Polis Evo 2 cemerlang gulung kalendar 2018




Sebelum menjengah pawagam, filem aksi terbitan Astro Shaw, Polis Evo 2 mencetuskan kontroversi hanya dengan perkongsian trailer di YouTube. Menerusi trailer berkenaan, ia dikatakan menampilkan imej umat Islam sebagai pengganas sehingga menjadi tular di media sosial.

Berpeluang menonton filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew pada tayangan perdana filem berkenaan di Starling Mall, Damansara minggu lalu, secara peribadi, tiada apa yang ingin dikhuatirkan.

Jika hanya imej berserban menerusi lakonan Hasnul Rahmat dianggap sebagai terjemahan perjuangan segelintir parti atau individu tertentu yang seterusnya mengundang seruan agar diboikot, industri filem tanah air sememangnya tidak akan ke mana-mana. Dalam bahasa lebih, ia cerminan kecetekan minda, terjentik sedikit sudah melatah punggung walhal banyak lagi perkara serius yang memerlukan perhatian lebih wajar tidak diendahkan.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 2 yang juga Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu & Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, filem berkenaan telah mendapat kelulusan untuk ditayangkan dan dua orang mufti telah ditemui bagi mendapatkan nasihat.

“Filem ini akan memberikan kesan buruk sekiranya kegiatan ajaran sesat tidak dibanteras. Ada isu kemanusiaan dan agama yang kita angkat supaya menjadi teladan semua. Saya percaya ada golongan yang menggunakan agama untuk kepentingan sendiri dan itu perlu ditegah.

“Pihak kami sudah bertemu Mufti Wilayah Persekutuan dan Mufti Perlis untuk mendapatkan nasihat. Semua karakter yang dipaparkan adalah rekaan semata-mata. Bagi saya, filem ini harus ditonton terlebih dulu sebelum sebarang tuduhan dibuat. Trailer tidak menggambarkan keseluruhan filem,” jelasnya.

Ketepikan seketika isu cubaan boikot hanya disebabkan tidak sebulu dalam soal pemikiran. Apa yang menarik tentang pembikinan filem ini, ia sebenarnya lebih menghadirkan keterujaan dek adunan penceritaan dan kualiti yang dipersembahkan.

Sam korban makan
Meneruskan legasi karakter Inspektor Khai, pelakon serba boleh, Shaheizy Sam mendedahkan kelegaan hatinya. Dia langsung tidak tertekan dengan jangkaan penonton yang mengharapkan hasil atau kualiti lebih bagus berbanding Polis Evo pertama.

“Banyak filem tempatan tahun ini yang ‘menjadi’ di pawagam.

“Ketika menjalani penggambaran Polis Evo 2, siapa sangka filem seperti Paskal dan beberapa judul lain akan meletup di pawagam. Saya cuma mengharapkan penonton yang tengok Polis Evo pertama datang ke pawagam beri sokongan untuk sekuel kali ini,” kata pemilik nama sebenar, Shaheizy Sam Abd. Samad, 36, itu.

Mengulas tentang cabaran ketika berada di set penggambaran di Kuantan, Pahang, Sam sejujurnya terseksa untuk membina otot badan demi menjayakan karakter Inspektor Khai.

“Pengarah mahukan saya mempunyai badan yang atletik, bukan ahli bina badan. Jadi, banyak perkara saya perlu korbankan, banyak yang tidak boleh dimakan.

“Bukan mudah untuk menjaga pemakanan dan otot, sehinggakan saya terpaksa dimasukkan ke hospital disebabkan kekurangan air dalam badan.

“Kecederaan ketika menjalani penggambaran juga perkara biasa. Ini bukan kerja satu atau dua hari, sebaliknya memerlukan pengorbanan tinggi. Luka, lebam dan keluar masuk hospital, sudah tidak menjadi isu,” terangnya bersemangat.

Dipuji usaha tersebut telah meletakkan satu aras tinggi buat aktor tempatan apabila sanggup mengecil atau membesarkan saiz badan demi tuntutan watak, Sam mempunyai penilaiannya tersendiri.

