Tuah karya peram dan fenomena




Tempoh hampir dua tahun diperam daripada tayangan akhirnya terbayar apabila drama Pendosa Ingin Ke Syurga terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. diangkat sebagai Drama Terbaik dalam Anugerah Skrin 2018 (ASK 2018) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Drama Pendosa Ingin Ke Syurga mendapat pencalonan paling banyak dalam kategori drama dengan lapan pencalonan. Karya terbitan dan lakonan Datuk Rosyam Nor itu bagaimanapun hanya membawa pulang tiga anugerah iaitu menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Fauziah Nawi), Pengarah Terbaik Drama (Rashid Sibir) dan Drama Terbaik.

Menurut penerbit dan pelakon utamanya, Rosyam, penantiannya berbaloi kerana pada asalnya, pihak TV3 agak ketakutan untuk menyiarkan drama terbut yang mengangkat isu sensitif iaitu seorang lelaki berkahwin dengan anak sendiri dan mempunyai anak daripada perkahwinan tersebut.

“Idea drama Pendosa Ingin Ke Syurga diperoleh apabila Da’i Hamidah menggunakan tajuk berkenaan untuk episod final dalam program Da’i. Tajuk yang disifatkan sangat cantik itu telah memberi saya idea dan mereka sebuah cerita.

“Ceritanya sangat rumit, tetapi ia berdasarkan kisah benar yang pernah dibaca sebelum ini. Seorang lelaki yang masih dalam perkahwinan meninggalkan isteri di kampung, kemudian berkahwin dengan anak sendiri dan mempunyai anak daripada perkahwinan tersebut. Cucu saya adalah anak saya, anak saya adalah isteri saya dan ibu mertua saya adalah isteri saya.

“Mungkin kerana isunya sensitif dan TV3 bimbang dengan penerimaan penonton, drama tersebut tidak ditayangkan pada 2017. Apa yang mengejutkan ketika ditayangkan pada Jun tahun ini, ia mendapat sambutan dan jadi sohor kini (trending). Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pihak yang membuatkan drama Pendosa Ingin Ke Syurga tercalon dan akhirnya menang Drama Terbaik,” kata Rosyam yang memilih untuk berlakon drama sekali setahun sahaja.

Tuah yang sama bagaikan durian runtuh buat filem Dukun apabila karya yang diperam selama 12 tahun sebelum ditayangkan kepada umum pada tahun 2018 tersebut akhirnya membolot lima anugerah selepas tercalon dalam tujuh pencalonan kategori filem dalam ASK 2018.

Dukun yang menepati ramalan untuk menang besar membawa pulang anugerah Lakon Layar Terbaik Filem, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem (Nam Ron), Pengarah Terbaik Filem (Dain Said), Pelakon Wanita Terbaik Filem (Datin Seri Umie Aida) dan Filem Terbaik.

Pelakon utamanya, Umie Aida mendedahkan kemenangan pada Jumaat lalu merupakan anugerah keenamnya dalam ASK sejak kali pertama memenangi anugerah kategori sama pada 1999.

“Saya bersyukur dengan kemenangan filem Dukun, walaupun 12 tahun diperam, namun sudah tertulis ini rezekinya. Sebagai pelakon, tipu jika saya kata tidak mahu menang sebab sudah berusaha keras untuk membawakan watak Diana Dahlan. Sebelum bersetuju mengambil watak tersebut, menerusi skrip sahaja saya sudah tahu ia watak yang boleh menang anugerah.

“Berbaloi kesengsaraan saya selama tiga bulan menjayakan watak Diana Dahlan. Memang bukan mudah tetapi saya telah beri sehabis baik ketika penggambaran. Selepas ini saya mahu mencuba nasib dalam bidang pengarahan pula. Jika tiada aral dalam tahun ini saya akan mengarahkan sebuah drama,” kongsi Umie.

Penghargaan
Aktres versatil Nad Zainal pula dilihat gagal mengawal emosinya ketika menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama di atas pentas daripada sahabat baiknya Sherry Alhadad. Hal ini kerana Nad yang menang menerusi lakonan hebatnya sebagai gadis autisme dalam drama Fatonah Azali telah menanti selama empat tahun untuk menggenggam anugerah dalam ASK.

Sepanjang tempoh empat tahun lepas, Nad berjaya tersenarai dalam lima terbaik, namun gagal membawa pulang sebarang anugerah.

“Kemenangan ini satu mimpi indah buat saya, tambahan pula anugerah itu disampaikan oleh Sherry yang merupakan sahabat baik. Sheery yang melihat perkembangan seni saya dari usia 17 tahun dan dia juga pernah menjadi tutor ketika saya belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Saya agak beremosi kerana tidak jangka untuk menang. Tambahan pula, semua pesaing sangat hebat terutamanya Siti Elizad dan Sherie Merlis,” kata Nad.

