Sewaktu klip video Sampai Bila ditayangkan buat pertama kali di hadapan penonton, dada Misha Omar tiba-tiba didatangi perasaan sebak.
Dua bola matanya mula berkaca kemerah-merahan. Seiring dengan tayangan klip video berkenaan, air mata yang cuba dibendung Misha tumpah jua.
Sungguhpun pernah menghasilkan berpuluh klip video sebelum ini, namun nilai sentimental yang ada pada lagu Sampai Bila cukup luar biasa.
“Ada banyak cerita yang terselindung di sebalik lagu ini. Sebab itu, apabila saya melihat klip video ini ditayangkan kepada umum buat kali pertama, saya tidak dapat menahan sebak lalu menangis,” ujar Misha sewaktu ditemui pada majlis pelancaran klip video tersebut di RedBox, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sambil menyeka air mata yang masih bersisa, pemilik nama lengkap Samihah @ Aisah Omar itu menjelaskan, emosinya sedikit terganggu apabila mengenangkan kembali kisah suka duka yang dilalui sekitar setahun lalu, iaitu sebelum lagu Sampai Bila dirakamkan.
Anak
“Banyak dugaan yang dilalui sebelum lagu Sampai Bila dirakamkan. Saya terpaksa menangguh sesi rakaman beberapa kali kerana anak saya, Idris Ezzwa, mengalami masalah kesihatan, sementelah dia lahir tidak cukup bulan.
“Beberapa kali juga kakak saya, Mimie Omar menangguhkan sesi rakaman, sehingga kami tidak tahu mahu memberikan alasan.
“Namun, saya berasa sangat bersyukur kerana baik pihak Sony Music Malaysia mahupun komposer lagu tersebut iaitu Sharon Paul memahami keadaan saya ketika itu,” ujar Misha yang akhirnya siap merakamkan lagu berkenaan pada Februari lalu.
Melanjutkan bicara mengenai kepayahan yang dilalui, Misha menjelaskan, dia pernah terfikir untuk berhenti menyanyi dan memberi fokus kepada keluarga.
Namun, disebabkan sokongan yang diterima terutama oleh suami dan kakaknya, Misha kembali meraih semangat untuk meneruskan kariernya sebagai seorang pelantun suara.
“Maklumlah, anak kerap sakit dan saya perlu berulang-alik ke hospital hampir setiap hari. Jadi, pernah terdetik di hati untuk berhenti daripada bidang nyanyian.
“Namun, apabila memikirkan tentang peminat dan pada masa sama mendapat sokongan daripada keluarga, saya melupakan hasrat tersebut dan teruskan menyanyi. Alhamdulillah, saya berjaya melihat hasilnya hari ini,” ujar Misha sambil merujuk kepada beberapa kejayaan yang telah disemai oleh lagu Sampai Bila.
Untuk rekod, lagu Sampai Bila mula mendapat perhatian apabila ia dijadikan lagu runut bunyi drama bersiri Jangan Benci Cintaku lakonan Saharul Ridzwan dan Zahirah MacWilson.
SFMM33
Disebabkan populariti luar biasa, lagu tersebut turut berjaya ke Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-33 (SFMM33) dan Misha ia Bakal membuat persembahan pada minggu terakhir iaitu 23 November ini.
Bercakap mengenai kelayakannya lolos ke SFMM33, Misha menjelaskan bahawa dia akan cuba sedaya upaya untuk memberikan persembahan terbaik dan seterusnya cuba mengabulkan impian banyak orang mahu melihat Sampai Bila mara ke pentas Anugerah Juara Lagu tahun depan.
“Seperti sebelum ini, lagu-lagu yang tersenarai telah dijurikan terlebih dahulu. Jadi, markah yang diambil pada malam persembahan separuh akhir adalah markah nyanyian penyanyi sahaja.
“Jadi, saya akan mula mengikuti kelas nyanyian dan kembali berlatih dengan Datuk Syafinaz dalam masa terdekat,” terang Misha panjang lebar.
Ditanya mengenai kelancaran perjalanan kariernya, Misha meluahkan rasa bersyukur kerana dia dikelilingi oleh peminat yang tidak pernah jemu untuk memberikan dukungan walaupun hampir 17 tahun bergelar anak seni.
“Saya sangat bersyukur kerana peminat tidak pernah berganjak untuk menyokong kerjaya saya. Tidak kira apa pun majlis yang saya hadiri, mereka pasti akan datang untuk menonton.
“Sejujurnya, saya berasa sangat terharu dengan apa yang telah mereka lakukan. Sukar untuk saya balas dengan kata-kata,” ujar Misha lagi.
Klip video
Justeru, sebagai satu bentuk penghargaan atas kesetiaan peminat, Misha memberi peluang kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam klip video Sampai Bila.
“Biarpun babak yang melibatkan mereka tidak sampai beberapa saat, mereka sanggup mengambil cuti dan datang menjalani penggambaran.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi menjadi sebahagian daripada projek klip video ini,” katanya lagi.
Menyambung bicara mengenai pembikinan klip video Sampai Bila, Misha tidak dapat menahan tawa apabila membuka kisah mengenai pengarahnya, Chuan Looi yang dikenali sejak beberapa tahun lalu.
“Saya mengenalinya sewaktu menjalani penggambaran sampul hadapan single Terimaku Seadanya. Ketika itu, saya sudah tertarik dengan hasil kerjayanya.
“Jadi, apabila Sony Music Malaysia ingin membikin klip video Sampai Bila, saya terus mencadangkan namanya,” ujar Misha yang mengakui cukup berpuas hati dengan hasil akhir klip video berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Misha turut berkongsi tentang konsert yang bakal dijayakan bersama dua rakan artis, iaitu Siti Sarah dan Noryn Aziz.
Diberi judul Soul Sisters, konsert berkenaan bakal diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 April tahun depan.
“Sudah lama saya mahu berkongsi pentas dengan Sarah dalam sebuah konsert berskala besar. Lebih manis, apabila Noryn Aziz juga turut terlibat menjayakan konsert ini.
“Saya berasa sungguh teruja dan tidak sabar untuk menghiburkan peminat,” katanya menutup perbualan.
Tiket-tiket berharga RM155 hingga RM755 boleh ditempah menerusi laman web www.airasia- redtix.com.