Pengalaman berdepan kemalangan van sebanyak dua kali ketika penggambaran drama Rahasia Kasih di sekitar Gunung Whakapapa, New Zealand pada Ogos lalu merupakan momen yang tidak boleh dilupakan buat pelakon Nadia Brian.
Pertama kali berpeluang menjalani penggambaran di luar negara, Nadia dan kru produksi drama Rahasia Kasih diuji dengan kemalangan disebabkan gegaran kecil yang berlaku di kawasan pergunungan tersebut sebelum gempa bumi kuat melanda pada keesokan harinya.
“Sewaktu kejadian, salji turun dengan lebat, van yang membawa saya dan kru produksi kemalangan sebanyak dua kali. Namun, kami bernasib baik kerana tidak cedera dan berada di kawasan pergunungan sehari sebelum gempa bumi melanda.
“Tidak dapat saya bayangkan jika penggambaran dilakukan pada hari gempa bumi. Apapun pengalaman merasai sendiri gegaran kecil sebelum gempa bumi kuat sukar untuk dilupakan,” kongsi Nadia.
Ujian buat Nadia dan kru drama Rahasia Kasih sebenarnya bermula sebelum mereka terbang ke New Zealand lagi. Menurut Nadia, penerbangan yang dijadualkan berlepas pada pukul 11 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terpaksa ditunda pada pukul 3 petang keesokan harinya kerana masalah teknikal.
“Kami semua sudah berada dalam pesawat dan hampir berlepas. Sewaktu dalam pesawat, semua penumpang sudah perasaan ada sesuatu yang tidak kena kerana ruang kabin terasa panas.
“Pesawat sempat berjalan untuk berlepas, tetapi berhenti dan menurunkan semula penumpang kerana berlaku kerosakan enjin. Tidak lama selepas itu dikejutkan pula dengan berita penerbangan Lion Air di Indonesia yang terhempas selepas hanya 13 minit berlepas mengingatkan saya kepada detik cemas dalam kapal terbang ke New Zeland,” ujar Nadia.
Sungguhpun mengalami pengalaman tersebut, wanita berusia 26 tahun itu tidak serik untuk menjalani penggambaran di luar negara. Malah, selepas New Zealand, Nadia terbang pula ke Amsterdam, Belanda untuk menjalani penggambaran drama Aku Cinta Dia.
“Meskipun ada dugaan yang melanda, tetapi saya tidak serik kerana seronok bekerja sambil melancong ke negara lain. Kerja dalam bidang mana sekalipun akan ada dugaan, jadi saya ambil apa yang berlaku sebagai pengalaman,” luah Nadia.
Laris
Beralih bicara kepada drama Rahasia Kasih yang kini sedang hangat ditayangkan menerusi ntv7 sejak 30 Oktober lalu, Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi menjelaskan, karya tersebut cukup berbeza daripada drama yang pernah dilakonkan sebelum ini.
Selain menjalani penggambaran di New Zealand, drama sebanyak 20 episod tersebut buat kali pertama menonjolkan sisi romantis Nadia yang memegang watak sebagai Alina.
“Saya tidak pernah membawa watak wanita romantis yang menagih cinta seorang lelaki. Alina sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangi hati Nazmi lakonan Isa Khan. Biasanya dalam drama lain, saya yang akan dikejar lelaki, tetapi berbeza dalam drama ini.
“Walaupun drama ini agak moden dan urban, tetapi ia tidak meninggalkan elemen kejutan dan plot yang wajib ada dalam drama,” tutur gadis kelahiran Kuala Lumpur itu lagi.
Sebaik tamat penggambaran drama Rahasia Kasih, Nadia terus memasuki set penggambaran drama Aku Cinta Dia untuk slot Lestary dan Cinta Tanpa Henti untuk slot Samarinda TV3. Berdasarkan jadual kerja, jelas menunjukkan pihak stesen televisyen Media Prima meletak kepercayaan yang tinggi terhadapnya.
Tawaran lakonan tanpa henti dengan stesen yang sama jawab Nadia, merupakan rezeki yang tidak boleh ditolak sementelah lakonan merupakan periuk nasi utamanya.
“Ia rezeki dan bukan mudah untuk saya mendapatkan kepercayaan seperti ini selepas tiga tahun berlakon. Walaupun dengan stesen yang sama, penonton tidak akan bosan melihat wajah saya kerana tarikh siaran setiap drama berbeza.
“Penggambaran drama bersiri biasanya mengambil masa selama tiga bulan, jika saya buat tiga buah drama bersiri dan sebuah filem, ia sudah cukup untuk memenuhkan jadual kerja saya selama setahun,” tutur Nadia yang mula dikenali dengan drama Akulah Balqis pada 2015.
Penghargaan
Perbualan santai automatik bertukar serius apabila topik beralih kepada kerjaya lakonannya yang kini berusia tiga tahun. Biarpun belum menggenggam sebarang anugerah, namun Nadia tercalon dalam Anugerah Skrin 2018 (ASK 2018) menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem yang dianggap merupakan pencapaian terbesarnya.
Nadia yang dicalonkan menerusi filem pertamanya iaitu Blok 404 bagaimanapun tewas kepada aktres Normah Damanhuri yang memberi lakonan hebat dalam filem Pinjamkan Hatiku.
“Biarpun sekadar dicalonkan dalam senarai lima teratas, ia sudah cukup bermakna bagi saya. Filem Blok 404 merupakan filem pertama lakonan saya dan terus mendapat pencalonan dalam ASK 2018 membuat saya bangga dengan diri sendiri,” ujar Nadia.
Hal ini kerana, bukan mudah untuk pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dan Diploma Seni Teater dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor itu meraih perhatian khalayak dan karyawan seni.
“Sebagai pelakon saya memang bekerja keras dan apabila dicalonkan dalam ASK 2018 bermakna penonton dan juri nampak kehadiran saya dalam industri. Walaupun tidak menang, saya sudah berpuas hati dan akan bekerja lebih keras pada masa depan.
“Saya bukan berlakon dengan harapan mahu menang anugerah. Namun, anugerah merupakan pencapaian peribadi yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Menggenggam anugerah selepas lakonan dinilai juri profesional merupakan satu kepuasan untuk diri sendiri,” luah Nadia yang akan muncul dalam filem Ratu Kala Jengking dan Mak pada tahun depan.
Pelakon Nadia Brian tidak menyangka pengalaman pertamanya menjalani penggambaran di luar negara begitu mencabar apabila merasai sendiri bencana gempa bumi di New Zealand.