Tempoh hari, Diva ada belek-belek laman Instagram pelakon cantik Nad Zainal yang baru sahaja memenangi anugerah Pelakon Drama Wanita Terbaik melalui lakonannya sebagai gadis autisme dalam drama Fatonah Azali pada Anugerah Skrin 2018 baru-baru ini.
Apabila membaca kata-kata luahan yang ditulis pelakon itu di akaun Instagramnya, Diva sedikit terkejut.
Bukan apa, kata-kata yang diluahkan pelakon kecil molek itu seperti ada yang mendakwa dia seorang yang berlagak.
“Siapalah kita nak berlagak. Mati esok dalam tanah jua. Kepada mereka yang rasa saya macam ‘kekwat’ tu, minta ampun. Terima kasih yang menyayangi Tonah.
“Tak best tau bila orang salah anggap. Sejak ada anak ni, naik seram pula bila orang salah anggap. Nak buat muka nampak sweet 24 jam boleh tak,” tulisnya berserta tanda pagar # (hashtag) probmukaketat.
Mungkin ada netizen yang tidak berpuas hati dan mendakwa Nad sombong walhal mereka agaknya salah faham kerana Diva difahamkan, Nad mempunyai masalah penglihatan kurang jelas sejak usia sembilan tahun menyebabkan wajahnya kelihatan sombong.
Yelah, Diva amat memahami Nad. Lagipun kawan-kawan Diva ada juga yang mempunyai masalah begitu tetapi apabila dah kenal, jadi geng satu kepala pula. Hehe.
Tetapi lumrah insan seni, setiap perbuatan diperhatikan umum, jadi mungkin selepas ini Nad kena sentiasa senyum apabila bertemu dengan orang ramai untuk menepis segala salah faham terutamanya dalam kalangan peminat Nad.