Eina Azman Saya tolong bukan mahu menunjuk




Naluri keibuan menyebabkan Eina Azman (kiri) terpanggil untuk membantu Nurul Ain Abdullah dan dua anaknya, Lela Safiya Azmi, 2, dan Muhammad Nayl Safiy Shahrul Azmi, enam bulan yang menghidap penyakit kulit serius.

Keprihatinan pelakon, Datin Paduka Eina Azman yang ditunjukkan kepada keluarga seorang wanita, Nurul Ain Abdullah, 29, yang berdepan kesukaran membiayai bil perubatan dua orang anaknya telah mendapat perhatian peminat seni tempatan.

Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman memberitahu, apabila dia terbaca kisah Lela Safiya Azmi, 2, dan Muhammad Nayl Safiy Shahrul Azmi, enam bulan yang menghidap masalah kulit serius, naluri keibuannya tersentuh.

Justeru, pelakon Suri Hati Mr. Pilot itu terus berbincang dengan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan.

Tambah Eina, tujuannya memberi bantuan bukanlah ingin menunjuk atau menayangkan kekayaan yang dimiliki, sebaliknya dia juga tidak berasal daripada keluarga kaya dan pernah mengalami kesempitan hidup.

KOSMO!: Apakah yang mendorong anda untuk mencari dan membantu keluarga tersebut?

EINA: Saya terbaca kisah mereka di media sosial dan apabila melihat keadaan dua orang kanak-kanak yang mempunyai masalah kulit ekzema yang teruk, saya berasa sedih kerana saya juga seorang ibu.

Saya bayangkan diri berada di tempat ibu mereka dan ia satu perasaan yang menyeksakan apabila tidak mampu menghilangkan rasa sakit anak.

Melihat keadaan kewangan Nurul Ain yang tidak mampu membiayai perubatan anak-anaknya, saya terpanggil untuk membantu dan selepas berbincang dengan suami, dia juga bersetuju dengan cadangan saya.

Bagaimanakah anda berjaya menemui Nurul Ain?

Saya ada muat naik status di laman Instagram memohon pertolongan peminat andai mereka tahu cara untuk menghubungi Nurul Ain. Selama dua hari, ratusan mesej yang saya terima di Instagram tetapi semuanya palsu dan sekadar ingin mengambil kesempatan dengan meletakkan akaun bank palsu.

Namun, nasib baik Nurul Ain sendiri yang menghubungi saya di Instagram dan saya terus menyatakan hasrat untuk membantunya.

Alhamdulillah, anak-anaknya sudah dibawa berjumpa pakar kulit dan saya telah berjanji untuk menanggung kos perubatan setiap bulan sehinggalah masalah kulit Lela dan Nayl pulih seperti biasa.

Ini bukan kali pertama kisah anda membantu golongan memerlukan menjadi tular. Apakah faktor yang menyebabkan anda sering terlibat dalam kerja kebajikan?

Jujurnya, saya bukanlah berasal daripada keluarga senang. Saya pernah susah dan tahu bagaimana peritnya hidup apabila tidak mempunyai wang yang cukup untuk makan dan berbelanja.

Sekarang, apabila Allah mengurniakan rezeki lebih untuk saya, suami dan ibu sering mengingatkan bahawa rezeki bukan untuk dinikmati seorang diri tetapi perlu dikongsi dengan mereka yang memerlukan.

Ibu sering berpesan bahawa jika berkongsi rezeki, kita tidak akan pernah rugi dan Allah akan menambahkan nikmat hidup berkali ganda tidak kira dari segi wang ringgit, kesihatan atau ketenangan hati.

Pernahkah anda menerima kritikan negatif setiap kali berkongsi status berhubung bantuan kepada golongan susah?

Jika ada yang memuji pasti ada yang mengeji, itu lumrah hidup. Saya sudah lama mengamalkan sikap tidak ambil peduli dengan kata-kata negatif dan teruskan usaha untuk membantu semampu yang boleh.

Allah sahaja yang tahu niat serta keikhlasan saya saat membantu golongan tersebut dan jika ia menimbulkan rasa kurang senang orang lain, itu masalah mereka.

Apakah harapan anda setiap kali berkongsi berkenaan aktiviti kebajikan di media sosial?

Saya ingin peminat menyedari bahawa kita tidak perlu menjadi seorang yang kaya untuk mula membantu golongan memerlukan.

Saya berharap masyarakat tidak berasa takut untuk menghulur derma kerana percayalah, menderma tidak akan membuatkan kita lebih miskin daripada golongan tersebut.

Beralih tentang perkembangan karier, boleh kongsikan projek terbaharu anda?

Setakat ini, saya menerima banyak tawaran tetapi terpaksa menolaknya terlebih dahulu kerana mahu fokus kepada keluarga. Anak-anak masih memerlukan perhatian dan saya gembira menguruskan rumah tangga.

Jika ada tawaran yang bagus dan pihak produksi boleh bertoleransi dengan jadual harian saya yang agak padat, barulah saya akan mempertimbangkannya.

Post a Comment

Previous Post Next Post