Penyatuan kasih 
Ben, Nadiyah Shahab




Sama cantik, sama padan. Itu perumpamaan sesuai menggambarkan ikatan cinta dua jiwa pasangan selebriti, Ben Ali dan Nadiyah Shahab yang akhirnya sah mengikat sebagai suami isteri pada 11 November lalu.

Sabtu lalu bertempat di Glamhall Mercu Mustapha Kamal, Damansara berlangsungnya majlis resepsi merpati dua sejoli berkenaan. Pada raut wajah, sama ada Ben mahupun Nadiyah, masing-masing tidak lekang dengan senyuman menandakan betapa kehidupan kini diulit bahagia.

Luah Ben Ali, hidupnya semakin terisi bukan hanya dengan kehadiran seorang isteri yang amat memahami, bahkan ‘keluarga baharu’ iaitu sebelah mertua.

“Alhamdulillah, kami sudah lebih seminggu bergelar suami dan isteri. Belum rasa lagi perubahan yang begitu ketara, cumanya sekarang sudah ada keluarga baharu di Singapura.

“Sungguh, perasaan bahagia yang dirasai tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila majlis pernikahan tempoh hari di Singapura dan resepsi di Malaysia berjalan dengan cukup lancar. Satu lagi fasa baharu dalam kehidupan apabila kini memikul peranan sebagai seorang suami,” jelas Ben atau nama sebenarnya, Nur Ali Nadzwan, 27.

Ditanya tentang pilihannya, Nadiyah sebagai isteri, Ben mendedahkan, perwatakan wanita itu yang disifatkan penuh kejujuran dan amat peramah telah memikat hatinya.

“Sejujurnya, Nadiyah mengajar saya banyak perkara. Salah satunya adalah keterbukaan Nadiyah dalam meluahkan perasaan. Di mata saya, dia amat jujur dan kelakar.

“Dia banyak mengajar saya untuk lebih ‘bising’ walaupun umum mengetahui saya lebih suka berdiam diri dari berkata-kata. Sejak mengenali dirinya, saya lebih terbuka untuk berkongsi soal hati dengan teman rapat dan itu antara nilai pada dirinya yang amat saya hargai,” kata pemilik syarikat pengurusan artis, My Management itu.

Bulan madu, anak
Dijentik persoalan tentang perancangan berbulan madu, pasangan itu memilih Itali sebagai destinasi namun buat masa sekarang hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan sehingga kalendar seni masing-masing mengizinkan.

“Saya ingin membawa isteri ke destinasi percutian di Eropah, mungkin ke Itali. Bagaimanapun, buat masa sekarang, hasrat itu terpaksa ditangguhkan sehinggalah jadual kerja kami mengizinkan.

“Tambah lagi, selepas ini Nadiyah akan terlibat dengan penggambaran drama untuk slot Akasia, sementara saya sibuk dengan perniagaan. Insya-Allah, awal tahun depan akan tiba waktu kami untuk berbulan madu,” kata Ben lagi.

Mengulas tentang zuriat, Ben tanpa berselindung terus menyatakan dia ingin mempunyai sekurang-kurangnya empat orang anak.

“Kalau ada rezeki dan diizinkan Tuhan, saya mahu empat orang anak (dua perempuan dan dua orang lelaki). Saya sudah berbincang dengan Nadiyah tentang hasrat ini dan dia pun okey sahaja (ketawa),” tuturnya yang mengharap dikurniakan zuriat secepat mungkin.

Tidak lagi aktif dalam dunia lakonan, Ben Ali menjelaskan, dia tidak akan menghalang atau memberi kekangan kepada isterinya untuk terus berkecimpung dalam dunia lakonan.

Katanya: “Asalkan dia pandai menjaga diri, saya tidak akan menghalangnya daripada terus terlibat dalam dunia lakonan. Bahkan saya akan terus memberi sokongan buatnya untuk terus cemerlang sebagai aktres.

“Untuk saya pula, memang sudah lama tidak berlakon. Kalau ada tawaran yang sesuai dengan komitmen kerjaya saya sebagai ahli perniagaan dan minat ke arah politik, mungkin saya akan mempertimbangkannya,” terang pelakon yang pernah membintangi filem Dubai My Love itu optimis.

Post a Comment

Previous Post Next Post