Kemenangan merangkul gelaran juara menerusi program realiti Big Stage sebulan lalu telah menjadi satu titik perubahan yang besar buat kerjaya seni buat si gadis genit berusia 18 tahun itu.
Bagaimanapun, sebaik sahaja pertandingan berkenaan menutup tirai, nama Sarah Suhairi kelihatan sedikit tenggelam, terutama sejurus berlangsungnya program nyanyian penuh drama Gegar Vaganza yang menyita banyak khalayak.
Menyedari situasi dingin yang dihadapi, Sarah tetap bersikap positif dan enggan cepat melatah sebaliknya terus mengatur langkah untuk terus bergerak ke hadapan.
Ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Nyawa & Raga di Talent Lounge, Damansara Perdana baru-baru ini, ujarnya, bukan senang untuk meneruskan kelangsungan momentum populariti Big Stage sebaik sahaja pertandingan itu tamat. Lantas, dia kini mencuba untuk memastikan namanya tidak terus hilang seperti kebanyakan peserta rancangan realiti lain.
“Bukan salah sesiapa pun nama saya tidak terus hangat diperkatakan selepas tamatnya Big Stage, cuma mungkin setiap artis mempunyai waktu sendiri untuk meningkat naik.
“Sejujurnya, Big Stage adalah platform terbaik yang pernah saya dapat untuk menonjolkan bakat yang ada dan saya sangat berterima kasih kepada pihak produksi untuk pendedahan ini. Insya-Allah selepas ini saya akan lebih giat mempromosi lagu baharu Nyawa & Raga agar khalayak tidak melupakan Sarah Suhairi,” katanya penuh yakin.
Klon
Menoleh semula pencapaian yang diraih, kemantapan vokal gadis kelahiran Rawang, Selangor itu terutama ketika menyanyikan lagu-lagu bergenre balada memang tidak dapat disangkal. Baru-baru ini, timbul satu kenyataan daripada peminat tentang persamaan vokal milik Sarah dengan penyanyi senior, Dayang Nurfaizah.
Tidak cukup dengan cakap-cakap sebegitu, ada di peminat membayangkan bahawa suatu hari nanti, Sarah mempunyai peluang dan potensi cerah sebagai pengganti pemegang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu selama lima tahun berturut-turut itu.
Hanya mampu tersenyum saat diminta mengulas komen bersifat pujian tersebut, Sarah secara tegas menyatakan pendiriannya. Dia kurang senang diberi jolokan klon Dayang Nurfaizah kerana menyifatkan dirinya masih jauh di belakang penyanyi itu.
Atas sebab sama juga, Sarah mengambil pendekatan menghasilkan single kedua dengan rentak lebih rancak agar peminat tidak terus-terusan mengatakan suaranya ada persamaan dengan Dayang.
“Setiap penyanyi mempunyai ton, nada dan vokal yang berbeza. Sebagai artis yang masih baru, saya tidak rasa saya layak untuk dibandingkan dengan Dayang kerana dia sudah berada pada satu tahap berbeza dalam dunia nyanyian.
“Saya mahu peminat mengenali saya kerana keunikan vokal sendiri tanpa dibayangi sesiapa. Saya berharap menerusi Nyawa & Raga, peminat dapat mendengar perbezaan suara saya dengan mana-mana penyanyi pun,” jelasnya lagi.
Lakonan
Selain menyanyi, Sarah juga kini perlahan-lahan sedang menceburkan diri dalam satu lagi cabang seni iaitu lakonan apabila bakal muncul dengan drama bersiri lima episod yang bertajuk Sis Cuba.
Menurutnya lagi, komitmen sepanjang menjalani penggambaran lima episod juga antara punca single keduanya lambat dilancarkan secara rasmi setelah diperdengarkan kali pertama pada pentas akhir Big Stage.
Mengakui seronok menimba pengalaman bergelar seorang pelakon, Sarah bagaimanapun menolak untuk menerima tawaran bagi drama rantaian yang berpuluh-puluh episod dalam masa terdekat.
“Rasanya buat masa ini, cukuplah pengalaman berlakon lima episod dahulu. Sekarang saya mahu kembali fokus terhadap bidang nyanyian dan mempromosi single.
“Mungkin pada masa hadapan, jika ada tawaran lakonan datang tepat pada waktunya, insya-Allah saya akan pertimbangkan,” katanya menyimpul perbualan.
Tidak mahu dibayangi sesiapa, Sarah Suhairi enggan suaranya disamakan dengan mana-mana penyanyi dan mahu dikenali atas bakat sendiri.