Pelakon Delimawati tidak menolak untuk terus melakonkan watak hantu Kak Limah pada masa depan andai bayaran yang diberikan munasabah dan berbaloi dengan kerja yang dilakukan.
Dalimawati atau nama sebenarnya Dalimawati Ismail, 62, sebelum ini pernah menyuarakan kekecewaannya berhubung pemberian bonus yang disifatkan amat kecil nilainya meskipun naskhah Hantu Kak Limah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM38 juta.
Sebagai pelakon berpengalaman selama 30 tahun dalam industri seni, Dalimawati bukannya menuntut harga yang tinggi, namun memadai bayaran yang diberikan setimpal dengan kerjanya.
Terbaharu, Dalimawati akan kembali memegang watak hantu Kak Limah menerusi Teater Muzikal Hantu Kak Limah yang akan dipentaskan di Animation Park Studios (MAPS) di Ipoh, Perak, selama lapan hari bermula 24 Disember depan.
Selepas isu pemberian bonus, adakah Dalimawati akan terus memegang watak Hantu Kak Limah?
DALIMAWATI: Saya akan fikir dua kali jika ditawarkan untuk kembali menjadi hantu Kak Limah dalam filem yang terbitan syarikat produksi yang sama. Bukan apa, saya yakin perkara yang sama terutama soal bayaran dan jumlah akan berulang. Andai diterbitkan oleh syarikat produksi lain dan bayaran yang diberikan berbaloi, saya akan terima.
Tidakkah anda bimbang akan digelar ‘diva’ atau terlalu meletakkan harga tinggi?
Saya bukannya minta harga yang tinggi atau demand, tetapi biarlah setimpal dengan kerja. Maksud saya, harga yang munasabah. Contoh isu bonus, bukan saya sahaja yang terasa, tetapi semua kru dan pelakon turut tidak berpuas hati.
Meskipun timbul soal bonus tidak setimpal, bukankah selama ini trilogi Hantu Kak Limah berjaya mempopularkan anda?
Ya, saya tidak nafikan perkara tersebut. Saya berterima kasih kerana watak tersebut benar-benar menjadi. Namun, lakonan merupakan periuk nasi utama saya. Jika saya tidak menjaganya dengan baik, bagaimanakah nasib saya pada masa hadapan?
Selepas terkait kontroversi bonus filem berkenaan, mengapa anda masih bersetuju untuk terlibat dalam Teater Muzikal Hantu Kak Limah?
Pertama ia dipentaskan di MAPS di Ipoh, Perak. Sebagai orang Perak, saya berbesar hati untuk terlibat dalam sebuah pementasan yang boleh menarik pelancong ke negeri Perak. Keduanya, ia diterbitkan oleh MAPS dan separuh daripada pelakon asal akan terlibat.
Bagaimanakah perasaan anda untuk ke pentas teater?
Sejujurnya saya gementar sebab sepanjang 30 tahun bergelar pelakon, saya tidak pernah berpeluang berlakon teater. Tambahan pula teater muzikal yang memerlukan pelakon menyanyi. Berlakon filem dan drama boleh disunting jika lakukan kesalahan, tetapi teater tidak. Saya tidak tahu apa yang boleh dijangkakan kerana latihan belum bermula. Cuma saya akan cuba beri persembahan terbaik agak tidak mengecewakan penonton.
Sudahkan anda bersedia kerana difahamkan latihan Teater Muzikal Hantu Kak Limah diadakan selama dua hari sahaja berbanding teater biasa yang memakan masa sekitar dua bulan?
Rasanya semua pelakon lain mempunyai pengalaman berlakon teater kecuali saya. Ia satu cabaran yang besar, tetapi belum tahu. Soal waktu latihan, saya yakin pengarah Mamat Khalid tahu apa yang dilakukan.
Apakah cabaran terbesar buat anda untuk berlakon dalam Teater Muzikal Hantu Kak Limah?
Pada usia 62 tahun, kesihatan merupakan cabaran utama. Malah, sejak kebelakangan ini bahagian kaki terasa sakit kerana slip disc. Ia kesan kemalangan ketika muda dahulu. Saya bimbang tidak dapat berdiri lama sewaktu pementasan mungkin terpaksa mengambil ubat penahan sakit. Diharap penonton akan hadir memberikan sokongan kerana ia dipentaskan sempena musim cuti persekolahan. Pada harga RM90 (seorang) pengunjung bukan sahaja boleh menonton teater, tetapi menikmati semua permainan dan hiburan yang terdapat di MAPS. Buat mereka yang berminat, tiket boleh dibeli secara online menerusi laman web, www.mapsperak.com.