Tomok terima kritikan dengan terbuka




Padam - Setelah menerima nasihat daripada para ustaz serta pendakwah, Tomok memilih untuk memadam gambar berpakaian wanita yang dimuat naik di laman Instagramnya sewaktu mempromosi lagu Bekas Kekasih.

Sejujurnya, strategi mencipta gimik bagi kebanyakan penyanyi setiap kali melancarkan lagu baharu bukan sesuatu yang mengejutkan dalam industri muzik tanah air ketika ini.

Terbaharu, Tomok menyertai barisan penyanyi yang tampil dengan gimik tersendiri apabila melancarkan lagu Bekas Kekasih yang mendapat perhatian meluas industri seni.

Tindakan memuat naik sekeping gambar berpakaian wanita dan berambut palsu telah mengundang pelbagai spekulasi sehingga vokalis kumpulan New Boyz itu teruk dikecam oleh khalayak di media sosial.

Sebenarnya foto tersebut hanyalah satu permulaan terhadap penceritaan sebenar klip video rasmi Bekas Kekasih yang menyentuh isu percintaan sejenis lakonan Tomok sendiri bersama pelakon, Beto Kusyairi.

Sewaktu ditemui pada sidang akhbar Konsert Duo Dinamik Tomok vs Black di Traders Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, Tomok berkata, dia sudah bersedia dengan sebarang reaksi umum sejak idea menggunakan jalan cerita sebegitu bagi single Bekas Kekasih.

“Mewujudkan gimik untuk single baharu memang sesuatu yang penting dalam kerjaya artis zaman sekarang kerana kita hidup dalam dunia yang hanya memberi perhatian kepada benda yang ditularkan.

“Namun itu bukanlah bermaksud ia boleh dibuat sesuka hati, sebaliknya secara berpada-pada. Dalam kes saya, ia sememangnya telah dirancang awal,” jelasnya panjang lebar.

Terbuka
Selain peminat, muzik video pemilik nama Shah Indrawan Mohamad Ismail itu turut dikritik teruk oleh pendakwah-pendakwah moden kelahiran Pencetus Ummah (PU) dan Imam Muda yang menghantar mesej secara terbuka serta peribadi kepadanya.

Tomok secara rendah diri menerima segala komen baik mahupun buruk kerana menyedari pendekatan penyampaian mesej yang diambilnya bukanlah alternatif terbaik.

Namun, dia memohon agar klip videonya tidak dihakimi dalam skop yang kecil tetapi mengambil pengajaran secara keseluruhan dengan menontonnya hingga ke akhir.

“Benar, niat tidak menghalalkan cara dan saya terima semua pihak yang telah menegur cara saya menjentik realiti sebenar dalam masyarakat hari ini.

“Malah, saya sering berpesan kepada peminat agar mengambil apa yang positif sahaja tentang apa yang mereka lihat dalam klip video berkenaan dan tinggalkan sahaja perkara tidak baik,” ujarnya lagi.

Tidak menolak bahawa gimik tersebut secara tidak langsung telah menaikkan jumlah tontonan di laman YouTube, Tomok turut berasa teruja kerana sudah lama tidak menikmati pengalaman lagunya diberi perhatian meluas.

“Sebelum ini, perihal Tomok melancarkan single baharu hanyalah perkara biasa. Kali ini sahaja ia menjadi sesuatu yang besar, jadi berbaloilah saya melakukan gimik itu,” katanya yang berbangga klip video tersebut mencecah jumlah tontonan 800 ribu kali dalam masa seminggu dilancarkan.

Tomok lawan Black
Meninggalkan isu berkenaan Bekas Kekasih, Tomok dalam perkembangan terbaharu bakal mengadakan konsert sulungnya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bergandingan dengan rakan baiknya, Black menerusi Konsert Duo Dinamik Tomok vs Black pada 28 November ini.

Bakal menyertai barisan penghibur terkemuka tempatan yang telah diberikan penghormatan membuat persembahan di pentas DFP, Tomok berasa terharu dengan peluang bergandingan dengan Black dalam konsert tersebut.

“Ini pastinya antara kemuncak tertinggi pernah dicapai dalam kerjaya saya selama lebih 20 tahun bergelar penyanyi.

“Bakal berkolaborasi dengan Black, ia pasti akan menjadi sebuah konsert yang tidak akan dilupakan oleh peminat kami berdua,” ujarnya lagi.

Bagi Black yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut, antara persediaan yang diberi tumpuan utama adalah kemampuan stamina untuk tampil bertenaga di atas pentas.

“Membuat persembahan di DFP adalah salah satu daripada impian saya sejak menceburkan diri dalam industri seni dan selepas 10 tahun, peluang itu datang.

“Insya-Allah saya dan Tomok menjanjikan sebuah konsert yang terbaik serta luar jangkaan. Kami mahu ia menjadi kenangan terindah buat peminat yang datang menonton dan menyokong kami pada malam 28 November ini,” tuturnya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post