Hadir dengan single terbaharu berjudul Halimunan, Masya yakin kemasukannya dalam industri muzik tanah air tidak akan dipersia-siakan.
Orangnya masih muda, tinggi lampai dan kulit wajahnya putih melepak. Loghat utara yang mengalir pekat dalam bicaranya pula menjadi suatu tarikan buat penyanyi muda bernama Masya Masyitah.
Muncul dengan single terbaharu berjudul Halimunan, Masya, 18, yang ditemui Kosmo! pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini masih bertatih dalam melantunkan kata, namun tetap tenang dalam menjawab sebarang pertanyaan. Dia masih polos, belum disinggahi debu industri yang mengintai sosoknya.
Bertudung dan masih remaja, pemilik nama lengkap Siti Nur Masyitah Mohd. Yusoff itu bagaimanapun sudah acap kali menerima kecaman daripada netizen yang seperti tidak ‘merestui’ kerjaya nyanyian hanya kerana bertudung.
Namun demi minat, gadis kelahiran Kulim, Kedah itu tetap percaya, selagi dia tidak melakukan perkara yang bukan-bukan serta sentiasa menjaga nama baik keluarga, pasti cita-citanya dalam bidang nyanyian akan diteruskan.
Boleh kongsikan sedikit tentang single terbaharu anda berjudul Halimunan?
MASYA: Lagu Halimunan merupakan single ketiga saya hasil ciptaan tiga orang komposer iaitu Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham. Genre yang dibawa kali ini agak berlainan berbanding daripada karya terdahulu. Lagu Halimunan lebih berentak pop dan saya rasa ia bersesuaian dengan kehendak pendengar masa kini.
Setakat ini, bagaimana respons peminat terhadap lagu berkenaan?
Alhamdulillah, sejak dilancarkan di YouTube, ia telah mencecah hampir sejuta tontonan. Ramai yang memuji kelainan yang cuba ditampilkan, namun tidak kurang juga yang tidak senang dengan pembaharuan musik saya. Apapun, saya bersyukur dengan semua respons yang diberikan.
Bertudung dan cuba untuk menyelinap dalam arena pop, pasti akan wujud suara-suara sumbang daripada orang ramai. Bagaimana anda berdepan dengan situasi tersebut?
Memang saya tidak boleh nafikan ramai yang mengecam apabila seorang penyanyi bertudung seperti saya mencuba untuk berkecimpung dalam dunia seni suara. Saya tidak boleh puaskan hati semua orang. Apa yang boleh saya lakukan hanyalah buat perkara yang diminati. Pada masa yang sama, saya kena sentiasa menjaga nama baik keluarga terutamanya ibu bapa.
Kecaman akan wujud di mana-mana terutamanya apabila memilih untuk bekerja dalam bidang seni.
Anda masih baru dalam bidang nyanyian dan pada masa sama akan bersaing dengan penyanyi yang sedia ada. Apa kelebihan anda yang ingin ditonjolkan kepada peminat?
Saya hanya ingin menjadi diri sendiri. Saya percaya dengan kerja keras dan minat akan membuahkan hasil lumayan dalam bidang yang diceburi.
Dalam pada itu, saya pernah menyertai pertandingan nyanyian Hong Kong International Music Festival dan meraih tempat kedua. Saya bukan hanya ingin menyanyi ‘kosong’, saya mahu membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
Adakah selepas ini anda ingin serius dalam menyanyikan lagu-lagu berbahasa Mandarin?
Insya-Allah, kalau ada peluang. Tahun depan saya ingin mewakili Malaysia dalam sebuah lagi pertandingan nyanyian di China. Untuk itu, saya perlu memahirkan diri dalam bahasa Mandarin. Saya mula menyanyikan lagu-lagu Mandarin seawal usia 12 tahun.
Bagaimanapun, saya hanya mendapat pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina pada peringkat menengah. Di situ, sudah ketinggalan kerana tiada asas yang kukuh ketika kecil. Apapun, saya tidak akan berhenti mencuba untuk memperbaiki diri.