Puteri Aishah Bukan nak jaga eksklusiviti




Baru-Baru ini, ada pihak mendakwa pelakon jelita yang semakin meningkat naik namanya, Puteri Aishah agak sukar memberikan kerjasama dalam urusan yang melibatkan kerjaya seninya.

Situasi itu secara tidak langsung membuatkan ada pihak berasa sedikit sulit untuk mendapatkan pelakon berusia 24 tahun itu, terutamanya bagi menghadiri beberapa sesi fotografi bagi tujuan promosi daripada pihak media.


Bahkan, sewaktu timbulnya kontroversi imej seksi yang digayakannya baru-baru ini, Puteri Aishah juga dikatakan bertindak seolah-olah mendiamkan diri. Difahamkan, tiada sebarang panggilan telefon atau mesej dijawab bagi mendapatkan kenyataan daripadanya mengenai isu yang berbangkit.

Perkara itu sekali gus menimbulkan cakap-cakap yang mendakwa kononnya, pendatang baharu yang juga pelakon filem Pulang itu barangkali bersikap selektif demi menjaga nilai eksklusiviti dirinya.

Bagaimanapun, bagi pemilik nama sebenar Puteri Aishah Sulaiman itu, dia menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya itu yang dikatakan cuba menjaga eksklusiviti.

“Eh, tidak ada lah. Selama ini, kalau orang ajak pergi ke majlis pun saya hadir sahaja. Kalau saya dikatakan begitu, tidak lah saya hadir ke majlis seperti ini. .

“Cuma, saya kena rujuk kepada pengurus. Kalau dia kata, hari ini saya perlu ke sini, saya datang,” katanya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Menurutnya lagi, kerjaya seninya kini diuruskan oleh syarikat pengurusan artis, Alfie Management.

“Buat masa ini, apa-apa hal memang menerusi pihak pengurusan sahaja,” jelasnya yang juga bekas peserta program realiti Dewi Remaja 2014/2015.

Jelasnya lagi, buat masa ini jadual seninya agak padat. Justeru, situasi itu secara tidak langsung membuatkan pergerakannya terhad untuk memenuhi pelbagai undangan.

“Kadang-kadang jadual kerja penuh hingga dua bulan. Ada juga masa saya sudah khaskan untuk urusan peribadi, jadi yang itu tidak boleh sentuh.

“Lagipun, apabila saya sudah terikat dengan sesuatu (projek) itu, hal itu membuatkan saya tidak boleh ke tempat lain. Saya juga tidak mahu menyusahkan pihak lain. Bukan apa, kalau sepatutnya kita patut berada di sini, tetapi nanti kena lari ke tempat lain pula,” jelasnya.

Dalam pada itu, Puteri Aishah memberitahu, dia enggan memberikan sebarang komen mengenai kontroversi imej seksi yang digayakannya sebelum ini kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya tidak mahu komen hal itu. Saya tak mahu panjangkan (cerita),” luahnya yang bakal muncul dengan drama berjudul Selafaz Cinta yang bakal bersiaran di saluran Astro Prima bermula 27 November ini.

Bercakap mengenai drama gandingannya bersama Saharul Ridzwan itu, katanya, ia merupakan sebuah karya yang memberikan cabaran baharu apabila memegang karakter sebagai perosak rumah tangga.

“Seronok juga bawa watak sebagai Liza, cuma karakternya agak psiko sedikit. Susah juga sebenarnya apabila membawakan watak jahat. Sebagai orang baharu, saya mahu cuba pelbagai karakter,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post