Keyakinan Siti Sarah




Shuib hadir bagi memberi semangat kepada Sarah sewaktu berlangsungnya SFMM33 baru-baru ini.

Meyelusuri perjalanan karier nyanyian Siti Sarah Raissuddin sejak 16 tahun lalu, penghibur bertubuh genit itu tidak pernah berjaya melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu.

Pernah dicalonkan pada peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik menerusi lagu Kesetiaan, Saat Hilang Cintamu dan Bersamamu, namun, ketiga-tiga lagu tersebut gagal mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL).

Justeru, apabila diberi peluang sekali lagi untuk bertanding dalam Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-33 (SFMM33) menerusi lagu Semakin, Sarah mengakui meletakkan keyakinan terhadap pertaruhan terbaharunya itu.

Lebih manis, lagu yang dicipta oleh suaminya, Shuib itu turut dipilih oleh barisan juri sebagai lagu terbaik pada minggu pertama SFMM33, mengetepikan beberapa buah lagu popular pilihan penonton seperti Di Matamu nyanyian Sufian Suhaimi dan Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer).

Sarah, 34, ketika ditemui berkata, meskipun yakin terhadap kemampuan lagu berkenaan, namun dalam masa sama, dia turut diburu kebimbangan.

Jelasnya, biarpun lagu Semakin menjadi pilihan juri pada minggu pertama, ia bagaimanapun tidak memberi jaminan bahawa lagu berkenaan akan mara di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) yang dijangka diadakan sekitar awal tahun depan.

Dalam pada itu, Sarah turut menepis dakwaan pengguna media sosial yang mengatakan lagu Semakin kedengaran seakan-akan lagu Matahariku nyanyian penghibur kelahiran Indonesia, Agnez Mo.

KOSMO!: Bagaimanakah perasaan Sarah apabila lagu Semakin layak ke SFMM33 dan dipilih sebagai lagu mingguan terbaik?

SARAH: Tiada apa yang mampu diucapkan selain rasa bersyukur. Alhamdulillah, saya tidak tahu bagaimana untuk menzahirkan emosi pada masa ini. Gembira ada, sedih pun ada. Hal ini berkemungkinan disebabkan saya sendiri sudah lama tidak beraksi di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik. Kali terakhir sekitar 12 tahun lalu menerusi lagu Bersamamu. Jadi, perasaan saya bercampur-baur.

Adakah penantian selama 12 tahun itu berbaloi dengan prestasi lagu Semakin?

Saya berasa sangat senang hati dengan sambutan peminat terhadap lagu Semakin. Sejujurnya, saya berasa sangat takut sewaktu mahu merakamkan lagu ini. Saya gentar jika saya atau lagu-lagu nyanyian saya tidak akan diterima lagi oleh khalayak. Namun, jangkaan saya meleset apabila peminat masih setia dan suka dengan lagu Semakin. Saya berasa sangat gembira.

Jadi, adakah anda yakin akan mara ke pentas AJL33?

Tidak sekali. Biarpun dipilih sebagai lagu mingguan terbaik, ia bukan tiket untuk menjadikan lagu Semakin lolos ke peringkat akhir. Mana tahu, mungkin ada lagu yang lebih baik daripada lagu saya.

Apakah kekuatan lagu Semakin mengikut pendapat anda?

Apa yang boleh saya katakan, lagu ini penuh dengan sifat kejujuran. Saya sendiri tidak mengetahui kriteria apa yang dilihat oleh juri sewaktu mengadili lagu ini. Namun, Semakin merupakan lagu yang lahir daripada jiwa saya sendiri.

Meskipun lagu anda layak ke peringkat separuh akhir, tetapi ada pihak yang mempertikaikannya kerana Semakin dikatakan mirip lagu Matahariku nyanyian Agnez Mo. Apa pendirian anda terhadap isu ini?

Jika bercakap tentang susunan muzik, dari awal lagi saya mahukan sedikit sentuhan seperti lagu-lagu nyanyian Agnez Mo. Saya juga tertarik dengan momentum yang ada pada karyanya. Bagaimanapun, apabila menyentuh soal melodi, lagu saya berbeza dengan lagu Matahariku.

Bagaimanakah perasaan anda apabila bersaing dengan penyanyi lama dan baharu untuk edisi SFMM33 kali ini?

Saya berasa benar-benar terharu kerana berpeluang untuk bersaing dengan mereka. Bakat mereka juga bukan calang-calang. Ia satu persaingan yang sihat.

Apakah perancangan anda untuk single seterusnya?

Saya dan syarikat rakaman, Indigital masih mencari material baharu. Selain lagu-lagu berentak balada, saya juga mahu menyanyi lagu rancak seperti sebelum ini. Insya-Allah, saya akan umumkan mengenai single baharu jika semuanya berjalan seperti yang dirancang.

Post a Comment

Previous Post Next Post