Menduduki tempat ketiga dalam Gegar Vaganza musim kelima (GV5), penyanyi bersuara merdu, Zamani Ibrahim sebenarnya tidak menyangka mampu mara sampai ke peringkat akhir apatah lagi selepas melakukan beberapa kesilapan pada minggu terdahulu.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkap, Zamani Ibrahim itu berkata, dia amat bersyukur kerana masih mendapat sokongan terutama daripada peminat sehingga melayakkan dirinya bergelar pemenang tempat ketiga program berkenaan.
Mendedahkan kepada Kosmo! ketika ditemui usai berakhirnya pentas final GV5 Ahad lalu, pelantun lagu Gerimis Mengundang mahu menggunakan hadiah kemenangan wang tunai sebanyak RM30,000 untuk merawatnya penyakit tulang belakang bengkok atau skoliosis yang dihidapinya sejak beberapa tahun lepas.
Kongsi Zamani, berdasarkan kondisi penyakit yang dialami, dia sebenarnya berisiko lumpuh dan harus berkerusi roda walaupun setelah menjalani rawatan pembedahan sebagaimana dicadangkan doktor. Jika tidak dirawat, tahap kesihatan akan semakin buruk. Dalam keadaan sekarang, Zamani hanya bergantung terhadap ubat tahan sakit memandangkan penyakit berkenaan sudah tidak boleh pulih sepenuhnya.
Dalam pada itu, penyanyi yang sentiasa merendah diri dalam melontarkan kata-kata itu berkongsi cerita tentang perkenalannya dengan seorang wanita yang sedang didekati hati budi sejak lima tahun lalu.
Tahniah Zamani kerana berjaya menduduki tempat ketiga GV5, jadi, apa perancangan anda selepas ini?
ZAMANI: Kerjaya nyanyian akan berjalan seperti biasa. Akan ada undangan persembahan pentas bezanya sekarang, momentum sudah naik sedikit selepas GV5. Alhamdulillah, saya akan berehat sekitar dua minggu kerana ingin memberi perhatian terhadap penyakit tulang belakang bengkok (skoliosis) yang sudah agak lama saya harungi ini.
Sejauh mana keseriusan penyakit tersebut dan adakah anda bersedia mendapatkan rawatan lanjut selepas ini?
Ia agak mengganggu kerana saya tidak boleh berdiri lama. Sakitnya bukan datang sepanjang masa cuma ada masa-masanya memerlukan saya untuk berehat. Doktor menyarankan saya menjalani pembedahan, namun andainya pembedahan tidak berjalan seperti dirancang, ada kemungkinan saya akan berkerusi roda atau lumpuh. Kalau tidak menerima rawatan yang sepatutnya pula, keadaan tulang belakang saya akan semakin teruk.
Adakah anda mendapatkan rawatan alternatif untuk merawat penyakit tersebut?
Sudah lama saya menderita sakit tulang belakang iaitu sejak mengikuti program pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih). Sekarang saya hanya bergantung terhadap ubat tahan sakit. Ini kerana saya belum ada masa untuk menjalani pembedahan.
Sebelum ini, doktor cadangkan saya buat rawatan alternatif seperti akupunktur namun saya jenis yang takut jarum. Jadi, saya tidak mendapatkan rawatan itu. Dengan duit kemenangan GV5 ini, saya ingin mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit ini.
Baiklah, bagaimana pula dengan pengakuan anda ketika di atas pentas GV5 berhubung seorang teman istimewa, boleh jelaskan secara terperinci tentang perkara tersebut?
Kami masih dalam fasa berkawan. Belum ke peringkat yang lebih serius. Saya belum ingin menguar-uarkan perkara itu.
Kalau sudah serius, saya sendiri akan beritahu kepada wartawan.
Bagaimanapun, saya sudah mengenalinya selama hampir lima tahun. Cuma orang kata, saya harus hormati perasaan dia dan keluarganya. Kalau keluarganya tidak suka atau tidak terima saya, malu pula saya nanti.
Apa ciri-ciri pada wanita bertuah tersebut yang membuatkan anda terpikat?
Dia seorang yang sangat suka membantu dan amat memahami saya. Sebagai manusia, memang saya akui banyak kelemahan namun dia faham tentang itu. Dia juga terima diri saya seadanya untuk berkawan.