Kegagalan menyampaikan tugasan pertama dengan baik ternyata tidak menjejaskan peratusan markah buat peserta kegemaran Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Zamani apabila mara sebagai finalis bagi program realiti popular itu.
Pada malam konsert separuh akhir yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Ahad lalu, vokalis kumpulan Slam itu dikatakan mengalami masalah teknikal apabila tidak dapat mendengar dengan jelas muzik lagu Dekat Padamu dan hanya berjaya menghabiskan separuh lagu yang dipopularkan oleh Yusry KRU itu.
Zamani bagaimanapun bangkit bagi tugasan kedua menerusi lagu Sufian Suhaimi, Di Matamu dan mendapat pujian daripada dua juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim bersama juri jemputan, Datuk Yusof Haslam.
Menurut Ramli, kemaraan Zamani ke peringkat akhir adalah berdasarkan pengadilan yang saksama dan tiada sebarang keistimewaan yang diberikan kepadanya.
“Jika hanya ada satu lagu, sudah pasti dia tersingkir, tetapi Zamani bernasib baik kerana dalam tugasan kedua, dia tidak melakukan kesilapan.
“Sebagai juri, saya tidak menilai dia secara emosi tetapi profesional. Apabila markah daripada dua persembahan dicampur, ternyata ia cukup untuk Zamani mara ke peringkat akhir,” jelas Ramli sewaktu sidang akhbar sejurus konsert tamat.
Minggu ketujuh GV5 menyaksikan dua peserta tersingkir iaitu Forteen dan Hetty Sarlene, sekali gus menimbulkan spekulasi Zamani dikekalkan atas dasar populariti oleh pihak produksi.
Kejutan
Menjawab persoalan itu, Pengurus Saluran Ria, Emmarina Kamal berkata, tidak timbul sebarang isu berkenaan ‘menyimpan’ Zamani kerana popularitinya memandangkan GV5 adalah sebuah pertandingan.
Menurutnya, pihak produksi memberi sepenuh keyakinan pada pemarkahan yang diberi oleh juri-juri profesional dan tiada sebarang campur tangan yang berlaku.
“Zamani layak kerana usahanya sendiri dan mungkin juga tuah kerana ada dua tugasan,”ulasnya lagi.
Sementara itu, Emma turut mengulas tentang konsep lagu duet dan rap bagi pertandingan akhir yang disifatkan bakal mencabar finalis.
“Tahun ini memang kami terapkan konsep duet, namun akan ada kejutan istimewa bagi peringkat akhir. Apa yang pasti, ia tidak akan menjadi laluan mudah bagi peserta merebut gelaran juara,” katanya lagi.
Selain Zamani, lima lagi peserta yang mara ke peringkat akhir ialah Amelina, Maya Ruslee, Dia Fadilla, Noryn Aziz dan duo berkumpulan Billy Zulkarnain.