
Magisnya seorang pelaku seni apabila khalayak terpukau dengan karakter yang dihidupkan di atas panggung. Walhal tidak semua orang tahu betapa sulitnya melahirkan lakonan berjiwa.
Dua aktor hebat, Shaheizy Sam dan Zizan, juara dalam melarutkan watak.
Digabungkan pesona dan karisma mereka dalam sebuah naskhah yang diberi nama Polis Evo 2, Sam dan Zizan mengakui saling membenam ego demi merealisasikan watak Inspektor Khai serta Sani.
“Sam awal-awal lagi cakap dekat saya supaya buang ego dan jaga emosi. Saya cakap insya-Allah, sebab saya juga bukan begitu orangnya. Jadi, kami tidak pernah berlawan untuk nampak siapa lebih bagus dalam filem Polis Evo 2. Bahkan, kalau babak itu memerlukan saya dihentak atau diperlekehkan sekalipun, saya terima. Janji jalan cerita berkenaan berjaya,” luah Zizan yang menghormati serta mengagumi rakan regunya itu.
Tersenyum sendiri mendengar pujian Zizan, Sam turut memberitahu, dunia lakonan amat penting buatnya.
“Apabila berlakon jangan ambil karya sembarangan. Itu yang saya pernah lalui sebelum ini. Sebabnya, ketika itu saya tidak ada sumber kewangan yang kukuh. Bagaimanapun, kini saya harus meletakkan diri dalam kalangan yang terbaik. Dalam erti kata lain bekerja dengan orang-orang yang bagus.
“Sebab apa, untuk berjaya ia bukan kerana kita seorang, tetapi melibatkan kerja berpasukan. Kalau saya rasa diri bagus, saya tetap tidak boleh pergi seorang diri,” ulas Sam pula yang mengakui barisan pelakon Polis Evo 2 cukup mantap.
Zizan dan Sam ibarat pena yang menghidupkan naskhah terbitan Astro Shaw dan Blackflag Sdn. Bhd. itu, bersama barisan pelakon handalan seperti Raline Shah, Hasnul Rahmat, Erra Fazira, Mike Lucock, Soffi Jikan, Syafie Naswip dan Hairul Azreen.
Ironi, penggambaran filem aksi sebegitu sangat menyita tenaga kedua-dua pelaku seni itu.
Kedua-duanya terpaksa mengabdikan diri selama 15 bulan lamanya untuk filem Polis Evo 2, selain harus siap untuk menjalani latihan koreografi seni bela diri serta belajar menggunakan senjata api sebenar.
Belajar dengan Sam
Di mata Zizan, sekuel Polis Evo merupakan salah satu filem dengan karakter yang sulit dan beremosi pernah dibawanya. Dia yang beberapa kali memenangi anugerah Artis Komedi Popular itu, mengaku terpaksa memberi tumpuan yang lebih sehingga memenatkan emosinya dan terbawa-bawa selepas waktu penggambaran.
“Bukan bermakna sebelum ini saya sekadar melepaskan batuk di tangga dalam menjayakan watak. Cuma, selepas baca dan kaji jalan cerita Polis Evo 2 dan watak Inspektor Sani, saya rasa perlu memberikan tumpuan yang lebih. Sementelahan, watak Sani kali ini berdepan dengan banyak perkara tragis.
“Bahkan, kami terpaksa melakonkan aksi perang setiap hari di set penggambaran. Sampaikan satu tahap, selepas tamat penggambaran pada hari itu dan pulang ke bilik, saya masih merasai suasana perang itu.
“Hati berdebar-debar, bagaimanakah nasib kawan-kawan saya seperti Syafie Naswip dan Sam. Adakah mereka masih hidup? Sebab di dalam filem berkenaan, kami akan terpisah dan ada yang di ambang kematian. Sampai begitu sekali emosi yang diheret keluar,” ujar pelakon berusia 34 tahun itu yang mengakui air matanya tumpah mudah buat pertama kali dalam Polis Evo 2, selama 11 tahun bergelumang dalam industri seni.
Pemilik nama sebenar Mohd. Razizan Abdul Razak itu juga tidak segan untuk mengakui, dia banyak belajar daripada Sam.
“Sejujurnya banyak perkara yang saya belajar daripada Sam. Malu sekiranya saya tidak meletakkan fokus pada Polis Evo 2, sedangkan Sam sudah seperti nak masuk pertandingan bina badan demi merealisasikan watak Khai. Pengarah Joel Soh dan Andre Chiew pula seperti ‘orang gila’. Semuanya demi menyempurnakan Polis Evo 2,” jelas pelakon berasal dari Dungun, Terengganu itu.
Bosan
Menjadi pelaku seni lebih dari 20 tahun, boleh dikatakan Sam sudah berasakan masam dan manis dunia lakonan. Bermula dengan peranan kanak-kanak dalam filem Sama Tak Serupa (1995) sehingga menjayakan peranan utama dalam filem Kongsi dan Songlap, peraih beberapa kali anugerah Pelakon Terbaik Anugerah Festival Filem Malaysia berkenaan dibilang sebagai aktor yang berjaya melarutkan apa jua karakter yang dihidangkan kepadanya.
Ironi, di sebalik kejayaan yang dicetak di portfolio saat ini tidak membuat Sam sombong dan besar kepala.
“Alhamdulillah, saya beruntung terlibat dalam filem yang bagus dan dapat kutipan yang bagus. Pada masa sama, kejayaan yang diperoleh juga adalah berkat kerjasama semua orang iaitu satu pasukan produksi filem,” ujarnya yang membawa watak sebagai Inspektor Khai dalam filem Polis Evo 2 itu.
Bagaimanapun, pelakon berusia 36 tahun itu juga tanpa berselindung mengakui pernah berasa bosan melihat diri satu ketika dahulu di layar perak.
“Sejujurnya, saya pernah rasa bosan tengok diri sendiri dalam filem dahulu. Sebabnya terlalu banyak ambil tawaran berlakon. Sampai satu tahap, saya terpaksa sembunyikan diri supaya orang tidak lagi bercakap tentang kita,” luah Sam sambil tertawa kecil.
Di sebalik usahanya itu, Sam juga menekankan bahawa seorang aktor atau pemain filem haruslah jujur dalam setiap lakonan mereka.
“Kunci utama dalam berlakon adalah kena jujur dan ikhlas,” ungkap suami kepada pelakon Syatilla Melvin itu yang sudah berlakon lebih daripada 30 filem.