Amanat terindah buat Fazley Yaakob, Azrene




Mengenang kembali memori 13 tahun lalu ketika mereka mengikat tali perkahwinan dan melangsungkan majlis persandingan, tidak banyak kenangan yang sempat disimpan.

Jeda waktu berlalu mungkin menjadi faktor, namun hal lain yang menyebabkan memori indah tersebut sukar mendapat tempat dalam ingatan mereka adalah kerana majlis yang berlangsung dahulu dipenuhi dengan tekanan dan provokatif daripada pihak tertentu.

“Malam ini saya dan isteri tetap berdebar, sebab ia umpama persandingan kali pertama kami. Kami tidak ingat memori persandingan pertama sehingga perlu melihat semula gambar-gambar majlis perkahwinan tersebut.

“Saya mahu buka lembaran baharu yang indah-indah belaka dengan persandingan kali kedua ini. Hal ini kerana majlis perkahwinan kami 13 tahun lalu dibina dengan air mata,” ujar Fazley.

Namun, itu semua cerita sedih 13 tahun lalu. Sebolehnya, kisah tersebut mahu disimpan rapi dan menjadi pengalaman serta asam garam menjalani kehidupan.

Selepas lebih sedekad, Fazley dan Azrene akhirnya kembali duduk bersanding di atas pelamin bak raja sehari yang baru diraikan seisi kaum keluarga dan teman-teman rapat.

Buku baharu

Pinta Fazley pada majlis yang berlangsung di Lanai Tamu Event Hall, Damansara Perdana, Selangor itu agar semua hadirin termasuk rakan media melupakan kisah sedih yang berlaku 13 tahun lalu.

“Kami bersyukur kerana berjaya merealisasikan amanat arwah bapa yang mahukan kami bersanding semula jika tiba masanya. Jadi, saya mohon kepada semua termasuk rakan media untuk melupakan kisah silam.

“Semua orang tahu apa yang telah kami lalui dahulu. Justeru, kami mahu buka lembaran baharu dan menjalani kehidupan sekarang sebaik-baiknya,” ujar Fazley bernada sebak.

Meskipun sudah berpengalaman menjadi raja sehari pada 13 tahun lalu, namun bagi Fazley mahupun Azrene sendiri, mereka masih merasai debaran untuk bersanding dan berhadapan dengan 350 tetamu pada malam tersebut.

Lebih-lebih lagi buat Azrene yang sememangnya lebih gemar hidup tanpa menonjolkan diri di hadapan lensa kamera mahupun orang ramai.

“Saya seorang yang sangat sukakan privasi. Kehidupan seharian saya cuma duduk di rumah dan menguruskan anak-anak. Saya tidak pernah muncul dalam mana-mana acara glamor.

“Sebab itu, pada majlis persandingan kedua ini sayalah yang paling gementar sebab perlu berhadapan dengan tetamu dan rakan media. Lebih 300 orang menyaksikan saya bersanding pada majlis persandingan ini, sudah tentu saya takut,” ujar Azrene, 39, sambil ketawa bahagia di sisi suami tercinta.

Amanat bapa

Bagi yang mengikuti perkembangan pasangan ini, umum mengetahui bahawa persandingan kali kedua tersebut dilakukan atas permintaan arwah bapa Fazley sendiri iaitu Allahyarham Datuk Yaakob Muhammad sewaktu hayatnya.

Imbas kembali, Fazley masih mengingati kata-kata pesanan dan permintaan arwah bapanya supaya mereka bersanding sekali lagi andainya berkesempatan kerana Azrene layak menerimanya dalam situasi yang lebih baik daripada sebelum ini.

“Saya masih ingat, seminggu sebelum arwah bapa meninggal dunia, beliau sempat berpesan andai tiba masa yang sesuai, bersandinglah semula.

“Jadi, penganjuran majlis persandingan kali kedua ini sebenarnya lebih kepada melaksanakan hasrat arwah bapa,” ujarnya yang menyangkal sama sekali ia diadakan kerana mengikut trend.

Tambah Fazley, 40, beliau berasa lega kerana majlis tersebut akhirnya dapat direalisasikan dengan sempurna sekali gus meninggalkan memori baharu kepada isteri dan anak-anaknya.

Biarpun begitu, pada awalnya Azrene berat hati untuk bersanding semula kerana memikirkan faktor usia mereka yang sudah meningkat.

“Saya ingat pesan arwah bapa iaitu beliau mahu memberi memori yang baharu buat Azrene. Bapa sangat sayangkan Azrene dan berkata, isteri saya berhak mendapat kehidupan serta memori yang lebih baik.

“Baru-baru ini pada tarikh 7 November, saya membuat lamaran untuk kembali bersanding, tetapi dia menolak dengan alasan kami sudah tua (ketawa).

“Tetapi selepas meminta ibu dan adik-beradik pujuk serta menyatakan tujuan persandingan tersebut adalah demi memenuhi permintaan arwah bapa, akhirnya dia bersetuju,” cerita Fazley.

Tepat pukul 9 malam majlis bermula, Fazley dan Azrene yang tampil menawan mengenakan persalinan sentuhan pereka Bon Zainal dan Fizi Woo.

Selain persembahan kompang daripada kumpulan Kompang Lima Beradik, malam persandingan pasangan mempelai lebih istimewa apabila dimeriahkan dengan persembahan tiga anak lelaki Fazley dan Azrene yang mencuit hati hadirin.

Gelagat comel mereka yang menari mengikut rentak lagu yang dimainkan ternyata mencuri tumpuan hadirin yang rata-ratanya terhibur dengan ketiga-tiga si cilik itu.

Dalam kemeriahan majlis tersebut, suasana sedih dan hiba perlahan-lahan menyelubungi seisi dewan tatkala pengacara majlis mengumumkan terdapat sebuah video khas untuk tatapan hadirin.

Video tersebut merupakan ucapan arwah bapa Fazley ketika majlis persandingan mereka yang berlangsung di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2005.

Antara lain, ucapan Allahyarham mengandungi titipan dan pesanan khas buat anakanda serta menantu tersayang agar bersabar serta tabah menghadapi dugaan hidup pada masa mendatang.

Tayangan video hampir 10 minit itu lantas mengundang sebak kepada hadirin yang hadir, namun yang lebih terkesan adalah Fazley serta keluarga.

Tidak dapat menahan sebak dan mungkin menanggung rindu yang menggunung terhadap arwah suami tercinta, ibu Fazley iaitu Datin Umi Kalsom Abdol Latib gagal menahan air mata daripada mengalir tatkala menonton video tersebut.

“Kami tidak kisah andai persandingan kali ini menjadi bualan ramai. Jika persandingan dahulu menjadi bualan kerana air mata, sebaliknya untuk persandingan kedua yang penuh dengan kebahagiaan,” lentur kata Fazley bersulam bahagia.

Fazley dan Azrene mendirikan rumah tangga pada pada 7 November 2005. Sepanjang usia perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz, 10, Ahmad Fieradz, 8, Ahmad Fierudz, 7, dan Alayna Selma yang kini ­berusia setahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post