Fasha Sandha, Aidil Aziz menuju destinasi cinta




Percintaan dan kebahagiaan yang tersulam indah antara dua jiwa, Fasha Sandha dan Aidil Aziz sudah hampir setahun diketahui umum. Biarpun tidak pernah berselindung tentang kemesraan mereka, namun setiap perhubungan berlandaskan kasih sayang tetap ada destinasinya. Bezanya, cuma lambat atau cepat, setiap percaturan yang diputuskan pasti menjadi perhatian ramai.

Lantas, ikatan pertunangan yang terpateri antara Fasha dan Aidil pada Ahad lalu telah menjelaskan segala-galanya. Perhubungan mereka tidak sekadar mengisi waktu kesendirian, sebaliknya bersandarkan janji untuk melengkapkan sebuah kehidupan secara bersama, dalam senang ataupun sukar.

“Insya-Allah, kalau tiada aral, kami akan bernikah awal tahun depan,” kongsi Fasha tentang perancangan hari bahagianya bersama Aidil.

Nyata, status bukan penghalang. Fasha, 34, janda anak dua, manakala Aidil, 31, masih bujang dan sedikit terkebelakang dari segi populariti dan pengaruh seni berbanding Fasha. Namun, atas kepercayaan dan keinginan untuk saling melengkapi, kini tinggal lagi selangkah untuk mereka diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri.

Lebih dua tahun hidup sebagai ibu tunggal, Fasha kini bergelar tunangan orang. Lebih manis, aktres filem Anak Halal itu tetap mahu melalui fasa pertunangan kerana baginya, momen sedemikian tidak pernah dikecapi ketika hendak mendirikan rumah tangga pertamanya dengan Rizal Ashram Ramli (Jejai) pada 27 April 2012.

“Saya berharap saya dapat lebih mengenali Aidil selepas pertunangan ini. Alhamdulillah saya bersyukur kerana Aidil dan keluarganya menerima saya dan anak-anak dengan baik sekali dan saya berharap pertunangan ini akan berkekalan sehingga ke perkahwinan,” katanya.

Dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Ampang, Kuala Lumpur Ahad lalu, Aidil menghantar tiga dulang hantaran dan berbalas lima dulang daripada pihak Fasha.

Lebih bahagia, Fasha disarungkan sebentuk cincin tanda pertunangan oleh ibu Aidil iaitu Rokkiah Md. Noor sambil disaksikan oleh ayah Aidil, Abd. Aziz Ishak dan kaum keluarga yang datang dari Rembau, Negeri Sembilan.

Selepas bercerai pada 20 Januari 2016, ketabahan Fasha menjaga dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal berusia 5 tahun dan Putri Raysha Jemyma, 4, sememangnya diketahui umum. Anak-anak kecil itu juga tidak pernah dihalang daripada bertemu dan merasai kehadiran seorang bapa (Jejai) dan kemesraan bersama datuk dan nenek serta keluarga sebelah bekas mertuanya.

“Ahad lalu, anak-anak memang belum faham erti pertunangan tetapi mereka sangat gembira dan seronok, itu cukup membahagiakan saya,” jelas Fasha.

Anak juga menjadi perhitungan nombor satu dalam membulatkan kata hati Fasha untuk menerima Aidil. Soal status bukan isu baginya untuk berkahwin semula, asalkan lelaki yang bersamanya boleh menyayangi anak-anaknya dengan baik.

Usaha dan inisiatif Aidil dalam mendekati dan mewujudkan kemesraan bersama anak-anaknya jugalah yang mendebungakan perasaan Fasha untuk menerima lelaki yang dibahasakan Pak Ngah itu sebagai bapa tiri buat Rayfal dan Jemyma. Aidil disifatkan bijak mengambil hati anak-anaknya.

“Pak Ngah (Aidil) telah melamar saya pada 21 Jun lalu dan saya mengambil masa beberapa bulan untuk memikirkan tentang perkara ini. Saya sebenarnya khuatir dan dilema untuk menerima pada mulanya. Namun, saya lihat kualiti yang ada pada Aidil. Dia juga cukup akrab dengan kedua anak saya dari sejak awal saya perkenalkan kepada mereka lagi. Saya tertarik kerana Aidil meletak usaha dan inisiatif untuk mendekati anak-anak saya dengan meluangkan masa. Dia bijak mengambil hati mereka berdua. Malah Aidil juga pandai menghormati kedua ibu bapa dan keluarga saya,” tambah Fasha.

Mula berkenalan sejak akhir tahun 2017 selepas mereka terbabit sama dalam penggambaran sebuah sitkom, Aidil yakin mampu ke destinasi cinta bersama Fasha.

“Saya sukakan sifat keibuan yang ada padanya dan dia selalu menghargai orang di sekeliling. Sifat sederhana yang ada pada Fasha membuatkan dia disayangi ramai termasuk saya dan keluarga.

“Bohong kalau saya katakan tiada yang persoal atau memandang pelik kerana siapa saya yang masih bertatih membina nama untuk memiliki hati Fasha yang cukup besar profilnya sebagai pelakon di Malaysia. Namun, saya percaya soal jodoh ini bukan kerja kita dan jauh sekali untuk kita persoalkan. Sudah tertulis jodoh saya dengannya dan saya menerima baik ketentuan itu. Jadi, persepsi negatif atau apa saja pandangan orang lain tak perlu saya fikirkan,” kata Aidil yang mahu menggunakan tempoh pertunangan sebagai ruang melengkapkan diri dengan kewangan dan agama demi memimpin sebuah keluarga.

Percayakan bahawa hubungan yang selama ini dibajai keikhlasan dan kejujuran serta komunikasi yang baik sehingga sampai ke tahap sekarang, Aidil seterusnya berharap jalannya membina keluarga bersama Fasha akan terbentang tanpa mengundang sebarang masalah.

Post a Comment

Previous Post Next Post