Fikry Ibrahim sasar ke layar perak




Sebelum wajahnya menjadi penghias kaca televisyen suatu masa dahulu, pelakon Fikry Ibrahim pernah bekerja sebagai maskot sambilan demi mencari duit poket. Bagaimanapun, tiada siapa pernah menyangka, insan yang pernah menyarungkan kostum maskot itu kini merupakan antara pelakon lelaki yang cukup laris wajahnya dalam pasaran industri hiburan tempatan.

Bagaikan sudah tertulis rezekinya dalam bidang seni, perjalanannya untuk mencipta nama di persada hiburan tanah air boleh dikatakan cukup mudah. Mana tidaknya, dalam tempoh lebih kurang dua tahun sahaja selepas menyertai program Lawak Solo pada 2016, pemilik nama sebenar Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim itu terus melonjak naik.

Situasi itu membuatkan ada yang melihat kehadiran jejaka berusia 24 tahun itu cukup bertuah. Ini kerana, tidak semua orang boleh pergi secepat itu dalam membina nama, lebih-lebih dalam suasana kompetitif industri yang semakin dibanjiri muka-muka baharu saban hari.

“Sebenarnya, kalau nak kata laju (nama naik), tidak juga. Lagipun, selepas keluar daripada program Lawak Solo dahulu saya pernah tidak menerima tawaran langsung sehingga empat ke lima bulan lamanya.

“Bagaimanapun, alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa yang saya lalui sekarang. Kalau dahulu kerja maskot satu hari RM50, sekarang ini okeylah. Ini semua rezeki daripada-Nya,” kongsi anak kelahiran Jitra, Kedah itu kepada Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Berlakon filem

Lebih mengujakan, karier awalnya yang memegang gelaran sebagai pelawak sudah mula menunjukkan fasa peralihan. Daripada niat asal mahu menjadi pelawak, kini Fikry lebih menyerlah dalam dunia lakonan. Bukan itu sahaja, pada masa sama, dia juga sudah berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan.

Biarpun begitu, menurut Fikry, dia masih mahu terus kekal membawa gelaran sebagai pelawak. Atas sebab itu jugalah, naskhah lakonan yang dibawakannya pada hari ini juga masih menyelitkan unsur-unsur komedi.

“Saya tidak pernah terfikir untuk kikis gelaran pelawak itu pada diri saya. Kalau boleh saya mahu terus kekalkan. Lagipun sebenarnya kalau kita pandai berjenaka, ia memberi kelebihan untuk bidang pengacaraan. Kalau serius sahaja nanti, takut orang bosan pula,” ceritanya.

Dalam pada itu, katanya, populariti yang diraih pada hari ini juga banyak disebabkan penangan barisan pelakon lain yang bergandingan dengannya dalam satu-satu karya. Secara tidak langsung, pada masa yang sama ia membuka ruang kepada orang lain untuk mengenali dirinya.

“Sewaktu saya membintangi Hero Seorang Cinderella, saya berlakon dengan Fattah Amin dan Fazura. Kemudian saya bergandingan dengan Achey dan Siti Nordiana pula di Gema Gegar Vaganza. Jadi, sedikit sebanyak, orang mula kenal saya daripada situ. Secara tidak langsung, saya seperti tumpang mereka.

“Sewaktu berlakon dengan Farah Nabilah dalam Cik Reen Cik Ngok Ngek juga secara tidak langsung, peminat-peminat Farah juga mula mengikuti saya. Pengikut dia, jadi pengikut kita juga. Dapat tempias begitulah. Saya banyak dibantu oleh pasangan gandingan,” luahnya yang bergelar hero dalam drama arahan Hadith Omar itu.

Menurut pelakon Rahsia Hati Perempuan itu, selepas ini, dia melihat prospek dirinya untuk beraksi di layar perak pula dalam tempoh lima tahun akan datang. Katanya, dia menyasarkan perkara itu untuk digapai satu hari nanti kerana ia mencerminkan satu perkembangan yang baik dalam portfolio sebagai seorang pelakon.

“Insya-Allah, selepas ini saya mensasarkan untuk berlakon filem pula. Ini kerana, kalau kita terlibat dengan filem, peluang kita untuk pergi ke pasaran antarabangsa itu lebih tinggi. Mungkin selepas ini saya boleh ke Indonesia pula untuk menerima anugerah di sana,” katanya sambil berseloroh.

Teman wanita

Kebiasaannya, gandingan hero dan heroin sering kali dikaitkan dengan perihal gosip mengatakan mereka bercinta. Dengan erti kata mudah, acap kali terjebak cinta lokasi. Bagaimanapun, berbeza dengan Fikry yang seperti seolah-olah kalis daripada cerita-cerita mengenai perhubungan cinta yang mengaitkan dirinya.

“Saya memang kurang sikit kalau nak dikaitkan (bercinta) dengan heroin yang bergandingan sama. Pada saya cerita-cerita seperti itu buat kita susah nak bertahan lama dalam industri.

“Lagipun saya ini jenis orang yang kalau sudah habis kerja di set penggambaran, saya lebih suka terus balik ke rumah. Kalau orang nampak kita berborak mesra, nanti takut timbul cerita bukan-bukan pula, ada yang menyampai. Lagipun saya juga masih belum habis pengajian. Jadi, lebih suka balik dan sambung mengulang kaji pelajaran di rumah,” katanya yang sedang menghabiskan baki satu semester pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Menurutnya lagi, buat masa ini dia belum terfikir untuk mempunyai teman istimewa. Baginya, dia lebih selesa untuk meletakkan fokus kepada kerjaya yang sedang dibangunkannya itu.

“Setakat kalau nak berkawan itu saya okey sahaja. Cuma, jika ingin melibatkan hati dan perasaan belum lagi kot. Kalau nak melepak pun saya lebih suka keluar dengan kawan-kawan lelaki sahaja. Lebih mudah kerana tak banyak drama. Saya ini jenis yang malas nak hadap ‘drama’ dan kerenah orang yang bukan-bukan,” ceritanya.

Pelakon Kerna Syurga Bukan Percuma itu juga memberitahu, dia banyak menerima pesanan mesej daripada wanita-wanita yang cuba mendekatinya, khususnya di laman sosial.

“Sebenarnya, saya ini jenis yang perhatikan siapa yang mengikuti saya di Instagram, terutamanya kepada mereka yang suka meninggalkan komen-komen kepada saya.

“Bukan itu sahaja, pada masa sama, memang ramai yang hantar mesej ajak nak ‘menggatal’. Lebih parah apabila ada juga dalam kalangan wanita yang berstatus isteri orang. Sedih juga saya apabila memikirkan mereka sanggup berbuat demikian.

“Bagaimanapun, kalau mesej-mesej berbentuk gangguan seperti itu, saya memang tidak akan layan,” kongsinya yang mempunyai lebih 662,000 pengikut di Instagram.

Dalam pada itu, kongsinya, dia juga tidak berkenan dengan perangai wanita yang suka menunjuk dan perasan dirinya cantik.

“Ada jenis perempuan yang lawa, tetapi jenis sengaja acah-acah cakap dirinya tidak lawa. Hakikat sebenarnya nak beritahu yang dirinya lawa.

“Perempuan seperti itu memang saya ‘potong’ habis,” katanya yang sedang dalam penggambaran drama bersiri 15 episod berjudul Cekelat Honey.

Post a Comment

Previous Post Next Post