Hairul Azreen tidak harap bonus Paskal




Hairul Azreen berkongsi berita gembira mengenai kehamilan kedua isterinya, Hanis Zalikha menerusi Instagramnya pada awal November lalu.

Pelakon Hairul Azreen mengakui tidak kisah andai pihak penerbit filem Paskal tidak memberikan bonus kepada barisan pelakon yang terbabit dalam naskhah yang mendapat kutipan lebih RM30 juta itu.

Ujar Hairul, berpeluang berlakon dalam filem aksi ketenteraan tersebut sudah cukup memuaskan hatinya.

Pada majlis Malam Penghargaan Paskal yang berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini, barisan pelakon terlibat meraikan kejayaan bersama anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang memberi sokongan terhadap pembikinan naskhah tersebut. Pengarahnya, Adrian Teh mengumumkan tiada bonus diberikan kepada barisan pelakon filem Paskal, bagaimanapun perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak penaja.

Ikuti penjelasan daripada pelakon berusia 29 tahun itu selain berkongsi perkembangan isterinya, Hanis Zalikha yang kini sedang hamil anak kedua mereka.

Apakah pandangan Hairul apabila tiada pengumuman bonus pada Malam Penghargaan Paskal?

HAIRUL AZREEN: Ini soalan yang biasa didengar kalau sesebuah filem berjaya di panggung wayang. Namun, saya tiada komen untuk perkara tersebut. Bagi saya, bonus ibarat satu hadiah yang diberikan oleh pihak lain.

Jika ada rezeki, terima sajalah dan sebaliknya. Tetapi tidaklah sampai saya menyimpan harapan untuk bonus itu ada.

Memandangkan filem ini mendapat sambutan luar biasa, adakah ia akan mempunyai sekuel?

Menurut khabar angin yang saya dengar akan ada Paskal 2 selepas ini. Tetapi bagi pihak orang dalam (produksi) sendiri, masih belum ada sebarang pengesahan.

Jadi, saya tidak berani bercakap tentangnya andai masih belum ada kata putus. Paling tidak, saya cukup bersyukur kerana permintaan untuk sekuel sangat tinggi daripada peminat.

Filem Paskal mendapat sambutan, tetapi ada dalam kalangan peminat mempersoalkan kemunculan anda yang sedikit dalam filem Polis Evo 2?

Orang perlu faham, saya menerima tawaran berlakon dalam Polis Evo 2 terlebih dahulu sebelum Paskal. Tetapi disebabkan Paskal yang memasuki pawagam terlebih dahulu peminat mengharapkan watak saya dalam Polis Evo 2 lebih daripada apa yang mereka tonton dalam Paskal. Saya tidak kisah pun kalau orang membuat perbandingan kerana sudah cuba memberi yang terbaik untuk kedua-dua filem tersebut.

Impian untuk membintangi filem aksi sudah tercapai, apakah ada perkara lain yang anda inginkan?

Selepas impian saya untuk bergelar pelakon aksi tercapai, sekarang saya mempunyai impian baharu untuk membintangi naskhah aksi pertarungan seperti filem Ong Bak. Buat masa ini, tawaran untuk projek baharu belum ada.

Baiklah, boleh kongsikan sedikit tentang perkembangan kandungan Hanis?

Alhamdulillah, sekarang kandungan isteri saya sudah masuk usia empat bulan. Semuanya dalam keadaan baik belaka dan sudah tentu anak sulung kami, Yusuf Iskandar turut teruja kerana bakal mendapat adik. Hanis dijangka bakal melahirkan bayi kedua kami pada Mei atau Jun tahun depan.

Apakah perbezaan kandungan kali ini?

Proses kehamilan kali ini sama sahaja seperti dia mengandungkan Yusuf dahulu. Hanis memang seorang yang cepat berasa penat kalau hamil. Cuma bezanya kali ini, saya pula yang berasa mual dan pening. Malah, saya juga tiba-tiba ada tabiat pelik iaitu suka menonton rancangan masakan.

Post a Comment

Previous Post Next Post