Akar kredibiliti Joe Flizzow




Mencipta sejarah sebagai artis tempatan pertama menang trofi Artis Terbaik Asia Tenggara pada Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 (MTV EMA 2018) baru-baru ini, banyak perkara yang dikongsikan rapper berpengaruh, Joe Flizzow.

Ditemui media pada acara makan tengah hari bersama pemilik nama sebenar Johan Ishak itu di Ana Patin House, Mutiara Damansara, Isnin lalu, Joe tidak lokek dengan senyuman selain ramah dengan rakan wartawan yang sentiasa memberikan hebahan serta sokongan terhadapnya selama 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni.

Membuka perbualan, pelantun lagu Havoc itu mengakui, dia sememangnya tidak terlalu menaruh harapan untuk menggondol trofi berkenaan, namun rezeki ternyata memihak kepadanya.

“Ada berharap untuk menang, namun tidak jangka sangat akan menang. Kalau ikut sejarah, kebiasaannya pemenang kategori berkenaan adalah artis dari Filipina atau Vietnam.

“Bagaimanapun, sejak dua minggu sebelum acara berlangsung, saya mendapat sokongan yang amat kuat daripada peminat dan rakan-rakan artis. Memandangkan trofi ini berdasarkan undian online, saya amat bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan semua orang. Tanpa sokongan orang ramai, memang tidak akan menang,” kata Joe.

Kerjasama

Impak kemenangan tersebut, ia melebarkan sayap-sayap pengaruh muzik Joe untuk terbang lebih tinggi ke peringkat antarabangsa terutamanya di Eropah.

“Sudah tentu saya berharap kemenangan ini membuka pintu bukan hanya kepada saya, bahkan buat artis tempatan lain ke peringkat lebih tinggi. Untuk saya, peluang lolos ke MTV EMA 2018 membolehkan saya berkenalan dengan artis-artis dari Perancis, Sepanyol, Belanda dan Afrika.

“Paling utama, saya berharap dapat mempromosi Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui muzik hip hop. Sedikit sebanyak, peluang berada di sana dan menang seperti memberitahu dunia, bahawa muzik rap atau hip hop di Malaysia kian berkembang,” kata bekas anggota kumpulan Too Phat itu.

Hasil kemenangan yang diperoleh, Joe dihujani ucapan tahniah daripada ramai individu sehingga emosinya sepanjang berada di Bizkaia Arena, Barakaldo, Basque Country, Sepanyol melonjak teruja. Paling hebat, dia berasa tidak sabar untuk pulang meraikan kemenangan tersebut bersama peminat di Malaysia.

“Tidak pernah seumur hidup saya ketika berada di luar negara tetapi hati tidak sabar ingin pulang awal ke tanah air. Saya ingin segera beredar dari situ kerana sangat terharu dengan ucapan-ucapan tahniah daripada orang ramai,” kongsinya.

Ucapan Malique
Lebih istimewa, Joe turut menerima ucapan tahniah daripada ‘teman lamanya’, Malique melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Kata lelaki berusia 39 tahun itu ringkas: “Malique SMS saya memberi ucapan tahniah dan syabas. Itu sahaja.”

Bagaimanapun, terang anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu, selain mendedikasikan kemenangan tersebut buat seluruh rakyat Malaysia, dia suka untuk memberikan kredit buat wanita yang sentiasa berdiri di belakangnya dengan sokongan tiada berbelah bahagi iaitu ibunya, Aishah Ali.

“Susah menjadi ibu saya apabila orang sibuk menanyakan apa yang anaknya buat dalam hidup. Dia hanya boleh cakap, anak saya penyanyi rap. Sekarang mungkin sudah okey, bayangkan soalan sebegitu harus dijawab ketika saya berusia 17 tahun atau baru tamat pengajian di kolej.

“Dia seperti ibu orang lain, risau tentang masa depan anak, namun sentiasa tahu impian saya untuk menjadi penyanyi rap. Sampai sekarang, saya pegang nasihatnya iaitu sentiasa bekerja keras, merendah diri dan percaya dengan kemungkinan mimpi boleh jadi kenyataan,” kongsi Joe lagi.

Membiarkan perasaannya terus larut dengan tembakan soalan para wartawan yang hadir pada acara santai tempoh hari, Joe sempat berkongsi beberapa siri foto dan video bersama bintang Hollywood seperti Terry Crews, Lindsay Lohan dan Dua Lipa. Dia juga sempat bercerita dan bertukar-tukar pendapat dengan nama-nama besar itu.

“Terry Crews teringin melawat Malaysia. Lohan pula berkata dia mempunyai banyak rakan di sini. Saya tidak ada mempunyai perancangan buat lagu dengan Dua Lipa buat masa sekarang,” ujarnya.

Diajak berseloroh, sama ada bintang-bintang berkenaan ada menegur wajah atau personalitinya mirip sebagai mirip rapper terkemuka Hollywood, Jay Z, jawab Joe: “Kalau ada yang kata begitu (mirip Jay Z), saya marah kerana saya lagi kacak daripadanya (tertawa).”

Prinsip hip hop
Selama 20 tahun bergelumang dalam dunia muzik, Joe dilihat sebagai individu yang memainkan peranan penting dalam mengangkat dan memperjuangkan irama hip hop di Malaysia.

Ditanya respons apabila ada yang melabelnya sebagai rapper legenda nuansa muzik berkenaan, jawabnya: “Saya tidak takut dengan gelaran itu. Bagaimanapun, saya jenis yang suka bekerja dan melebarkan jenama muzik ke tahap yang lebih tinggi.

“Jika 50 tahun dari sekarang saya diberi umur yang panjang, saya mahu tengok hasil kerja yang boleh saya banggakan. Mengambil contoh arwah Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Sharifah Aini, sampai sekarang karya mereka masih segar dalam ingatan peminat.

“Kalau boleh, saya mahu jadi seperti mereka. Gelaran atau penghargaan bukan keutamaan. Apatah lagi trend muzik sentiasa berubah, saya perlu fikirkan jalan bagaimana untuk terus kekal relevan di mata peminat,” katanya.

Ditebak soal lambakan penyanyi rap muda zaman sekarang di Malaysia, Joe melihat situasi sebegitu sebagai perkembangan baik buat industri. Ujarnya, tiada kekangan buat penyanyi rap di negara ini untuk terus maju.

“Kalau ingin berjaya, perlu letak sepenuh jiwa dalam setiap usaha. Ada penyanyi yang mudah puas hati dengan kejayaan yang sederhana. Di Malaysia, kita ada macam-macam jenis rap berdasarkan puisi, syair dan pantun. Jadi, saya rasa tiada kekangan untuk artis hip hop sama maju dengan artis genre lain. Apa yang penting adalah semangat dan usaha untuk terus melangkah maju,” katanya.

Melihat trend semasa ketika segelintir penyanyi secara mudah mengklasifikasikan diri sebagai rapper hanya kerana boleh melontarkan lirik lagu secara pantas, Joe mempunyai pendapat sendiri.

“Tiada undang-undang dalam muzik. Muzik macam sebuah lukisan. Ada yang teknikal, seni moden dan surealisme, terpulang kepada masing-masing untuk mencorakkannya.

“Saya tiada kuasa untuk menegur andai ia tidak melibatkan kerja saya. Kalau lirik merepek dan tiada kena mengena dengan saya, tidak akan saya tegur. Setiap orang ada perjalanan masing-masing. Biarkan mereka belajar sampai menjadi seorang yang hebat,” gulung Joe yang bakal muncul dengan sebuah lagu berbahasa Melayu berjudul Kuasa tidak lama lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post