Bagi penggemar drama bersiri Andainya Takdir yang bersiaran sekitar tahun lalu, pastinya watak utama dengan nama Fatihah lakonan Nina Iskandar masih berbekas di hati ramai. Apatah lagi, permainan emosi yang didedikasikannya di kaca televisyen sangat dekat dengan isu semasa dalam kalangan masyarakat.
Membawakan watak isteri teraniaya dan sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga, tidak dinafikan terjemahan kejiwaan Nina dipersembahkan dengan cemerlang.
Tidak terhenti di situ, kisah Fatihah yang menjadi mangsa dera dan cemburu suami lakonan Shukri Yahaya terus dikembangkan menerusi Andainya Takdir 2 yang ditayangkan pada Jun lalu.
Bagaikan satu sumpahan yang melekat dengan mudah pada diri Nina, dia sekali lagi muncul dengan watak seorang isteri yang terpinggir daripada mendapat kasih sang suami.
Drama lakonannya yang kini sedang ditayangkan di Hypp Sensasi (saluran 111), Isteri Dalam Sangkar turut menonjolkan sisi lakonan hebat Nina dalam menyelami jiwa seorang wanita teraniaya.
Bukan tidak mahu lari daripada watak sebegitu, pelakon kelahiran Brunei itu mengakui, secara peribadinya dia sebenarnya semakin lelah bermain dengan emosi seorang wanita malang dalam kehidupan.
Lebih mencabar
Meskipun itu dilihat sudah menjadi permainannya dalam gelanggang lakonan, namun sebagai manusia biasa Nina tetap ada perasaan lelah yang kini dirasakannya sudah sampai ke tahap maksimum.
“Kalau diikutkan, saya tidak suka pun dengan watak sebegini. Cuma rezeki saya untuk kerap dapat watak seperti ini selain kepercayaan yang diberikan membuatkan saya ‘terikat’ dengan watak berat,” ujarnya membuka perbualan ketika ditemui pada sesi ramah mesra pelakon Isteri Dalam Sangkar baru-baru ini.
Menerusi drama Isteri Dalam Sangkar, pelakon berusia 27 tahun itu membawakan watak Siti Aisyah iaitu seorang yatim piatu yang tinggal bersama ibu saudara serta sepupunya.
Jelas pemilik nama sebenar Nur Akmalina Iskandar itu, peranannya sebagai Siti Aisyah menerusi drama adaptasi novel berjudul serupa tersebut diakuinya lebih mencabar berbanding Andainya Takdir.
“Mula-mula saya fikir ia menyamai watak Fatihah, tetapi malangnya selepas menjalani penggambaran barulah saya sedar ia lebih mencabar dari segi emosi.
“Sebab saya ada banyak babak bersama dengan ibu saudara dan sepupu iaitu ketika didera. Ia menuntut perang emosi yang sangat kuat sebab ia dilakukan berterusan.
“Antaranya, menerusi babak saya didera, ditolak, menangis dan disimbah air. Ditambah pula lokasi penggambaran di Cameron Highlands, Pahang yang sememangnya sejuk membuatkan tekanan yang dihadapi jadi berganda,” ceritanya.
Kongsi pelakon drama Lari Mira tersebut, akibatnya dia pernah berasa terkesan dengan semua babak emosi sehingga berdepan kemurungan dan sering menjauhkan diri daripada orang lain.
“Sudahlah babak didera dibuat secara berterusan, waktu penggambaran pula dilakukan berjam-jam lamanya dari tengah malam hingga awal pagi.
“Sampaikan saya pernah berasa pening kerana tertekan. Duduk berborak dengan rakan artis di lokasi pun tidak dan selalu duduk berseorangan. Kalau tidak tahan, boleh gila juga dibuatnya,” imbas Nina.
Ceria
Ditanya adakah kekerapannya muncul dengan watak sebegitu akan menimbulkan rasa bosan dalam kalangan peminat, Nina berkata, dia bersyukur kerana walaupun sering membawa watak serupa namun peminatnya tidak pernah memberikan komen negatif.
Sebaliknya, mereka pula menyuarakan simpati kepadanya yang sering ‘didera’ emosi tatkala menjayakan watak sebegitu tanpa henti.
“Mereka tidak pernah kata bosan melihat saya asyik menjadi isteri yang didera, tetapi mereka berasa kasihan sebab selalu melihat saya dibuli dan menangis dalam setiap episod.
“Kalau boleh mereka tidak mahu lagi melihat saya menangis dan inginkan perkara baharu seperti sesuatu yang ceria. Ada yang pernah kata, mereka tidak sanggup tengok saya sedih sebab nanti akan turut menangis,” ujarnya yang sangat menghargai sokongan peminat.
Jika sesetengah pelakon lain lebih gemar bercuti panjang dan merehatkan minda bagi menghilangkan penat bekerja, Nina pula sudah lama tiada masa untuk bercuti.
Mengakui ia sememangnya satu terapi minda namun dek kesibukan kerja selain tawaran yang datang tanpa henti membuatkan Nina tidak dapat lari daripada melunaskan tanggungjawab di lokasi.
“Saya tiada masa untuk bercuti. Balik kampung pun cuma dua kali sahaja untuk tahun ini, berbanding selama ini saya akan pulang ke Brunei setiap bulan.
“Memang saya ada perancangan untuk bercuti, tetapi disebabkan kepadatan jadual kerja, maka cuti saya pun terpaksa dipendekkan. Bayangkanlah, masa untuk diri sendiri pun tiada,” getusnya.
Atas faktor itu, Nina dengan tegas mahu berehat seketika daripada mengambil sebarang tawaran membabitkan penderaan emosi. Dia bimbang, kekerapan menjadi mangsa dalam lakonan akan memberi impak bukan sahaja terhadap fizikal bahkan mental.
“Ramai juga pesan kepada saya supaya ambil sedikit masa untuk berehat daripada berlakon watak sebegitu. Sebenarnya ia sangat bahaya untuk diri terutamanya mental.
“Bukan tidak mahu, tetapi saya terpaksa terlibat dengan sebuah lagi drama berat berjudul Setelah Cinta Itu Pergi terbitan TV3 untuk slot Samarinda. Mahu atau tidak, ia perlu dilunaskan sebab ini periuk nasi saya dan hubungan yang sedia ada dengan pihak produksi perlu dijaga.
“Malah watak yang diberikan tidaklah seberat kali ini, jadi rasanya ia boleh dikawal,” jelasnya yang menjadikan bacaan zikir untuk mencari ketenangan selepas terkesan dengan watak berat.
Sering teraniaya, dipukul, didera dan berendam air mata, pelakon Nina Iskandar mengakui semakin lelah dalam menjayakan watak wanita malang. Tidak sekadar bosan dengan watak serupa, bahkan lebih teruk lagi dia berdepan kemurungan sewaktu di lokasi.