Kemenangan penyanyi bersuara lantang, Noryn Aziz pada malam akhir Gegar Vaganza musim kelima (GV5) bagaikan sudah dijangka. Melunaskan lagu tugasan duet bersama penyanyi undangan, Awi Rafael menerusi lagu Laskar Pelangi, wanita seperti setapak maju berbanding lima finalis lain.
Bersepuh listrik vokal bertenaga, penghayatan luar biasa dan kawalan pentas mempesona, pemilik nama sebenar Norazmahwati Abd. Aziz terus mencengkam jiwa khalayak ketika pusingan battle menyanyikan lagu Where Is The Love. Setiap butir perkataan lagu dendangan asal The Black Eyed Peas yang dilontarkannya menjemput sorakan gemuruh penonton.
Tidak kurang, memberi riak wajah gembira tanda puas buat barisan juri yang diketuai Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim dan dua juri jemputan, Datuk DJ Dave serta rapper terkemuka, Joe Flizzow.
Bahkan usai Noryn bertarung dengan Dia Fadila menyanyikan lagu tersebut, Joe sempat berkata: “Noryn, anda memang hebat! Saya mahu anda berdua untuk bersama dengan saya dalam album saya yang selanjutnya.”
Versatil
Dipuji dan dikagumi, namun wanita berusia 41 tahun tetap merendah dir. Akuinya, dia tidak pernah menaruh harapan untuk mara sehingga ke peringkat akhir apatah lagi menjulang takhta sebagai juara.
“Sejujurnya, saya tidak menjangka menang pada malam ini kerana pada awalnya, saya tidak tahu begini coraknya pertandingan GV. Maksud saya, menyanyikan lagu bukan kepakaran saya seperti dangdut dan rock, itu menjadi cabaran besar.
“Bagaimanapun, rezeki Allah itu luas dan saya diangkat sebagai juara. Rasa macam berada dalam mimpi,” ungkap pelantun lagu Fantasi O Realiti itu ketika ditemui Kosmo! usai GV5 melabuhkan tirai malam Ahad lalu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Noryn mendedikasikan kemenangan tersebut buat anak lelakinya, Raja Bariq Umar Shah, 4, keluarga dan para peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan selama lapan minggu pertandingan.
“Saya buat semua ini untuk anak saya (Umar) kerana dia adalah sumber utama kekuatan saya. Saya perlu bekerja untuk masa depannya dan ini sahaja perkara yang saya pandai buat iaitu menyanyi.
“Bertanding dalam GV5 telah membuka mata saya untuk terus mencintai muzik. Benarlah kata kawan-kawan lain yang pernah menyertai GV, paling penting adalah mental selain persiapan fizikal yang harus dijaga kemas kalau ingin sentiasa memberikan yang terbaik setiap minggu,” tuturnya.
Umrah
Membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai bernilai RM100,000, Noryn mendedahkan ingin membawa orang tersayang mengerjakan umrah dengan duit kemenangan tersebut.
“Saya teringin mahu mengerjakan umrah bersama ibu dan bapa serta pengurus yang selama ini banyak memberi sokongan. Kali terakhir saya ke Tanah Suci ketika mengerjakan ibadah haji pada tahun 2010,” ujar wanita tersebut.
Ditebak persoalan tentang arah tuju pasca, GV5 memandangkan sebelum ini dia lebih lazim di mata peminat sebagai penyanyi jazz, Noryn kini terbuka menyanyikan apa jua genre muzik bersesuaian.
“Kalau boleh saya ingin peminat kenal saya kerana bakat. Saya kagum dengan Amelina yang sangat bagus bukan hanya dengan dangdut malah dalam genre lain.
“Saya ingin buat kemunculan semula dalam industri. Nyanyian adalah cinta nombor satu namun saya tahu bekas peserta GV sebelum ini ada yang berlakon, mengacara dan sebagainya. Untuk saya, nyanyian adalah keutamaan,” terang Noryn.
Kejutan
Dalam pada itu, Dia Fadila pula mencipta kejutan apabila bergelar naib juara. Sama seperti Noryn, Dia juga tidak menaruh harapan menggunung dalam GV5 namun hanya ingin melakukan yang terbaik apabila terpilih ke peringkat akhir.
“Saya tidak tahu apa yang Tok Ram (Ramli MS) inginkan sebelum menjelang final. Sasaran saya sebenarnya hanya sampai ke peringkat suku akhir sahaja namun ada rezeki saya pada malam ini.
“Menang tempat kedua memberi sinar untuk saya terus memeriahkan industri. Diharapkan langkah tidak hanya terhenti setakat ini sahaja. Insya-Allah,” ujar Dia Fadila atau nama sebenarnya, Nur Fardilla Nadia Abu Bakar, 34.
Berbeza dengan nasib penyanyi yang disebut-sebut bakal menonjol pada peringkat akhir iaitu Amelina apabila rezeki tidak menyebelahinya. Dia terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat.
Amelina bagaimanapun tidak terkilan dengan realiti pada malam tersebut. Baginya, dia telah belajar banyak perkara sepanjang pertandingan berlangsung.
“Rezeki tidak berpihak pada saya, namun alhamdulillah, saya sudah mencuba yang terbaik walaupun sedikit lupa lirik semasa segmen battle. Apa yang penting, saya boleh menyanyikan lagu Inggeris pada malam final (ketawa).
“Saya gembira kerana sudah membuktikan sesuatu kepada peminat. Diharapkan selepas ini, kalau dijemput mengadakan persembahan pentas, orang tidak hanya minta saya menyanyikan dangdut,” luah penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Asyik itu.
Sementara itu merungkaikan persoalan media, Ramli mendedahkan perhitungan markah paling utama dicatatkan ketika peserta mendendangkan lagu tugasan duet bersama artis jemputan.
“Minggu terakhir (final) adalah waktu yang terbaik untuk semua finalis menunjukkan taring masing-masing. Markah yang lebih besar ketika menyanyikan lagu tugasan duet.
“Segmen battle yang menonjolkan sisi berbeza penyanyi (rapping) memang menyumbang markah keseluruhan namun tidak sebesar persembahan segmen pertama (duet bersama penyanyi jemputan),” jelasnya ringkas.
Noryn Aziz dijulang sebagai juara Gegar Vaganza musim 5 (GV5) pada malam final yang berlangsung di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Ahad lalu. Merangkul hadiah kemenangan wang tunai bernilai RM100,000, wanita itu bercadang ingin mengerjakan umrah bersama ‘tulang belakangnya’.