Tasha Shilla dedah pernah alami depresi




Siapa sangka, di sebalik senyuman dan ketawa yang ditunjukkan, pelakon berbakat, Tasha Shilla sebenarnya mengalami masalah depresi selama dua tahun lalu.

Dedah Tasha menerusi akaun Instagram miliknya, dalam tempoh itu, dia menderita tekanan emosi dan kesukaran untuk tidur.

"Saya mahu berkongsi post ini dengan semua peminat dan orang lain yang melalui masa yang sukar.

"Selama dua tahun ini, saya berdepan dengan depresi yang disebabkan pelbagai punca, hidup saya menyakitkan dan sangat tertekan.

"Orang lain mungkin melihat saya tersenyum dan ketawa, tapi sejujurnya saya mengalami kesakitan dan emosi dalam yang telah mengawal hidup saya.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan rasanya, tetapi dalam masa yang sama saya rasa penat, sesat dan keliru.

"Apabila malam, saya sukar untuk tidur, ada masanya saya tidak mahu keluar rumah dan ada masanya perasaan panik akan mengawal saya," jelasnya.

Bagaimanapun ujar wanita berusia 31 tahun ini, kehidupannya kini sudah berubah dan dengan sokongan dari keluarga dan rakan baik, dia dapat berkongsi masalah ini dengan suami.

"Alhamdulillah, semuanya telah berubah! Dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan saya sudah boleh berkongsi segalanya kepada semua.

"Saya kembali berani untuk bercakap tentang masa silam dan memberi kesedaran kepada orang lain bahawa mereka juga tidak keseorangan," tulisnya.

Tambahnya, dia juga mengambil langkah untuk mengubah kehidupan dan berkongsi masalahnya dengan individu yang sepatutnya.

"Saya mahu ingatkan kepada orang ramai agar berani untuk berkongsi masalah dan kisah silam untuk meneruskan kehidupan seharian," katanya.

Sebelum ini, beberapa selebriti popular antaranya Haqiem Rusli, Daiyan Trisha dan Elizabeth Tan mendedahkan pernah mengalami depresi.

Post a Comment

Previous Post Next Post