Ayda Jebat bukan sengaja ejek kaki Sherry Alhadad




Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat tampil menjernihkan keadaan selepas dia dikecam oleh pengguna laman sosial apabila dialog yang dilontarkan kepada pengacara Sherry Alhadad pada sebuah konsert baru-baru ini menjadi tular.

Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 26, berkata, dia bukan sengaja mengejek saiz kaki Sherry memandangkan dia dan pengacara yang popular menerusi program Big Stage itu telah menjalani raptai dengan dialog yang sama.

“Saya dan Sherry telah berbincang terlebih dahulu mengenai perkara tersebut sebelum konsert berlangsung. Dia sudah maklum dengan apa yang bakal kami lakukan.

“Namun, ketika bersiaran, pasti akan ada perkara yang terlebih atau terkurang. Justeru, dengan rasa tanggungjawab, saya mahu meminta maaf kepada sesiapa yang terguris hati,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini sebentar tadi.

Terdahulu, menerusi Twitter, ramai yang memberi respons negatif apabila Ayda secara bergurau memperkatakan saiz kaki Sherry sewaktu konsert sedang bersiaran secara langsung.

Sususlan daripada itu, ramai yang mengecam tindakan penyanyi lagu Mata itu dan menyifatkan Ayda tidak sensitif.

Ayda turut menambah, dia enggan memanjangkan isu berkenaan dan menjadikan perkara tersebut sebagai peringatan kepadanya pada masa akan datang.

"Apa yang telah berlaku tempoh hari ada hikmahnya. Baik atau buruk, saya menerima dengan berlapang dada. Saya menerimanya dengan positif,” katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post