Berbicara tentang kesukaran membawa watak gadis autisme, jelas Nad, dia membuat persediaan selama sebulan dan berjumpa penghidap autisme demi menghayati watak Fatonah. Selain itu, Nad juga membuat rujukan dengan menonton video anak-anak autisme aktres Zarina Zainuddin.

“Ini kali kedua saya membawa watak gadis autisme dan sebelum penggambaran saya bertemu mereka yang menghidapinya, bukan sekadar membuat bayangan sendiri. Paling sukar adalah melakonkan pandangan mata orang autisme. Ini kerana pandangan mata orang normal dan penghidap autisme berbeza,” ujar Nad yang mengidam untuk berlakon dalam drama penyiasatan dan epik.

Pelakon Jay Iswazir yang membawa pulang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi lakonan hebatnya sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam drama Aku Nazmi merupakan satu-satunya pelakon yang meruntunkan hati pihak media yang mewawancaranya.

Dalam nada tersekat-sekat dan emosi yang cuba dikawal sebaiknya, terlihat jelas gelodak rasa yang disimpan selama ini mahu dilepaskan semahu-mahunya. Masakan tidak, memasuki industri seni pada usia lewat, Jay yang kini berusia 36 tahun hanya bersandarkan bakat semata-mata. Dia yang hadir dengan wajah berparut pada bahagian kanan sering dipandang rendah penggiat industri.

Atas sebab itu, Jay yang telah 10 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan turut memandang rendah dirinya. Pengalaman diherdik, dikutuk dan tidak diterima sebilangan besar warga industri lakonan menyebabkan lelaki kelahiran Ipoh, Perak itu tewas dengan emosi.

“Selama 10 tahun saya bersungguh-sungguh berlakon, tetapi tidak yakin boleh menang kerana tidak dikenali. Jadi apabila menang saya berasa sangat terharu. Kemenangan ini khas untuk ibu yang merestui saya untuk bergelar seorang pelakon.

“Perjalanan seni saya bukan mudah. Bermula sebagai pelakon tambahan dan banyak pihak yang menolak kerana wajah saya. Terima kasih kerana Allah hadirkan insan hebat seperti Rosyam Nor, Azhan Rani dan Ebby Yus ketika saya hampir berputus asa. Saya harap kemenangan ini mampu menjadi inspirasi kepada orang di luar sana yang sering bertemu kegagalan dalam bidang yang diceburi. Jangan pernah berputus asa dan teruskan berusaha, pasti akan ada ganjaran,” ujarnya.

Fenomena
Drama rantaian Nur turut menepati ramalan apabila membolot tiga anugerah daripada tiga pencalonan baharu yang diperkenalkan pada tahun ini. Karya fenomena tersebut membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian (Amyra Rosli), Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian (Syafiq Kyle) dan Drama Rantaian Terbaik (kategori bahasa Melayu).

Pengarahnya, Shahrulezad Mohameddin mengakui agak tertekan kerana ramai orang meletakkan harapan yang tinggi untuk drama Nur membawa pulang anugerah dalam ASK 2018.

“Ramai yang jangka drama Nur akan menang dan saya tidak suka perasaan mengharap. Nasib baik drama Nur menang, jika tidak saya pasti lebih tertekan dengan kata-kata simpati. Saya cukup bertuah kali ini kerana drama Nur membolot semua anugerah dalam kategori baharu.

“Impak kemenangan adalah saya lebih takut kerana akan memasuki set penggambaran drama Nur 2 pada Disember depan. Harapan penonton terlalu tinggi dan sebab itu, ramai pelakon asal tidak mahu meneruskan lakonan untuk musim kedua pada mulanya. Namun, saya tekankan kepada pelakon bahawa kami buat drama Nur 2 bukanlah untuk menang anugerah tetapi hanya untuk menyampaikan sebuah cerita yang bagus,” kata Shahrulezad yang memberitahu drama Nur 2 akan ditayangkan sekitar Mac tahun depan.

Syafiq pula tidak menjangka membawa pulang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian. Bagi pemeran watak Ustaz Adam itu, anugerah tersebut cukup besar dan bermakna.

“Semua orang mahu yang terbaik, begitu juga saya. Dapat berlakon dalam sebuah drama yang dihargai ramai merupakan satu pencapaian buat diri saya dan apabila menang anugerah, ia bonus,” tutur Syafiq.

Amyra tidak menafikan kemenangannya dalam ASK 2018 memberi tekanan bukan sahaja secara peribadi tetapi seluruh produksi Nur 2 untuk melakukan lebih baik.

“Saya sangat terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang kerana tidak tahu dicalonkan (ketawa). Bersyukur kerana ini rezeki, segala pengorbanan yang dilakukan ketika penggambaran Nur seperti meninggalkan anak yang masih kecil berbaloi,” ujar Amyra.

Anugerah Skrin 2018 yang berlangsung pada Jumaat lalu telah meninggalkan momen manis buat drama Pendosa Ingin Ke Syurga, Nur dan filem Dukun apabila membolot kategori utama dan pulang dengan kemenangan bergaya.

Post a Comment

Previous Post Next Post