Selepas kes pelanggaran kontrak yang dihadapinya, Scha akan lebih berhati-hati dalam bidang perniagaan.
pelakon dan pengacara, Scha Alyahya serta suaminya, Awal Ashaari baru-baru ini telah membuat tuntutan sebanyak RM345,305 terhadap syarikat D’Haja (M) Sdn. Bhd. yang didakwa melanggar kontrak perjanjian pengedaran kedua minyak wangi jenama Blue dan Maroon milik mereka.
Mengakui hal tersebut sebenarnya boleh diselesaikan secara baik di luar mahkamah, Scha yang ditemui ketika sidang akhbar pengenalan 12 finalis bagi program Pencarian Dewi Remaja 2018/2019 bagaimanapun berkongsi akan lebih berhati-hati terutamanya dalam perniagaan.
Pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir itu berharap kes berkenaan mampu menjadi pengajaran untuk orang lain. Selain itu, Scha turut berkongsi peranannya dalam program Pencarian Dewi Remaja yang bakal bersiaran pada 25 November depan pada setiap hari Ahad pukul 10.30 malam menerusi saluran Astro Ria (104).
Boleh kongsikan peranan Scha dalam program Pencarian Dewi Remaja 2018/2019?
Scha: Terdahulu saya terlibat sebagai pengacara untuk program Pencarian Hero Remaja 2017, kali ini saya dipanggil pula untuk menjadi pengacara program Pencarian Dewi Remaja. Sebagai pengacara yang terlibat secara langsung dalam kelahiran Hero Remaja dan Dewi Remaja, saya sangat berharap program kali ini dapat menghasilkan ikon yang boleh dibanggakan serta menjadi inspirasi kepada generasi baharu. Seperti kita tahu, zaman sekarang terlalu banyak isu negatif terutamanya menerusi penggunaan media sosial. Jadi, saya berharap isu negatif dapat dikendali dengan baik oleh semua 12 finalis.
Acapkali menerusi program realiti yang melibatkan gadis atau wanita cantik pasti akan timbul isu gadis cantik tanpa berpengetahuan. Sebagai bekas juara Dewi Remaja 2005/2006 bagaimana anda melihat situasi tersebut?
Bagi saya semua orang tidak sempurna, begitu juga dengan tahap ilmu pengetahuan. Namun, 12 peserta kali ini bukan sahaja cantik, tetapi juga berilmu pengetahuan. Saya yakin pihak produksi sangat menitikberatkan ilmu pengetahuan sebagai syarat utama dalam pencarian peserta. Pentas Dewi Remaja adalah platform untuk mengembangkan bakat, bukan buat mereka yang baru hendak belajar dan bergantung kepada kecantikan paras rupa sahaja.
Bagaimana pula anda melihat terma cantik dengan ilmu pengetahuan (beauty with brain) bagi seseorang wanita?
Ia merupakan satu hal subjektif kerana tidak membawa maksud seseorang itu perlu bijak sahaja. Sebaliknya, ia lebih kepada bagaimana seseorang wanita membawa diri, mengendalikan tekanan dan emosi dalam kehidupan. Jika dikaitkan dengan 12 finalis ini, mereka perlu mempersiapkan diri dengan semua perkara tersebut. Selepas memilih untuk menjadi selebriti, mereka pasti tidak akan terlepas daripada kontroversi.
Boleh kongsikan mengapa anda dan suami, Awal Ashaari berada di mahkamah baru-baru ini?
Saya dan suami telah membuat tuntutan ganti rugi terhadap syarikat D’Haja Sdn. Bhd. kerana mereka tidak mengikut terma-terma kontrak yang telah ditandatangani antara kami sebelum ini. Mereka adalah pengedar minyak wangi jenama Blue dan Maroon milik kami tetapi telah menyembunyikan kerosakan sebanyak 3,215 botol minyak wangi. Hal tersebut membuatkan kami terpaksa mengambil tindakan undang-undang kerana pelanggaran kontrak itu sudah terjadi selama dua tahun.
Mengapa mahkamah menjadi pilihan anda dan suami, sudah tidak ada cara lain untuk diselesaikan secara baik?
Sebenarnya kami terbuka jika hendak menyelesaikan masalah ini di luar mahkamah sebab sudah mengenali mereka. Tambahan pula, mereka mempunyai nama besar dalam industri perniagaan. Malah, mereka juga pernah menyuarakan untuk menyelesaikan masalah ini di luar mahkamah dan akan berbincang dengan peguam kerana ia melibatkan tuntutan ganti rugi hak kami sahaja.
Apa pengajaran yang boleh anda simpulkan daripada kes ini?
Selepas ini kami perlu lebih berhati-hati dalam perniagaan. Setiap pihak harus mengetahui secara terperinci peranan masing-masing. Jika kita menandatangani sesuatu kontrak dan semua pihak mengikut semua terma yang ditetapkan, Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar. Bagaimanapun, jika berlaku kemusykilan akan wujud dorongan untuk mengambil tindakan. Namun, isu ini tidak akan mematahkan semangat saya dan suami untuk terus melebarkan empayar perniagaan kami.