada pihak yang menunggu saya tetapi mereka menawarkan untuk berlakon dalam sinetron.
“Sinetron mengambil masa yang sangat panjang dan secara peribadi, ketika berada di Indonesia, saya suka dan tiada masalah untuk menjayakan sinetron.
“Namun, buat ketika ini biarlah dahulu. Sampai masa yang sesuai, saya akan menerimanya,” jelasnya.
Tambah ibu muda berusia 24 tahun itu lagi, selain Indonesia, dia juga ditawarkan berlakon oleh produksi di negara ini.
“Di sini, saya ada juga mendapat tawaran untuk berlakon dalam drama, telemovie dan filem tetapi saya juga belum memberi persetujuan terhadap tawaran yang diberikan.
“Saya terpaksa menolak tawaran-tawaran berkenaan kerana salah satu faktornya adalah kekangan dari segi masa selain sibuk menguruskan bisnes jamu dan Arif,” ujarnya yang menjelaskan Asyraf seorang yang memahami tentang kariernya asalkan boleh menguruskan masa dengan sebaiknya.
MLM2018
Menyentuh tentang tanggungjawabnya menjadi salah seorang juri bagi program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM2018) yang disiarkan di Astro Warna bermula pada 2 November lalu pula, akui Tya, ia bukanlah perkara yang mudah apatah lagi tidak memiliki latar belakang berkaitan lawak jenaka.
Pada mulanya Tya agak risau apabila diberikan tanggungjawab untuk menilai peserta MLM2018, kini pelakon yang pernah membintangi filem Gila Jiwa itu boleh menghela nafas lega.
“Pada mulanya, saya macam tidak percaya apabila diberikan tawaran untuk menjadi juri MLM2018 kerana memang saya tidak mempunyai pengalaman khususnya berkaitan jenaka.
“Sebelum bermulanya minggu pertama, saya banyak mencari ilmu dan menonton program Maharaja Lawak yang pernah disiarkan sebelum ini untuk melakukan persiapan.
“Ternyata, selesai sahaja minggu pertama itu, ia sebenarnya tidaklah sesukar seperti yang saya bayangkan sebelum ini dan untuk minggu-minggu seterusnya, semuanya okey dan saya menjadi lebih rileks,” ceritanya.
Arif Jiwa
Tidak lengkap rasanya sebuah pertemuan sekiranya tidak diselitkan soalan berkaitan permata hati Tya dan Asyraf iaitu Arif.
Merangkul dua anugerah iaitu kategori Cilik MeleTOP bagi Anugerah MeleTOP Era 2018 pada April lalu dan kategori online, Instafamous Cilik Popular pada Anugerah Bintang Popular Ke-31 baru-baru ini, soalan mengenai masa depan Arif dalam industri hiburan rasanya tidak keterlaluan diajukan kepada Tya.
Bukan apa, barangkali selepas ini, Arif besar kemungkinan bakal mengikut jejak langkah ibunya suatu hari nanti.
“Kalau tanya saya, terserah kepada Arif untuk menentukan apa yang dia minat apabila meningkat dewasa kelak. Asalkan perkara yang diminatinya itu adalah positif.
“Asyraf juga mungkin membenarkannya tetapi kami juga mahu Arif belajar bisnes kerana bagi saya, industri hiburan ada masa naik dan turun, dalam erti kata lain agak sukar menjamin masa depan untuk jangka masa panjang,” katanya.