Ernie Zakri luah rasa dalam lagu




Semakin berani membuat keputusan sendiri dalam menentukan hala tuju karier muziknya, Ernie tidak menyifatkan sikap tersebut sebagai besar kepala atau berlagak diva sebaliknya kematangan yang sedang dilaluinya.

Tujuh tahun lalu, kehadiran penyanyi wanita kecil molek dengan nama pentas Ernie Zakri agak sukar mencuri perhatian, bahkan dipandang sepi oleh peminat.

Mengakui pernah menyimpan hasrat untuk mengundurkan diri daripada industri seni suara, nama Ernie kemudian terus melonjak naik selepas menyertai pertandingan Duo Star.

Kerjaya seni Ernie atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri kemudian terus meledak selepas diangkat sebagai pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu Aku Cinta duet bersama Syamel dalam pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-32 awal tahun lalu.

Justeru, menaruh harapan besar untuk terus mempamerkan bakat nyanyi menerusi lagu Misteri, wanita berusia 26 tahun itu bagaimanapun harus menelan hakikat apabila gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 33.

“Jujur hampir tiga hari saya menangis sendirian di dalam bilik selepas mengetahui gagal masuk ke peringkat separuh akhir. Ketika itu timbul persoalan adakah lagu itu tidak bagus atau saya tidak layak membawanya?

“Bagaimanapun, itu semua bergantung terhadap rezeki, dan saya dalam soal saya tiada rezeki. Saya harus pandang ke hadapan dan melihat banyak lagi peluang dalam industri yang menanti untuk,” katanya ditemui ketika pertandingan separuh akhir Pencarian Gadis Panca MyBeauty 2018 baru-baru ini.

Tidak mahu terus melayan perasaan, penuh teruja kongsi Ernie tidak lama lagi bakal tampil dengan sebuah single baharu berjudul Ku Bersuara yang akan dilancarkan menjelang Disember nanti.

Single Ku Bersuara merupakan hasil gabungan idea empat komposer ternama iaitu Syamel, Omar K, Ikhwan Fatanna dan John Jeeves dengan genre pop R&B.

“Idea asal lagu ini daripada saya kerana mahu berkongsi tentang kisah awal permulaan karier seni dahulu.

“Pendek kata, lagu ini mengisahkan seseorang yang menurut apa sahaja kata orang lain. Dia tidak berani bersuara kerana takut akan dimarah dan dibenci,” terangnya tersenyum.

Matang
Rancak bercerita, Ernie memberitahu sengaja mengabadikan kisah hidup masa lalunya kerana menyifatkan selepas lapan tahun berada dalam industri, dia kini menjadi seorang Ernie Zakri yang sudah matang dan berani bersuara.

“Saya bermula dalam industri pada usia 18 tahun. Pada umur semuda itu, saya seperti takut untuk berkata tidak terhadap perkara yang tidak disukai. Boleh dikatakan banyak perkara termasuk muzik dan penampilan dilakukan secara terpaksa.

“Apabila sudah semakin dewasa, saya lebih berani untuk bersuara lebih-lebih lagi dalam menegakkan soal hak. Biarpun tidak semua orang boleh menerima kejujuran, namun tidak kisah asalkan saya tahu apa yang sedang dilakukan,” terangnya panjang lebar.

Ditebak tentang pilihannya untuk selangkah ke hadapan dalam soal menegakkan pendirian yang memungkinkan timbul gelaran ‘diva’ terhadap dirinya, penuh optimis Ernie menjawab, akan memastikan situasi tersebut tidak akan berlaku.

“Berani bersuara tidak bermaksud saya akan menolak semua perkara yang dicadangkan tanpa kompromi. Cara kerja saya bertemu dengan ramai orang, jadi saya perlu tahu menggunakan gaya bahasa yang sesuai agar tiada pihak terasa hati,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post