Berdepan isu nusyuz, Noryn Aziz tetap positif




Kemelut rumah tangga penyanyi Noryn Aziz bukanlah kisah baharu yang mengisi lingkar sensasi dunia hiburan tempatan. Khalayak yang mengikut perkembangan penyanyi yang cenderung terhadap nuansa jazz itu mungkin tahu bahawa dia dan suaminya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah pernah berkunjung ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada 1 April lalu bagi menghadiri sesi majlis sulh pertama.

Sebagai salah seorang peserta yang sedang menempa perhatian dalam program Gegar Vaganza musim kelima (GV5), gejolak rumah tangga pemilik nama penuh Norazmahwati Abd. Aziz itu juga seperti suatu faktor yang membuka mata khalayak, bahawa masalah peribadi tiada kaitan dengan kemampuan untuk bersaing.

Buktinya Noryn cemerlang dan dipuji semua setiap kali muncul di pertandingan walhal pada masa dia berdepan tuntutan nusyuz daripada suaminya yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Berkesempatan bertemu wanita berusia 42 tahun itu pada sidang akhbar konsert Soul Sisters terbitan Edd Razhee Entertainment baru-baru ini, Noryn didekati bagi bertanyakan perkembangan terkini isu rumah tangganya.

Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 April tahun hadapan di Panggung Sari, Istana Budaya tersebut turut menampilkan penyanyi Misha Omar dan Siti Sarah.

KOSMO!: Boleh kongsikan penglibatan Noryn dalam konsert Soul Sisters akan datang?

NORYN: Sejujurnya, lima tahun lalu saya pernah memikirkan bahawa kerjaya sebagai penyanyi ini mungkin akan berkubur. Bagaimanapun, saya tidak sangka akan berada di sini pada hari ini.

Tawaran untuk menjayakan konsert Soul Sisters ini saya terima sejak sebelum menyertai GV5. Tentunya saya teruja kerana digandingkan dengan dua nama besar iaitu Misha Omar dan Siti Sarah.

Terima kasih kepada pihak Edd Razhe Entertainment yang mempercayai bakat saya.

Jika tidak keberatan, boleh kongsikan serba sedikit tentang status perkahwinan anda sekarang?

Saya minta maaf kerana tidak boleh berkongsi status terkini kerana ia masih dalam proses perbicaraan. Pihak peguam telah menasihatkan agar saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana bimbang tersilap cakap. Tambahan pula, sebelum ini saya bukan jenis orang berkongsi hal peribadi dalam media sosial.

Bagaimana anda berhadapan dengan isu nusyuz yang dibangkitkan suami dan isu berkenaan pula hangat diperkatakan umum?

Saya tida pernah terfikir akan ditimpa perkara sebegini. Saya perlu tenang dalam proses membina semula nama dan karier untuk meneruskan kehidupan.

Seperti yang pernah beritahu sebelum ini, saya mesti kuat dan letak masalah ini di dalam kotak, bungkus dengan cantik kemudian simpan di tempat paling atas.

Biarlah mahkamah yang tentukan waktu tepat bila ia akan dibuka.

Masalah rumah tangga datang seiring dengan harapan dan perhatian yang diraih dalam GV5, bagaimana anda berdepan tekanan hebat sebegitu?

Tipulah jika saya tiada sebarang rasa tertekan. Cuma, saya sering berpesan kepada diri agar perlu fokus dalam pertandingan. Mengapa perlu bazirkan masa memikirkan hal ini (nusyuz) sedangkan saya boleh meluangkan banyak masa dan tenaga untuk perkara positif dan menjadikan lebih baik?

Ia lebih bagus daripada duduk termenung dan hanya membuang masa. Saya perlu sentiasa positif.

Selain positif, bagaimana anda menghilangkan tekanan tersebut?

Saya sangat bertuah kerana mempunyai orang sekeliling yang amat menyayangi. Sebelum ini pernah terfikir, ada atau tidak orang yang akan menyokong saya? Maklumlah, selama tempoh 20 tahun dalam industri, ada masanya saya aktif dan ada masanya tidak.

Satu hal harus diakui, selepas masuk GV5 barulah saya tahu kepentingan menghayati lirik sebelum menyanyi.

Apabila menghayati lirik, saya akan membayangkan wajah orang yang tidak jemu menyokong kerjaya saya, ia membuatkan nyanyian yang disampaikan benar-benar menyentuh hati.

Adakah anda berharap kemelut rumah tangga ini akan cepat berakhir?

Sejujurnya saya tidak fokus terhadap masalah ini 100 peratus. Saya lebih fokus pada karier kerana ia melibatkan masa hadapan, hal cerai adalah kisah belakang saya. Segalanya diserahkan kepada Allah kerana ia bukan melibatkan saya seorang.

Post a Comment

Previous Post Next Post