Rock, nasyid kuasakan Konsert 2 Dunia Fitri Harris dan Lan Solo




Perbezaan genre muzik tidak menghalang dua penyanyi, Fitri Harris dan Lan Solo untuk bergabung suara bagi menjayakan sebuah konsert istimewa digelar Konsert 2 Dunia di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang bulan hadapan.

Fitri yang merupakan bekas vokalis kumpulan nasyid, UNIC dan juara Gema Gegar Vaganza musim kedua memberitahu, idea bekerjasama bekas vokalis kumpulan rock Kristal, Lan timbul kerana mahu mencari kelainan dalam mengadakan persembahan buat peminat terutama golongan belia.

Katanya, ramai yang beranggapan bahawa rock dan nasyid adalah dua melodi yang tidak sesuai digandingkan bersama. Atas alasan tersebut, dia mahu mengubah persepsi sebegitu kerana muzik baginya universal dan harus dilayan sama rata.

“Meskipun saya dan Lan tidak sealiran dalam muzik namun perlu diperlukan bahawa kami mampu berkongsi pentas bagi mengadakan sebuah persembahan yang baik menerusi Konsert 2 Dunia.

“Lagipun konsert ini juga bersifat kutipan amal maka dengan tarikan daripada dua kelompok peminat yang berbeza, Insya-Allah ia akan meningkatkan jumlah pembelian tiket,” jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert 2 Dunia di Khadijah’s Kitchen, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Tambah Fitri lagi,mereka berdua telah sepakat agar hasil jualan tiket disumbangkan terhadap badan kebajikan terpilih, antaranya Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM).

Teruja

Sementara itu, bagi Lan, jemputan yang dihulurkan oleh Fitri diterima dengan hati terbuka kerana dia juga sedang mencari kelainan dalam kerjaya, terutama sejak bergerak secara solo.

Tidak mengambil masa panjang untuk bersetuju, Lan berharap gabungan rock dan nasyid di atas satu pentas dapat mengubah persepsi masyarakat berkenaan dua genre tersebut.

“Sejujurnya saya agak terkejut mengapa saya yang dipilih oleh Fitri untuk bekerjasama dalam konsert ini. Ketika itu saya belum mengetahui bahawa dia juga merupakan salah seorang peminat Kristal.

“Saya tidak menyangka ada juga artis nasyid meminati lagu rock. Jadi, selepas ini saya harap masyarakat juga tidak mempunyai pandangan bahawa nasyid lebih baik atau rock itu negatif kerana muzik untuk semua tidak kira genre apa sekalipun,” terangnya.

Dalam masa sama, pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza musim keempat itu turut berasa terharu dengan kesudian Fitri menderma hasil jualan tiket konsert terhadap badan kebajikan terutamanya CLAPAM memandangkan anak bongsunya, Nur Amna Quxandra, 10 bulan yang turut mengalami masalah sama.

“Konsert itu bertujuan amal iaitu menderma terhadap badan kebajikan yang memerlukan termasuk CLAPAM. Itu penyebab utama saya terus bersetuju menjayakan Konsert 2 Dunia ini bersama Fitri,” tutup Lan.

Post a Comment

Previous Post Next Post