Polis Evo 2 uji 
emosi Zizan Razak




Keseriusan karakter dan penghayatan mendalam watak Inspektor Sani lakonan Zizan Razak lebih terserlah dalam Polis Evo 2.

Kembali menterjemahkan karakter Inspektor Sani menerusi filem Polis Evo 2, kredibiliti pelakon Zizan Razak sebagai pelakon ‘serius’ semakin terserlah. Bukan tiada langsung lelucon yang ditimbulkan dalam filem berkenaan, namun kali ini, dia meletakkan tanda aras baharu buat dirinya sebagai pelaku seni.

Kata lelaki berusia 34 tahun itu, dia meletakkan komitmen dan tanggungjawab tertinggi untuk sekuel kali ini. Zizan amat berbangga dan berpuas hati dengan hasil akhir filem yang bakal menemui penonton 22 November nanti.


Mengulas tentang perbezaan sentuhan pengarah sekuel iaitu Joel Soh dan Andre Chiew berbanding khidmat Ghaz Abu Bakar dalam versi terdahulu, Zizan menyifatkan setiap sutradara mempunyai gaya dan cara pengarahan yang tersendiri. Dia beruntung kerana berpeluang bekerjasama dengan individu-individu yang sangat komited terhadap karya mereka.

Kosmo!: Polis Evo pertama mendapat kutipan yang amat memberangsangkan iaitu RM17.8 juta. Tentunya untuk sekuel kali ini, penonton mengharapkan sesuatu yang lebih, bagaimana Zizan melihat perkara tersebut?

ZIZAN RAZAK: Dalam Polis Evo yang pertama, saya telah beri komitmen sebanyak 120 peratus dan untuk yang kedua ini, saya beri 200 peratus.

Sebenarnya, saya agak terkejut dengan hasil akhir filem ini kerana ia sangat hebat dan luar jangkaan saya.

Kiranya, ini bukan sahaja tanda aras buat Astro Shaw, ia untuk Malaysia yang sekarang ada banyak filem yang sangat berjaya di pawagam.

Mungkin juga ia memberi satu dimensi baharu buat pembikin filem Asia.

Saya pergi Indonesia pun, ramai yang bertanyakan tentang Polis Evo. Kita sekarang berada pada trek yang betul dan Polis Evo 2 akan meneruskan legasi kejayaan filem tempatan tahun ini.

Bagaimana bekerja dengan heroin baharu filem ini, Raline Shah?

Raline selalu berkata kepada saya bahawa dia sangat kagum dengan cara kerja produksi tanah air kita. Katanya, produksi kita sangat bekerja keras dalam melahirkan sesuatu.

Bagi saya pula, tiada beza bekerja dengan orang sana (Indonesia) dan atau rakan pelakon di sini. Apa yang berbeza hanyalah bahasa, selebihnya masing-masing sudah tahu peranan dan cara kerja untuk melahirkan karya yang bagus.

Babak emosi atau menangis dalam filem berkenaan bukan sesuatu yang mudah buat anda, bukan? Jadi bagaimana anda menjayakan babak tersebut?

Berlakon babak emosi lebih memenatkan daripada babak fizikal (aksi). Untuk menjayakan babak tersebut, saya sampai demam dan migrain kerana itu bukan kecenderungan saya.

Apapun, terima kasih kepada pengarah kerana tahu cara terbaik untuk membuatkan air mata saya keluar secara semula jadi.

Sebagai seorang pelakon yang dikenali dengan sisi pelawak, diakui sebelum ini saya menggunakan ubat titis mata (Eye Mo) untuk menitiskan air mata namun tidak dalam filem ini.

Lebih kurang sejam lebih saya menangis untuk menjayakan babak emosi dalam filem ini.

Bagaimana jika dikatakan Polis Evo 2 telah membuatkan anda lebih bersedia untuk meninggalkan sisi komedi yang sangat sinonim dalam kalangan khalayak?

Apa yang saya cuba tonjolkan dalam filem ini mungkin memberi ruang baharu kepada pelawak lain untuk mencuba sesuatu yang berlainan.

Satu perkara yang kita beritahu penerbit, kami (pelawak) bukan hanya ingin berlakon watak komedi bahkan perlu mencuba perkara lain.

Di Hollywood pun aktor komedi seperti Will Smith sudah lama buat begini dan sudah tiba waktu, kita praktikkan di sini.

Apa perbezaan berlakon bawah arahan pengarah Ghaz Abu Bakar dan kini, Joel Soh serta Andre Chiew dalam Polis Evo 2?

Saya dapat ilmu yang secukupnya daripada gaya pengarahan mereka bertiga . Seperti yang saya dedahkan tadi, Joel mengajar saya untuk lebih serius dan mendalami emosi.

Untuk Ghaz semasa filem pertama, saya sangat menghormatinya sebagai seorang pengarah yang amat mementingkan metafora dan seni.

Masing-masing mempunyai gaya tersendiri yang memberi hasil terbaik dalam karya. Alhamdulillah, saya belajar banyak perkara dan sentiasa membuatkan saya berkembang sebagai seorang pelakon yang lebih bagus.

Adakah Polis Evo 2 boleh dilabelkan filem yang paling memberikan kepuasan sepanjang kerjaya anda?

Saya tidak melihat filem ini dari sudut sebegitu, banyak lagi sisi lakonan saya masih perlu diperbaiki. Saya suka mencari benda-benda yang tidak okey kerana saya mementingkan kesempurnaan dalam penglibatan sebagai pelakon.

Apa pun, filem Polis Evo 2 adalah antara yang terbaik pernah saya terlibat sama sepanjang karier. Saya berharap ia akan mengulangi kejayaan atau lebih bagus penerimaannya berbanding karya pertama. Insya-Allah.

Post a Comment

Previous Post Next Post