Izzue Islam undur diri daripada Forteen




Penyanyi Izzue Islam mengakui bakal mengundurkan diri daripada kumpulan Forteen sebaik sahaja Gegar Vaganza 5 melabuhkan tirai malam ini.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 28, menerusi GV Live+ sebentar tadi berkata, pengundurannya itu disebabkan tiada persefahaman antara ahli kumpulan lain dan telah bersedia untuk membawa haluan sendiri.

“Apabila persefahaman tidak ada, lebih baik saya undur diri.

“Benda ini pernah jadi beberapa kali dan saya tidak mahu ia berulang kembali,” katanya secara ringkas.

Izzue menambah, pengundurannya juga bukan disebabkan kegagalan Forteen untuk melayakkan diri ke peringkat akhir Gegar Vaganza.

Sebaliknya, dia menyedari bahawa dia tidak lagi sesuai untuk kekal dengan kumpulan tersebut.

“Sejujurnya, saya memang tidak layak untuk menyertai Gegar Vaganza kerana kualiti persembahan saya kurang bagus.

“Saya serius. Cukuplah setakat sampai di sini,” ujar Izzue lagi.

Forteen yang turut terdiri daripada One, Ameer dan Ariz ditubuhkan pada 2011.

Pernah bernaung bawah KRU Music, single Forteen yang menjadi hits antaranya Berdua Bersatu, Kita dan Dekat Tapi Jauh.

Selain bersama Forteen, Izzue juga pernah memasarkan beberapa single solo seperti Bimbang dan Sahabat.

Post a Comment

Previous Post Next Post