
Sejak Hael Husaini menjurai Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) menerusi lagu Jampi yang dicipta bersama Ezra Kong, lelaki berusia 31 tahun itu dilihat semakin ampuh memacu momentumnya sebagai penyanyi dan komposer.
Tidak sekadar menggarap karya untuk karier sendiri yang memperlihatkan bintangnya cemerlang menerusi single Haram dan Hajat, malah rakan-rakan seperjuangannya turut berhajatkan karya kreatif ciptaan penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu.
Terbaharu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut tersenarai dalam liga sedang mempertaruhkan karya Hael dengan merakamkan Anta Permana sebagai single kemunculan semula beliau.
Sekali lagi, komposisi muzik Hael dan Ezra berjaya membuatkan banyak orang terkesima terutama lagu tersebut disuntik dengan elemen Melayu yang sangat indah.
Lebih manis, lagu Siti kembali memanjat carta-carta radio tempatan, yang sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini didominasi oleh bakat-bakat baharu.
Berkesempatan bertemu dengannya pada majlis sidang akhbar Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-33 (SFMM33) di ibu kota baru-baru ini, Hael ternyata sangat berbangga dengan pencapaian lagu Anta Permana.
Kata Hael, dia juga berasa sangat gembira kerana lagu ciptaannya mampu memekarkan kembali nama Siti Nurhaliza dalam kalangan golongan muda.
Bangga
“Apa yang boleh saya katakan, saya sangat berbangga dapat bekerjasama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Beliau merupakan seorang yang sangat profesional dan komited dengan kerja.
“Alhamdulillah, lagu Anta Permana diterima dengan cukup baik dan ia membuktikan bahawa beliau masih lagi relevan. Saya percaya, ini adalah rezeki beliau,” katanya.
Untuk rekod, lagu tersebut masih lagi berada dalam kedudukan tertinggi dalam carta belian iTunes dan menerima lebih tiga juta tontonan di Youtube.
Kejayaan yang diraih oleh Anta Permana bukan sahaja membakar semangat Hael dan Ezra untuk terus berkarya tetapi memberi inspirasi kepada mereka menghasilkan sesuatu yang di luar duga.
“Saya selalu bercakap dengan Ezra yang saya mahu membawa muzik kita ke peringkat yang lebih tinggi.
Justeru, saya berjanji untuk tidak akan berhenti. Jika ada berlaku sebarang kesilapan, kami akan perbaiki,” katanya lagi.
Bergelar komposer dengan karya yang sering menjadi rebutan, Hael bagaimanapun tidak mahu terus selesa dengan situasi berkenaan.
Ujar bekas anggota kumpulan duo Azhael itu, statusnya sebagai komposer masih baharu dan masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya untuk kekal ‘hidup’ dalam industri muzik.
Signatur
“Saya boleh gelarkan diri saya sebagai komposer muda yang perlu banyak belajar. Hal ini membuatkan saya bertambah yakin untuk mencipta lagu dan secara tidak langsung, penyanyi lain dapat menaruh rasa percaya terhadap karya saya.
“Apa pun, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penyanyi yang sudi menyanyikan lagu ciptaan saya dan Ezra. Saya akan terus pandang kepercayaan tersebut sebagai satu cabaran,” katanya sambil tersenyum.
Ditanya, adakah dia risau jika karya-karya yang dicipta kedengaran mendatar dan mirip antara satu dengan lain, Hael menjelaskan, persamaan tersebut disifatkan sebagai signatur yang perlu ada dalam karya-karyanya.
“Apabila saya buat lagu untuk penyanyi lain, semua mampu menebak itu adalah lagu saya. Ia disebabkan ada signatur muzik dalam setiap lagu yang saya cipta.
“Perkara sama boleh kita lihat dalam karya-karya Ajai dan Aubrey Suwito. Apabila kita dengar lagu Ajai atau Aubrey, kita tahu itu lagu mereka.
“Saya tidak kisah jika ada yang mengatakan karya-karya saya mendatar. Barangkali, pendengar masih belum dapat mengadaptasi cara saya dan Ezra menulis lagu mengikut gaya sendiri,” tegasnya.
Dalam pada itu, Hael turut memberitahu bahawa dia tidak akan cuba untuk menukar gaya penulisan lagunya pada masa akan datang.
“Ini merupakan identiti dan kami tidak terfikir untuk mengubahnya.
“Apabila kita mempunyai gaya ciptaan lagu sendiri, insya-Allah, kita boleh kekal dalam industri,” tutur Hael.
SFMM33
Beralih pada senarai lagu yang lolos ke SFMM33, Hael barangkali kini tersenyum bangga apabila empat lagu ciptaannya telah terpilih untuk bersaing merebut tempat ke AJL33.
Dua lagu ciptaannya, Hajat dan Haram dinyanyikan sendiri oleh Hael selebihnya, Dia didendangkan oleh Dayang. Nisan Cinta pula dinyanyikan oleh Siti Nordiana dan Jaclyn Victor.
Menyifatkan pentas AJL sebagai pentas berprestij untuk mengiktiraf karya-karya muzik tempatan, Hael mengakui bersyukur dengan pencalonan yang diterima.
“Bercakap sebagai seorang komposer, saya lebih mengharapkan lagu Dia dan Nisan Cinta mendapat tempat berbanding lagu nyanyian sendiri.
“Maklumlah, kami cipta lagu untuk penyanyi. Sudah tentulah kami mengharapkan yang terbaik untuk karya berkenaan,” kongsi Hael.
Berkenaan dengan lagu-lagu lain, Hael berkata, dia sendiri berasa sangat teruja untuk bersaing dengan penyanyi-penyanyi senior pada tahun ini.
“Sebenarnya, ini adalah bahagian terbaik AJL, artis senior yang kita tahu ada aura tersendiri bersaing secara positif dengan artis baharu.
“Tahun ini, saingan seimbang dan perkara tersebut yang bakal membuatkan AJL33 meriah,” katanya menutup perbualan.
Pertandingan SFMM33 akan berlangsung pada 9, 13 dan 20 November ini di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor dan disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam.
Lagu-lagu yang layak ke AJL33 akan diumumkan pada minggu akhir iaitu pada 20 November ini.
Sebagai komposer muda yang sedang laku keras, Hael Husaini mengakui banyak perlu dipelajari bagi membawa muzik Malaysia ke peringkat lebih tinggi.