“Saya tidak mahu mengakui diri sudah bagus. Apa yang saya lakukan hanya untuk memberi motivasi kepada diri dan pelakon lain. Berlakon bukan hanya tentang glamor.

“Ada banyak perkara yang boleh dilakukan untuk komited dengan kerjaya. Kerja keras amat penting. Kita boleh memilih untuk buat kerja ala kadar namun seseorang itu harus reda, andai hasilnya tidak memadai. Itu antara mahu atau tidak sahaja,” kata Bintang Paling Popular 2011 itu optimis.

Raline tolak Hollywood
Dalam pada itu, buat jelitawan tanah seberang, Raline Shah yang memegang peranan sebagai Rian, dia sanggup menolak tawaran lain hampir dua tahun semata-mata ingin memberi fokus terhadap filem Polis Evo 2.

Bintang filem Surga yang Tak Dirindukan itu berkata, selama tempoh tersebut, dia harus mempersiapkan mental dan fizikal sebelum memulakan penggambaran babak aksi kepolisan.

“Antara tawaran yang saya tolak adalah sebuah karya daripada produksi Amerika Syarikat.

“Polis Evo 2 merupakan filem aksi pertama saya. Jadi, perlukan banyak latihan terutama seni mempertahankan diri, cara memegang senjata dan banyak lagi perkara lain,” ujar pemilik nama lengkap Raline Rahmat Shah itu.

Aktres berusia 33 tahun itu menambah, keterbukaannya menyahut tawaran Polis Evo 2 banyak dipengaruhi kesungguhan pengarahnya, Joel dan Andre yang mahu dia terlibat dalam naskhah tersebut.

“Saya terima kerana pengarahnya benar-benar mahukan saya dalam filem itu. Saya rasa sangat istimewa kerana mereka yakin saya mampu melakonkan watak yang ditawarkan.

“Mereka mengesyorkan saya ‘mengulang kaji’ filem Atomic Blonde lakonan aktres, Charlize Theron. Bukan hanya saranan, itu permintaan daripada sutradara,” jelasnya ringkas.

Terlibat dengan penggambaran hampir setahun, Raline mengakui produksi Polis Evo 2 adalah yang terbaik pernah dilalui sepanjang bergelar pelakon.

“Daripada teknikal sahaja, saya boleh katakan, ini produksi filem paling baik yang pernah dilalui.

“Bayangkan, bayaran sewaan lampu untuk digunakan pada waktu malam dalam sehari sahaja sudah bernilai RM20,000. Saya amat kagum dan tidak menyangka produksi Malaysia boleh mencapai piawaian sebegitu,” jelasnya yang turut banyak mempelajari budaya dan adat resam orang Melayu berdasarkan pemerhatian selama berkampung di Kuantan, Pahang.

Menurut Raline, kedua-dua pelakon utama iaitu Sam dan Zizan juga banyak membantu dan membentuk keselesaan buatnya sepanjang penggambaran.

“Mereka macam abang saya dan banyak membantu sepanjang penggambaran. Zizan sanggup belikan pemain DVD untuk saya kerana menyangka saya bosan selama di Kuantan. Dia tidak tahu, saya banyak menghabiskan masa dengan orang kampung.

“Pemain DVD yang Zizan belikan juga telah saya hadiah buat salah seorang penduduk. Boleh dikatakan, mereka sudah seperti keluarga angkat saya. Kisah di sebalik tabir filem ini menjadi saat paling istimewa kerana banyak suka duka telah kami tempuhi bersama,” ujarnya menggulung perbualan.

Selain Sam, Raline, Zizan dan Hasnul, Polis Evo 2 yang membuka tayangan di pawagam hari ini menampilkan pelakon-pelakon handalan lain, antaranya Erra Fazira, Hairul Azreen, Soffi Jikan dan Syafie Naswip.

Post a Comment

Previous Post Next Post